Diterbitkan pada 5 Julai 2026, 17:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menegaskan bahawa persatuan ini sentiasa menyokong penganjuran Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) sejak edisi sulungnya pada tahun 1987.

Presidennya, YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, PENA menganggap penganjuran SDPK penting kerana peranan puisi yang terus disokong sejak diperkenalkan sempena sambutan Hari Kebangsaan, dan kemudiannya diuruskan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

“Puisi mempunyai kuasa lunak membujuk hati masyarakat untuk memahami dan mencintai negara.

“Generasi yang sentiasa dibugarkan dengan bacaan puisi dapat hidup dengan satu ideologi,” katanya sewaktu menjadi tetamu program Fokus 30 Bernama Radio yang membincangkan tajuk “Sayembara Deklamasi Puisi: Semarakkan Semangat Patriotisme”, pada 3 Julai 2026.

Beliau berkata, puisi yang dimasyarakatkan dapat membantu masyarakat, terutamanya generasi muda seiring dengan hidup mati puisi.

“Perlu diingat bahawa puisi sudah berperanan besar membangkitkan patriotisme sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi,” tegas beliau.

“Negara kita sudah lama mencapai kemerdekaan, iaitu 69 tahun, justeru SDPK tahun ini bertemakan maruah dan kedaulatan negara yang ditanamkan dalam jiwa anak muda,” ujarnya lagi.

YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (tiga dari kanan) dan Encik Muhammad Zamratur Rahman Yussri (tengah) bergambar seusai perbincangan dalam Fokus 30 Bernama Radio.

Menyentuh aspek pendeklamasian puisi, Dr. Saleeh menjelaskan bahawa pemahaman dan penghayatan merupakan elemen penting kerana aspek tersebut akan mempengaruhi lontaran nada suara.

Sebagai contoh, menurut beliau, bait yang wajar dialunkan dengan nada tinggi akan kedengaran janggal sekiranya dideklamasikan dengan nada yang rendah.

Mesej puisi memang penting diambil kira. Akan kedengaran hambar jika deklamator tidak mengetahui, apatah lagi memahami maksud puisi yang dideklamasikan.

Tambah Dr. Saleeh, puisi yang disampaikan di hadapan khalayak awam merupakan puisi pentas atau puisi mimbar.

Katanya lagi, persembahan jenis ini terbuka kepada dua kemungkinan, sama ada berjaya memikat hati penonton ataupun sebaliknya diabaikan.

“Konsep ini jelas berbeza daripada puisi kamar yang lazimnya sekadar dibaca untuk diri sendiri,” jelasnya.

“Oleh sebab itu, deklamator puisi pentas ini amat perlu memahami dan menghayati puisi yang dideklamasikannya,” tegas beliau.

Perkara ini seiring dengan apa-apa yang dibincangkan oleh seorang lagi tetamu program tersebut, iaitu Encik Muhammad Zamratur Rahman Yussri, Johan SDPK peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKLP) pada tahun 2023 hingga tahun 2025.

Menjawab pertanyaan Puan Shuhadah Armawan dan Puan Hanie Hamid, penyiar Bernama Radio selaku moderator, Encik Zamratur menyatakan tiada rahsia dan kaedah tertentu bagi kemenangan yang diraih olehnya.

“Semua pemenang sayembara ada rahsia tersendiri, tetapi tidak bagi saya. Cuma yang selalu saya lakukan adalah dengan ‘bercinta’ dengan puisi yang telah dipilih untuk dideklamasikan,” jelasnya.

Tambah Zamratur, dengan “mencintai”, dia dapat mengikut dan melayani setiap perasaan dalam puisi berkenaan, dia tidak sekadar mendeklamasikan puisi.

“Kalau jujur, maka aliran pendeklamasian dengan sendirinya cemerlang dan menusuk terus ke jiwa para juri sayembara.

“Ringkasnya, deklamator perlu jujur dan memahami puisi yang dipilih,” jelasnya yang tiga tahun berturut-turut mendeklamasikan tiga buah puisi yang berlainan, daripada antologi Ke Sarang Cenderawasih.

Walau bagaimanapun, Encik Zamratur mengakui kaedah “bercinta” dengan puisi memang amat mencabar kerana usaha memahami maksud penyair mengambil masa yang lama.

“Sebenarnya, saya tidak pernah seratus peratus memahami puisi-puisi yang dipilih. Cuma, kalau sudah suka dan sebati, saya rasa mudah mendeklamasikannya,” jelasnya.

Menjawab pertanyaan mengenai kesan saiz puisi, beliau menegaskan puisi yang pendek paling susah dideklamasikan, kerana belum sempat “panas”, sudah selesai.

Meskipun berehat daripada menyertai SDPK pada tahun ini, tetapi beliau menganggap puisi-puisi dalam antologi Atma Berdaulat amat bermutu tinggi.

Atma Berdaulat akan digunakan oleh para peserta SDPK 2026 dan SDPK 2027 sebelum digantikan dengan antologi lain pula.

Menurut Encik Zamratur, perkembangan media sosial menuntut penganjuran program serta penghasilan karya sastera bergerak seiring dengan kepantasan penyebaran maklumat.

“Oleh sebab media sosial bergerak pantas, pengendalian acara dan penghasilan karya sastera juga perlu pantas. Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ialah acara tahunan yang perlu dipertahankan, antaranya termasuklah menerusi promosi dalam media sosial,” katanya.

Kredit Foto: Facebook BERNAMA Radio
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi