Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRidzuan Kamis menulis tentang Nimoiz T.Y, Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil. 07/2026.
Keupayaan membezakan ruang santai dengan ruang pengkaryaan memperlihatkan kematangan beliau sebagai seorang penulis yang berwibawa.
Saya mengenali Nimoiz T.Y pada tahun 2017 ketika menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Ulasan Buku ITBM dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Wangsa Maju. Pertemuan itu merupakan titik temu yang membuka ruang kepada sebuah “persahabatan sastera” yang berterusan.

Dalam tempoh mengenali beliau, saya sifatkan beliau sebagai seorang yang bijak (pensyarah), mudah didekati dan tidak pernah menjadikan ilmu sebagai tembok untuk meninggikan diri. Di sebalik kaca mata yang sering saya usik sebagai “berlevel profesor”, tersimpan keluasan pengetahuan yang merentas bidang kejuruteraan dan kesusasteraan. Beliau berasal dari Tanah Merah, walaupun pada asalnya saya sangkakan beliau anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan.
Berdasarkan pembacaan dalam ruangan Karyawan Bulan Ini, Dewan Sastera keluaran Julai 2026, 25 tahun Nimoiz dalam dunia kepenyairan bukanlah suatu tempoh yang singkat. Perjalanan yang panjang itu telah membuktikan keutuhan bakat, ketekunan dan kesetiaan Nimoiz T.Y terhadap dunia kesusasteraan. Beliau bukan hanya penyair, malah menguasai pelbagai cabang penulisan, seperti cerpen, esei, kritikan dan buku motivasi. Setiap bidang yang diceburinya memperlihatkan kesungguhan untuk menghasilkan karya yang bermutu dan meninggalkan impak. Saya yakin, sumbangan yang telah dicurahkan akan terus menjadi sebahagian daripada khazanah kesusasteraan Melayu. Namanya akan terus dikenang sebagai antara karyawan penting pada zamannya. Malah, beberapa puisinya dipilih sebagai teks sastera, selain pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia bagi kategori puisi eceran. Pencapaian tersebut memperlihatkan mutu dan konsistensi pengkaryaannya.
Secara jujurnya, saya telah menelaah dua kumpulan puisi beliau, yakni Sang Pelakon (ITBM, 2015) dan Masuk ke Dalam Hujan (PENA, 2026). Kedua-dua naskhah itu memperlihatkan seorang penyair yang matang dalam mengurus bahasa dan pengalaman. Tidak ada kesan bahawa karya itu lahir daripada seorang jurutera yang terlalu bergantung pada logik dan struktur. Sebaliknya, yang hadir ialah kepekaan terhadap manusia, kehidupan dan makna. Puisinya bergerak dengan tenang, namun mampu meninggalkan gema yang panjang dalam fikiran pembaca. Diksi dipilih dengan cermat. Imejan dibina tanpa berlebihan. Renungan yang disampaikan terasa jujur dan berakar pada pengalaman. Kedua-dua kumpulan puisi itu membuktikan bahawa dunia kreatif Nimoiz T.Y tidak pernah dibatasi oleh latar belakang profesionnya. Namun hakikatnya, puisi-puisi daripada buku Masuk ke Dalam Hujan lebih menampakkan kematangan disebabkan usia kepengarangan penulis.
Saya mengikuti juga penulisan beliau di Facebook kerana beliau gemar mengupas pelbagai isu dari sudut pandang yang berbeza. Tidak kurang juga status yang diselitkan unsur kecindan yang halus sehingga mampu mengundang pemikiran baharu secara kritis. Namun begitu, apabila memasuki ruang kreatif, nadanya berubah menjadi lebih serius dan lebih mendalam. Keupayaan membezakan ruang santai dengan ruang pengkaryaan memperlihatkan kematangan beliau sebagai seorang penulis yang berwibawa.
Hubungan kami sering diwarnai oleh perbualan santai tentang sastera dan isu semasa. Sesekali saya mengusiknya dengan panggilan “Slim River” kerana susuk tubuhnya yang kecil dan kurus. Gurauan itu lahir dalam semangat persahabatan dan saling memahami. Saya juga masih mengingati momen perjalanan pulang bersama-sama beliau dari ITBM ke stesen LRT berdekatan dengan menggunakan Uber pada tahun 2017. Itulah pengalaman pertama saya menaiki perkhidmatan tersebut. Pengalaman yang boleh disifatkan sebagai tidak penting itu menjadi ingatan kenangan walaupun kecil. Tambah manis, beliau yang membayar untuk perkhidmatan itu. Jika tak salah hanya RM4 sahaja.
Pada hemat saya, pengiktirafan sebagai Karyawan Bulan Ini oleh Dewan Sastera edisi 07/2026 merupakan penghormatan yang selayaknya diterima olehnya. Mungkin pengiktirafan itu hadir sedikit lewat jika dibandingkan dengan beberapa penulis generasi yang lebih muda yang lebih dahulu mendapat tempat. Namun begitu, kewibawaan seseorang karyawan tidak pernah ditentukan oleh cepat atau lambatnya penghargaan diberikan. Dalam konteks ini, saya percaya yang nama Nimoiz T.Y sesungguhnya sudah lama wajar diberikan ruang sedemikian.
Walaupun penerbitan karya ecerannya pernah melalui fasa yang kurang aktif, denyut sasteranya tidak pernah terhenti. Beliau terus hadir melalui pelbagai medan sebagai moderator, ahli panel forum, editor buku, juri deklamasi, juru sayembara, penceramah, pembentang kertas kerja, dan penggerak pelbagai program kesusasteraan. Sumbangan yang merentas pelbagai ruang inilah yang memperlihatkan bahawa pengabdian terhadap sastera bukan hanya diukur melalui jumlah karya yang diterbitkan, tetapi juga melalui kesediaan membimbing, membina dan memperkaya ekosistem kesusasteraan Melayu.
Saya percaya bahawa setiap zaman melahirkan nama-nama yang akan dikenang, bukan kerana gemerlap publisiti tetapi kerana ketekunan meninggalkan jejak yang bermakna. Nimoiz T.Y sedang menempuh jalan itu. Karya-karyanya, pemikirannya dan sumbangannya telah menjadi sebahagian daripada landskap kesusasteraan Melayu kontemporari. Dengan pengalaman lebih 25 tahun, beliau telah membuktikan bahawa konsistensi lebih bermakna daripada populariti yang bersifat sementara.
Konklusinya, Nimoiz T.Y, anak Kelantan yang menetap di Perak, hadir dengan latar seorang pensyarah jurutera, namun akan kekal dalam ingatan sebagai seorang karyawan yang membina jambatan antara akal dengan rasa, antara disiplin dengan imaginasi dan antara ilmu dengan pengkaryaan. Itulah Nimoiz T.Y yang saya sifatkan sebagai seorang Jurutera Sastera.
______________________________
Ridzuan Kamis berasal dari Perlis Indera Kayangan. Beliau banyak menulis puisi, rencana dan kritikan sastera. Beliau juga telah menerbitkan beberapa buah buku puisi terbitan DBP, ITBM, PENA, dan UUM. Kini menyandang jawatan sebagai seorang Guru Besar.