Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangProf. Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad membongkar tentang kemunculan “ahli filologi jadian” dalam kalangan masyarakat akhir-akhir ini.
Kekosongan metodologi dalam kalangan ‘ahli filologi jadian’ ini paling ketara apabila mereka melakukan lonjakan kesimpulan tanpa memahami akal budi pada zaman teks itu ditulis.
Perkembangan media sosial dan kedinamikan wacana mutakhir ini mencerminkan satu fenomena yang sangat memberangsangkan dan menunjukkan kebangkitan semula minat masyarakat terhadap sejarah, warisan Melayu dan khazanah manuskrip lama. Apresiasi terhadap peradaban bangsa kini tidak lagi terperap di galeri muzium yang sepi atau di menara gading dalam kelompok yang terhad, sebaliknya mulai memecahkan tembok eksklusiviti dan menyubur sebagai sebahagian daripada lingkaran perbualan khalayak umum. Walau bagaimanapun, keghairahan yang meluap-luap ini malangnya dicemari oleh kewujudan sekelompok individu yang mendakwa diri mereka sebagai “pakar filologi” atau “sarjana manuskrip”, sedangkan mereka lompang daripada penguasaan metodologi filologi yang tekal.
Isu ini umpama “barah dalam daging” bagi dunia akademik dan pencinta kearifan watan jika dibiarkan dengan leka. Pandangan dangkal yang menyamakan kemahiran membaca dengan kepakaran mentafsir bukan sahaja merendahkan disiplin ilmu filologi sebagai sebuah sains kemanusiaan yang bernilai, malah berisiko tegar merobek keabsahan fakta serta terperangkap dalam bias pengesahan peribadi lalu mencanangkan naratif palsu demi meraih perhatian digital. Masyarakat yang dahagakan ilmu akhirnya dihidangkan dengan racun kefahaman yang terpesong lalu melahirkan generasi yang bangga dengan naratif rekaan tanpa asas yang kukuh.
Paleografi Bukan Filologi
Kekeliruan paling asas yang sering berlaku dalam ruang siber ialah kegagalan membezakan antara kemahiran teknikal membaca tulisan Jawi kuno dengan analisis filologi secara tuntas. Dalam epistemologi pengajian manuskrip, kebolehan mengeja dan membaca aksara Jawi dinamakan sebagai paleografi. Kebolehan ini hanyalah satu kemahiran teknikal yang bertindak sebagai “pintu masuk” utama tetapi bukanlah penamat pada sebuah penerokaan saintifik. Filologi ialah sebuah ilmu yang jauh lebih rencam dan komprehensif.
Filologi tidak sekadar membaca apa-apa yang tersurat di atas lembaran kertas, tetapi menuntut penguasaan tiga pilar utama iaitu:
Kebolehan membaca tulisan Jawi kuno tanpa pasak ilmu filologi adalah ibarat seseorang yang sekadar mampu membaca tulisan tangan doktor pada preskripsi ubat, namun kebolehan fungsional itu tidak secara automatik mengangkat dirinya sebagai seorang pakar perubatan yang layak merawat pesakit. Begitulah juga dalam disiplin manuskrip yang hanya sekadar boleh mengeja teks tanpa ilmu naskhah. Hal ini hanya akan melahirkan penentuan fakta yang culas, lalu memberikan ubat kefahaman yang salah kepada masyarakat.
Kegagalan Memahami Akal Budi
Kekosongan metodologi dalam kalangan “ahli filologi jadian” ini paling ketara apabila mereka melakukan lonjakan kesimpulan tanpa memahami akal budi pada zaman teks itu ditulis. Seseorang yang hanya menguasai aspek teknikal aksara cenderung melihat teks sastera sejarah seperti Sulalatus Salatin atau Hikayat Hang Tuah dengan kaca mata positivisme moden yang kaku. Sebenarnya, manuskrip Melayu tidak ditulis dalam ruangan yang lowong. Manuskrip tersebut sarat dengan adab, variasi tersirat dan simbolisme makna yang memerlukan ilmu bantu lain seperti sosiologi, antropologi dan teologi Islam. Tanpa ilmu bantu ini, pembacaan manuskrip hanya akan menghasilkan pemahaman yang mendatar, literal dan akhirnya gagal meresapi “roh” dan falsafah sebenar yang ingin disampaikan oleh pujangga silam.
Tafsiran Melulu dan Pencetusan Polemik
Seorang ahli filologi yang terlatih dan menekuni tradisi keilmuan tidak akan terburu-buru mengisytiharkan sesuatu penemuan sebagai ‘fakta mutlak’ sebelum naskhah tersebut melalui proses penyuntingan teks yang ketat dan dinilai secara kritis.
Cabaran ini menjadi semakin parah apabila bertembung dengan ekosistem era digital. Algoritma media sosial hari ini cenderung mengumpan dan mempopularkan kandungan yang bersifat sensasi berbanding wacana akademik yang bernada tenang tetapi sahih. Keadaan ini memberi ruang seluas-luasnya kepada “ahli filologi jadian” untuk memetik satu baris ayat atau frasa secara terpisah lalu membuat kesimpulan hiperbola demi mengejar jumlah tontonan dan pengikut. Secara tradisinya, pengarang dan jurutulis Melayu klasik menerapkan gaya bahasa berkias, metafora, bahasa istana, serta adunan antara fakta sejarah, legenda dengan mitos sebagai wahana penyampaian mesej moral mahupun keabsahan politik. Kegagalan menyaring unsur-unsur ini dengan metodologi yang betul akhirnya melahirkan kekeliruan yang serius dan mengundang polemik berpanjangan di ruang siber. Keadaan ini bukan sahaja mengelirukan masyarakat pembaca, malah mencetuskan ketegangan tidak sihat dalam kalangan kelompok masyarakat akibat ketaksuban kepada naratif rekaan.
Memelihara Wibawa Khazanah Bangsa
Filologi ialah sebuah disiplin yang menuntut kesabaran yang tinggi, kehematan dan kebertanggungjawaban akademik yang telus. Seorang ahli filologi yang terlatih dan menekuni tradisi keilmuan tidak akan terburu-buru mengisytiharkan sesuatu penemuan sebagai “fakta mutlak” sebelum naskhah tersebut melalui proses penyuntingan teks yang ketat dan dinilai secara kritis. Impak terbesar daripada penyebaran tafsiran manuskrip yang longgar dan ceroboh ini bukanlah sekadar fakta yang terpesong, tetapi meruntuhkan kewibawaan ilmu itu sendiri. Apabila tafsiran cetek yang dicanang di media sosial akhirnya terbukti culas dari sudut keilmuan, masyarakat akan mula memandang sinis terhadap keseluruhan khazanah manuskrip Melayu. Khazanah bernilai ini dikhuatiri akan dianggap tidak lebih daripada himpunan mitos dan dongeng yang hilang nilai keunggulannya, seolah-olah kemegahan peradaban yang diwariskan itu sekadar indah khabar daripada rupa akibat dicemari oleh tafsiran yang rapuh.
Masyarakat Celik Manuskrip
Penghargaan masyarakat terhadap warisan teks lama harus terus dipupuk, diraikan dan disuburkan. Namun begitu, usaha ini perlu dipandu dengan ketelitian ilmiah agar ilmu yang mengalir benar-benar bermutu. Kerancakan wacana manuskrip di ruang digital seharusnya menjadi pemangkin kepada pembentukan pemikir yang lebih kritis dan bukannya mudah terumpan dengan kepopularan sahaja.
Dalam hal ini, pemegang taruh seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Perpustakaan Negara Malaysia dan Yayasan Karyawan boleh mengambil langkah proaktif. Ilmu filologi tidak harus terus terkurung dalam sangkar. Ilmu iniperlu didemokrasikan menerusi bengkel bersiri, kapsul video berinformasi atau kandungan infografik yang segar di media sosial. Langkah ini penting bagi membina “benteng imuniti intelektual” dalam pelbagai generasi agar mereka mampu membezakan secara bijaksana antara pempengaruh yang sekadar menunggang daya tarikan manuskrip dengan sarjana sejati yang benar-benar memelihara keabsahan ilmu bangsa.
_________________________
Salmah Jan Noor Muhammad (Prof. Madya Dr.) merupakan pensyarah kanan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Beliau juga Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan. Makalahnya tentang sastera tradisional tersiar dalam majalah Dewan Sastera selain mempunyai banyak kertas kerja dan makalah jurnal tentang kesusasteraan dan ilmu filologi.