Diterbitkan pada 14 Julai 2026, 18:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jitra Sambutan Hari Puisi Nasional Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah yang berlangsung di Auditorium Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara baru-baru ini memberikan penghormatan istimewa kepada penyair veteran Kedah, Mokhtar Rahman yang terus berkarya pada usia 86 tahun.

Program Anjuran Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA) menganjurkan wacana bertemakan “Kepengarangan Mokhtar Rahman dalam Puisi Menyerlah Rasa, Sikap dan Nilai Diri Penyair” yang disampaikan oleh Pensyarah Sastera Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah Universiti Utara Malaysia, YBrs. Dr. Phat Awang Deng.

Pensyarah Sastera Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah Universiti Utara Malaysia, YBrs. Dr. Phat Awang Deng ketika pembentangan kertas kerjanya yang bertemakan “Kepengarangan Mokhtar Rahman dalam Puisi Menyerlah Rasa, Sikap dan Nilai Diri Penyair.

Menurut Dr. Phat, kekuatan kepengarangan Mokhtar Rahman terletak pada keupayaannya mengangkat pengalaman hidup, persoalan kemanusiaan, semangat cinta akan bangsa dan negara serta keprihatinan terhadap alam sekitar melalui puisi yang padat, indah dan bermakna.

“Mokhtar Rahman ialah penyair yang tidak pernah terpisah daripada denyut nadi masyarakat. Beliau mengolah pengalaman hidup dan peristiwa di sekeliling menjadi karya yang mendidik, menginsafkan dan membimbing pembaca.

“Ketajaman pemerhatiannya terhadap manusia dan alam menjadikan puisinya sentiasa segar dan relevan,” katanya dalam pembentangan kertas kerja yang meneliti aspek kepengarangan Mokhtar Rahman berdasarkan kerangka Puitika Sastera Melayu oleh Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh.

Menurut beliau lagi, identiti kepengarangan Mokhtar Rahman juga terserlah menerusi kecenderungannya menggunakan bentuk soneta sebagai wahana pengucapan. Struktur puisi yang tersusun dan padat membolehkan penyair mengembangkan idea secara teratur sebelum mencapai klimaks pemikiran dan meninggalkan kesan mendalam kepada pembaca.

Karya-karya Mokhtar Rahman seperti Budi Melayu, Hilangnya Ketuanan, Tanduo, Palestin Merdeka, Gunung Yang Cedera dan Ibu memperlihatkan kepelbagaian tema yang digarap, daripada soal jati diri bangsa dan patriotisme sehinggalah kepada isu kemanusiaan sejagat, kasih sayang serta hubungan manusia dengan alam.

Dr. Phat menjelaskan bahawa kekuatan puisi-puisi Mokhtar Rahman bukan sahaja terletak pada penguasaan bahasa dan simbolisme, malah pada fungsi karya itu sendiri yang membawa nilai pengajaran dan kebijaksanaan hidup.

“Puisi-puisi beliau mengajar kita tentang erti kemanusiaan, kepentingan memelihara maruah bangsa, menghargai alam dan sentiasa merenung pengalaman hidup sebagai sumber kebijaksanaan. Karya beliau bukan sekadar indah dibaca, tetapi turut membentuk pemikiran dan jiwa pembaca,” ujarnya.

Sepanjang pelibatan Mokhtar Rahman dalam dunia sastera, beliau telah menghasilkan lebih 250 buah sajak, 80 buah soneta, 15 buah cerpen dan pelbagai karya lain yang disiarkan dalam media cetak serta media elektronik. Beliau juga pernah memenangi pelbagai hadiah sastera termasuk anugerah dalam sayembara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, eSastera dan ASASI.

Kredit Foto: Putraery Ussin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi