Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Maruah selepas merdeka bagi Usman Awang ialah keberanian untuk menegur, untuk tidak menjadi ‘yes man‘, dan untuk bangkit membetulkan kepincangan bangsanya sendiri tanpa kehilangan adab dan budi bahasa.”
Penegasan tajam itu dilontarkan oleh tokoh akademik terkemuka tanah air, YBhg. Prof. Emeritus Dr. Mohd Mokhtar Abu Hassan ketika membentangkan kupasan ilmiah bertajuk “Maruah dan Kedaulatan Bangsa dalam Puisi-puisi Pilihan Usman Awang” bersempena dengan Sambutan Hari Puisi Nasional (HPN) 2026 di Rumah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), siang tadi.

Menurut beliau, penekanan terhadap takrifan maruah itu diangkat sebagai tema utama kerana pemeliharaannya merupakan teras mutlak kepada kedaulatan bangsa, pembentukan kesedaran kolektif dan kelangsungan tamadun.
Menerusi analisis terhadap karya peninggalan Sasterawan Negara tersebut, beliau mendapati takrifan maruah pada zaman pramerdeka sering diangkat sebagai suatu daya penentang terhadap penjajahan bagi menuntut kebebasan dan hak bahasa yang dipinggirkan.
“Kalau kita teliti sajak Usman Awang yang awal, maruah Melayu diangkat sebagai suatu daya penentang terhadap penjajahan untuk menuntut hak bangsa yang dirampas, bahasa yang dipinggirkan dan kebebasan yang dinafikan,” jelas beliau.
Mengulas lanjut tentang teguran sinis dalam sajak Kurang Ajar (1967), beliau menekankan,
Bukan Usman Awang mengajak supaya kita menjadi seorang yang kurang ajar, sebaliknya perkara yang cuba dibawa adalah supaya kita berani melakukan perubahan dalam pemikiran dan setiap tindak-tanduk bangsa hari ini.
Oleh hal yang demikian, maruah pascamerdeka menurut Usman Awang menuntut kesedaran orang Melayu untuk berani melakukan perubahan drastik demi memperbetul kepincangan sistem bermasyarakat.
Beliau menjelaskan bahawa teguran sinis tersebut bukanlah seruan untuk menjadi biadab, sebaliknya bertujuan untuk menginsafkan orang Melayu atas kelemahan diri sendiri di samping terus mempertahankan akar identiti bangsa.

Majlis itu turut diserikan dengan perkongsian eksklusif daripada Sasterawan Negara, YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail yang menyifatkan naskhah peninggalan Usman Awang sebagai seruan semangat yang sangat dekat dengan jiwa sebenar orang Melayu.
“Bagi saya, membaca Kurang Ajar merupakan peringatan supaya Melayu jangan terlalu merendah diri sehingga dipijak, namun apabila kita membaca puisi Melayu, kita kembali diingatkan tentang peri pentingnya memelihara adab dan akar kita sebagai orang Melayu,” katanya.