Diterbitkan pada 23 Julai 2026, 09:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nurafrina Abdul Aziz mengulas serta membuat perbandingan antara teks asal dengan filem adaptasi The Odyssey yang sedang ditayangkan sekarang, berserta panduan plot cerita yang teliti.

Menundukkan sebuah kota kebal seperti Troy rupanya jauh lebih mudah daripada menundukkan keangkuhan yang bersarang di dalam dada sendiri.

Menonton karya terbaharu pengarah tersohor Christopher Nolan, The Odyssey, pada hari pertama tayangannya di Malaysia bukan sekadar pengalaman menonton filem biasa. Dengan durasi sepanjang 2 jam 53 minit, filem ini membawa penonton menelusuri perjalanan panjang Odysseus melalui rentetan konflik, kehilangan dan ujian yang membentuk semula dirinya sebagai seorang wira. Keistimewaan pendekatan Nolan terletak pada kemampuannya menggabungkan skala epik dengan sentuhan pembikinan filem yang menekankan keaslian visual. Daripada bergantung secara berlebihan pada CGI, beliau lebih mengutamakan penggunaan set dan elemen fizikal bagi menghasilkan dunia filem yang lebih nyata. Kerjasama bersama-sama ahli sinematografi Belanda, Hoyte van Hoytema, serta penggunaan kamera IMAX 70 mm memperkukuh gambaran dunia purba Homer melalui paparan visual yang luas dan terperinci. Setiap gelombang lautan, tekstur batuan purba dan suasana gelap pelayaran membentuk pengalaman sinematik yang menonjolkan keluasan serta kemegahan epik tersebut.

Kembara Agung, terjemahan karya agung The Odyssey Homer diterjemahkan oleh Lokman Hakim, satu-satunya terjemahan Melayu yang ada dalam pasaran.

Sebelum menelusuri perjalanan Odysseus, penting untuk memahami terlebih dahulu latar geografi dunia purba yang menjadi asas pada kisah ini. Yunani pada zaman tersebut bukanlah sebuah empayar tunggal, sebaliknya terdiri daripada gabungan kerajaan-kerajaan kota yang mempunyai pemerintahan sendiri. Antaranya termasuklah Sparta di bawah pimpinan Menelaus (Jon Bernthal), Mycenae yang dipimpin oleh Agamemnon (Benny Safdie) dan Ithaca, kerajaan asal Odysseus  (Matt Damon).

Sementara itu, Troy merupakan sebuah kota purba yang terletak di pantai barat Anatolia, kawasan yang kini berada dalam wilayah Turki moden. Dalam mitos Homer, kejatuhan Troy bukan berpunca daripada kekuatan ketenteraan semata-mata, tetapi melalui strategi dan tipu helah yang dirancang oleh Odysseus, khususnya melalui penggunaan Kuda Trojan yang menjadi simbol kecerdikan taktikalnya.

Dalam filem ini, peperangan Troy bukan sekadar digambarkan sebagai usaha membawa pulang Helen, isteri Menelaus, tetapi turut memperlihatkan sisi gelap kepentingan politik, kuasa dan harga yang perlu dibayar akibat konflik tersebut. Kejayaan menakluki Troy akhirnya menjadi permulaan kepada penderitaan Odysseus dan tenteranya, apabila perjalanan pulang ke Ithaca berubah menjadi ujian panjang yang menguji sisi kemanusiaan mereka dalam keadaan yang mencabar.

Odysseus tidak digambarkan sebagai wira yang sempurna tanpa kelemahan. Di bawah arahan Nolan, watak ini diperlihatkan sebagai seorang pemimpin yang dibayangi oleh ego, keinginan terhadap kejayaan dan kecenderungan untuk mengutamakan pertimbangan dirinya sendiri berbanding kesan tindakannya terhadap orang lain. Kezaliman dan kerakusan tentera Odysseus yang mengambil ternakan Polyphemus, gergasi Siklop bermata satu, tanpa mempertimbangkan akibatnya memperlihatkan kecenderungan mereka meletakkan keperluan sendiri tanpa memikirkan akibat.

Dalam The Odyssey, Odysseus dan anak-anak kapalnya menghadapi pelbagai cabaran luar biasa di pelbagai pulau yang disinggahi.

Titik perubahan terbesar dalam kejatuhan moral Odysseus berlaku ketika dia berhadapan dengan Polyphemus, yang merupakan anak dewa laut Poseidon. Walaupun berjaya mengalahkan gergasi tersebut melalui kecerdikan, tindakan Odysseus yang didorong oleh ego akhirnya membawa akibat besar. Nolan mempamerkan visual ngeri apabila anak kapal Odysseus membutakan mata Polyphemus dengan kayu tajam yang membara. Keangkuhan Odysseus terserlah apabila dia mengambil keputusan membawa keluar ternakan Polyphemus sebagai bekalan untuk pelayarannya. Walaupun tindakan itu lahir daripada keperluan untuk meneruskan perjalanan, cara Odysseus berdepan dengan Siklop tersebut memperlihatkan kelemahan terbesar dalam dirinya, iaitu kegagalan mengawal rasa bangga terhadap kebijaksanaan dan keberaniannya sendiri, lalu memanah Polyphemus yang sudah buta. Tindakan itu akhirnya membawa akibat besar apabila Polyphemus memohon kemurkaan Poseidon terhadapnya.

Circe sebagai Representasi Kuasa Wanita dalam Dunia Patriarki

Persinggahan di Kepulauan Aeaea memperkenalkan Circe (Samantha Morton), seorang ahli sihir yang menjadi antara watak wanita paling kompleks dalam perjalanan Odysseus. Nolan memberikan tafsiran baharu terhadap Circe dengan menampilkan dirinya bukan sekadar melalui kuasa magis yang dimilikinya, tetapi juga sebagai seorang wanita yang mempunyai kebijaksanaan dalam dunia yang didominasi oleh lelaki. Berbanding dalam karya asal Homer, Circe sering kali digambarkan sebagai susuk femme fatale, seorang ahli sihir penggoda yang berniat jahat demi kepuasan kuasanya sendiri sebelum ditundukkan oleh keperwiraan lelaki.

Tindakan Circe mengubah anak kapal Odysseus menjadi babi tidak lagi digambarkan sebagai kejahatan tanpa sebab. Dalam filem ini, Circe menjelaskan bahawa tindakannya berpunca daripada pengalaman berdepan dengan pelayar dan pahlawan lelaki yang sering datang ke wilayahnya dengan niat mengambil kesempatan terhadap wanita seperti dirinya. Oleh itu, perubahan anak kapal tersebut menjadi bentuk pertahanan diri dan penolakan terhadap kuasa lelaki yang selama ini menggunakan kekuatan untuk menguasai golongan yang lebih lemah. Melalui tafsiran ini, Circe bukan sekadar watak yang menentang perjalanan Odysseus, tetapi hadir sebagai figura wanita yang mencabar dominasi patriarki dalam dunia Homer.

Pertemuan antara Circe dengan Odysseus akhirnya memperlihatkan perubahan daripada pertentangan kepada kerjasama. Selepas mengembalikan anak kapal Odysseus kepada bentuk manusia, Circe bukan sahaja menjadi sekutu, malah membimbing Odysseus dengan memberikan pengetahuan tentang cabaran yang bakal dihadapinya sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Ithaca.

Pertemuan di Hades Menyingkap Dosa Odysseus

The Odyssey arahan Nolan menjadi gambaran tentang kesalahan, keangkuhan dan proses seorang manusia memahami akibat daripada tindakannya sendiri.

Ketegangan perjalanan Odysseus mencapai tahap yang lebih mendalam apabila dia memasuki Hades, alam orang mati (atau neraka) dalam mitologi Yunani. Melalui penggambaran visual yang suram dan penuh kesunyian, babak ini menjadi ruang untuk Odysseus berhadapan dengan akibat daripada keputusan-keputusannya sepanjang perjalanan pulang. Di sini, dia bertemu dengan roh-roh mereka yang telah terkorban, termasuk anak-anak kapalnya sendiri yang gugur akibat pelbagai cabaran yang ditempuh selepas perang Troy.

Pertemuan tersebut membuka sisi lain watak Odysseus sebagai seorang pemimpin yang dibebani rasa bersalah. Roh anak-anak kapalnya memperlihatkan kesan daripada pengorbanan yang selama ini sering dilupakan dalam usaha mencapai kemenangan dan kepulangan. Ketiadaan penghormatan terakhir terhadap mereka, akibat jasad yang tidak sempat dikembalikan atau dikebumikan mengikut adat masyarakat Yunani purba, menambahkan rasa kehilangan dan penyesalan yang ditanggung oleh Odysseus.

Babak di Hades menjadi titik penting dalam perkembangan watak Odysseus apabila kejayaan dan kecerdikannya sebagai wira perang mula berhadapan dengan kesan akibat daripada tindakannya terhadap orang lain. Di alam orang mati itu, dia bertemu dengan roh Tiresias, seorang peramal dari Thebes yang memberikan petunjuk tentang perjalanan pulangnya ke Ithaca. Tiresias menjelaskan cabaran yang masih menanti Odysseus, termasuk ancaman yang perlu ditempuhi serta akibat daripada kemurkaan Poseidon.

Nolan mempamerkan salah satu konflik psikologi paling hebat antara ketua dengan pengikut ketika kapal mereka terdampar di Pulau Thrinacia (Pulau Helios). Di sinilah kedegilan melampau anak kapalnya membawa kepada malapetaka. Walaupun Odysseus sudah berkali-kali memberikan amaran keras berpandukan ramalan Tiresia, bahawa mereka dilarang daripada makan ternakan di pulau tersebut, anak kapalnya memilih untuk tunduk kepada nafsu dan keterdesakan perut yang lapar.

Odysseus (Matt Damon) terdampar di Pulau Ogygia, dan sesekali jelmaan dewi Athena (Zendaya) menjelma kepadanya.

Kemurkaan Zeus akhirnya membawa akibat besar apabila kapal Odysseus dimusnahkan sebagai hukuman terhadap tindakan anak kapalnya yang melanggar larangan para dewa. Kapal mereka karam di tengah lautan, menyebabkan seluruh anak kapal terkorban dan hanya Odysseus yang terselamat. Selepas kehilangan pasukannya, Odysseus terdampar di Pulau Ogygia, tempat tinggal nimfa laut Calypso (Charlize Theron), sekali gus terpisah jauh daripada tujuan asalnya untuk kembali ke Ithaca.

Peristiwa ini memperlihatkan perjalanan pulang Odysseus bukan lagi sekadar usaha untuk mencapai destinasi, tetapi menjadi proses panjang yang memaksanya berdepan dengan akibat daripada pilihan yang dibuat sepanjang perjalanan. Sebelum itu, petunjuk daripada Tiresias di Hades telah menjelaskan bahawa kepulangannya masih memerlukan banyak pengorbanan dan kesabaran. Hanya selepas melalui pelbagai ujian, termasuk tempoh penahanannya di Ogygia, Odysseus akhirnya mendapat peluang untuk meneruskan pelayaran pulang ke tanah asalnya.

Kemuncak Pertarungan di Ithaca

Kepulangan Odysseus ke Ithaca yang dipenuhi oleh 108 pelamar tamak yang cuba merebut takhta dan isterinya, Penelope (Anne Hathaway), dikendalikan oleh Nolan dengan pembinaan ketegangan secara perlahan tetapi teliti. Sebelum aksi bermula, penonton disajikan dengan monolog emosi Penelope yang sangat menyayat hati ketika berhadapan dengan Antinous. Hathaway berjaya menampilkan Penelope sebagai watak yang berdepan tekanan akibat ketiadaan Odysseus. Melalui dialog dan ekspresi wataknya, Penelope memperlihatkan kesetiaan serta ketabahannya dalam mempertahankan rumah tangga biarpun ditinggalkan suaminya setelah bertahun-tahun, termasuk menggunakan helah menganyam kain kafan pada waktu siang dan membuka semula anyaman tersebut pada waktu malam bagi melengahkan desakan para pelamar.

Lakonan Robert Pattinson sebagai Antinous menyerlahkan watak antagonis yang menjadi pemimpin utama para pelamar di Ithaca. Pattinson berjaya menampilkan sisi angkuh, tamak dan kejam Antinous, seorang lelaki yang mengambil kesempatan daripada ketiadaan Odysseus dengan menguasai istana, membazirkan harta miliknya, mendesak Penelope menerima perkahwinan baharu, malah melihat Telemachus sebagai penghalang yang perlu disingkirkan demi mencapai cita-citanya. Dalam tafsiran Nolan, Antinous diberikan lapisan permusuhan yang lebih peribadi terhadap Odysseus. Namun, dalam epik Homer, watak ini lebih dikenali sebagai simbol kesombongan para pelamar yang mengambil kesempatan daripada ketiadaan raja Ithaca.

Kemuncak cerita berlaku apabila identiti sebenar Odysseus akhirnya terbongkar. Dalam penyamaran sebagai pengemis, Odysseus berjaya melakukan sesuatu yang gagal dilakukan oleh para pelamar lain apabila mengangkat busur pusaka miliknya. Peristiwa tersebut mengubah suasana di istana apabila para pelamar mula menyedari bahawa lelaki yang berada di hadapan mereka ialah raja Ithaca yang telah lama dianggap hilang dan tidak akan kembali.

Nolan membina ketegangan melalui perubahan reaksi Antinous, daripada seorang pemimpin yang penuh keyakinan kepada individu yang berhadapan dengan kesan akibat daripada tindakannya sendiri. Pertempuran terakhir antara Odysseus dan para pelamar pula menggambarkan usahanya untuk mengambil semula kedudukan serta memulihkan kehormatan rumah tangganya. Pengakhiran filem memperlihatkan Telemachus (Tom Holland) mengambil peranan sebagai pewaris Ithaca, manakala kepulangan Odysseus menjadi penutup kepada perjalanan panjang seorang wira yang terpaksa berdepan dengan kesilapan dan kelemahan dirinya sendiri.

Komponen Perfileman: Kontroversi Barisan Pelakon

Salah satu ciri yang sering dikaitkan dengan pengarahan Christopher Nolan ialah kecenderungannya untuk bekerjasama semula dengan pelakon yang pernah muncul dalam karya terdahulunya.

Di sebalik naratif epik purba, naskhah ini tidak terlepas daripada perbincangan hangat mengenai keputusan pemilihan pelakon oleh Nolan yang agak radikal dan eksperimental kali ini:

Pelakon/ Watak Peranan/Fungsi dalam Filem Analisis
Travis Scott (The Bard/Sang Penyair) Narator yang menyampaikan kisah Perang Trojan melalui bentuk puisi. Kehadirannya menghubungkan tradisi penceritaan lisan Yunani purba dengan bentuk ekspresi moden. Suara penyair menjadi penghubung antara dunia epik Homer dengan pendekatan sinematik Nolan.
Lupita Nyong’o (Helen of Troy dan Clytemnestra, kembar Helen) Membawa dua watak wanita (adik-beradik) yang mempunyai hubungan dengan konflik kuasa dan tragedi keluarga dalam mitologi Yunani. Pemilihan Lupita sebagai Helen mencetuskan perbincangan tentang representasi watak mitologi. Namun begitu, lakonannya menunjukkan bahawa kekuatan sesebuah watak tidak hanya bergantung pada gambaran fizikal tradisional, tetapi juga pada tafsiran dan kemampuan pelakon menghidupkan karakter.

Salah satu ciri yang sering dikaitkan dengan pengarahan Christopher Nolan ialah kecenderungannya untuk bekerjasama semula dengan pelakon yang pernah muncul dalam karya terdahulunya. Hubungan kerja yang berulang ini membolehkan wujudnya keserasian antara pengarah dengan pelakon, selain menyumbang kepada pembinaan watak yang lebih meyakinkan dalam dunia sinematik yang dibangunkannya. Kemunculan semula Matt Damon (selepas Interstellar dan Oppenheimer), Anne Hathaway (The Dark Knight Rises dan Interstellar) dan Robert Pattinson (Tenet) membuktikan sistem kepercayaan sutradara ini terhadap keupayaan pelakonnya menterjemahkan skrip filem yang kompleks. Sudah tentu, tidak ada adaptasi moden yang mampu menyamai kedalaman dan pengaruh epik Homer yang telah bertahan selama ribuan tahun. Namun begitu, kekuatan The Odyssey arahan Nolan terletak pada keberaniannya mentafsirkan semula kisah lama ini melalui bahasa sinema.

Lebih daripada sekadar sebuah epik tentang perjalanan seorang pemimpin dan wira, The Odyssey arahan Nolan menjadi gambaran tentang kesalahan, keangkuhan dan proses seorang manusia memahami kesan akibat daripada tindakannya sendiri. Sepanjang pelayarannya, Odysseus diuji bukan sahaja oleh badai, dewa dan makhluk mitologi, tetapi juga oleh kelemahan dirinya sebagai seorang pemimpin yang dipuji-puji selama ini. Segala kebinasaan yang menimpa dirinya menegaskan satu hakikat: keperwiraan yang dicemari keangkuhan hanya akan berakhir dengan kehancuran. Hal ini amat mendekati “niat” Nolan yang cuba menggambarkan sikap Amerika Syarikat terhadap perhubungannya dengan kancah geopolitik dunia, khususnya di Asia Barat kini.

Namun begitu, perjalanan pulang ke Ithaca juga tidak akan bermakna tanpa kesetiaan Penelope yang terus menunggu selama bertahun-tahun, mempertahankan rumah tangga dan harapan terhadap kepulangan suaminya.

_________________________

Nurafrina Abdul Aziz berasal dari Pulau Pinang dan sedang melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Sastera dalam Kesusasteraan di Universiti Sains Malaysia. Beliau telah memenangi hadiah sastera negeri di Pulau Pinang dua kali berturut-turut. Nurafrina mempunyai sebuah kumpulan cerpen, Nekamesta (Biblio, 2025).

Kredit Foto: Universal Pictures
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi