Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Ledakan teknologi digital dan kemunculan pelbagai platform penerbitan menjadikan tanggungjawab pengarang semakin mencabar apabila karya bukan sahaja dinilai dari aspek kreativiti, malah turut diukur melalui nilai, akhlak dan kesannya terhadap masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Pembangunan Sabah, Profesor Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, pengarang tidak seharusnya dihadkan kepada penulis karya kreatif atau sastera semata-mata, sebaliknya merangkumi penulis dalam pelbagai bidang ilmu termasuk sains, teknologi, ekonomi, dan akademik.
“Ciri paling utama seorang pengarang bermaruah ialah kejujuran terhadap apa yang ditulis dan dipersembahkannya kepada khalayak.
“Segala idea, fakta dan pemikiran yang dikomunikasikan kepada masyarakat mestilah berasaskan kebenaran serta dilaksanakan dengan penuh amanah,” katanya pada Siri Webinar IPSAS anjuran Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.
Beliau berkata, pengaruh pengarang dalam membentuk pemikiran masyarakat menjadikan tanggungjawab mereka lebih besar untuk menghasilkan karya yang mempunyai nilai, adab dan akhlak, sekali gus menyumbang pada pembangunan bangsa dan tamadun.
“Pada hemat saya, ciri paling penting seorang pengarang bermaruah adalah untuk menghasilkan karya yang mempunyai isi kandungan yang mampu membina bangsa dan masyarakat.
“Malah, kandungan karya tersebut perlu berpaksikan kebenaran, sarat dengan nilai, adab, akhlak, serta budaya yang baik,” katanya.
Ramzah berkata, dalam era digital, pengarang tulen berdepan dengan cabaran apabila kandungan yang dihasilkan secara pantas dan mudah kadangkala lebih cepat mendapat perhatian berbanding karya yang melalui proses penyelidikan dan pengkaryaan yang mendalam.
“Dalam hal ini, pengarang perlu memahami cita rasa masyarakat serta mampu menarik minat pembaca, tetapi pada masa sama, tidak boleh mengorbankan nilai, amanah dan prinsip kepengarangan,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (BITARA Melayu), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Nur Afifah Vanitha Abdullah berkata, pengarang bermaruah ialah individu yang menghasilkan karya berlandaskan falsafah, nilai, pengalaman, dan tanggungjawab terhadap masyarakat.
“Pengarang bermaruah bukan hanya dinilai berdasarkan kehebatan berkarya, tetapi juga kesedaran bahawa penulisan merupakan amanah untuk membentuk pemikiran masyarakat.
“Karya yang berkualiti mampu memberikan kesan kepada khalayak dengan mengajak mereka berfikir secara kritis, memahami isu kehidupan dan melihat dunia dari perspektif yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata, usaha melahirkan pengarang bermaruah perlu bermula melalui sistem pendidikan dengan memperkukuh penghayatan sastera sejak di bangku sekolah agar masyarakat mampu menghargai karya yang bermutu dan membentuk jati diri.