Diterbitkan pada 23 Jun 2026, 11:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sempena Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka ke-70 yang berlangsung di Sarawak, Airul Affendi Ali menitipkan pengalamannya bersama-sama para penulis muda Sarawak melalui acara khas Kultus Kata di Kuching pada 18 April 2026 yang lalu.

Mungkin kita lebih memandang Kuala Lumpur sebagai pusat sastera, namun saya merasakan suara muda dari tebing Sungai Sarawak ini juga perlu diberi perhatian sewajarnya.

Di bawah pergola putih, berhampiran tasik yang menjadi cermin pada langit dan bayang manusia berjalan, sastera berbicara dalam tenang dan santai. Suara-suara tidak terdengar ucapan rasmi dalam megah dewan. Keadaan lebih seperti bisikan dan gurauan kecil dari satu sudut di Pustaka Negeri Sarawak.

Wajah golongan muda berselang-seli dengan muka-muka berpengalaman duduk bersandar di kerusi hijau merapati ruang terletaknya seorang moderator dan penulis kumpulan cerpen Ragam dalam Perut Cicak, Joe Julaihi. Tarikh 18 April 2026 menjadi saksi kemunculan suara-suara penulis muda Sarawak yang berani. Mereka berbicara hal sastera dan buku.

Setelah 30 minit saya mengendalikan bual bicara yang dibawakan khas oleh Kultus Kata dan Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA), saya mula merasakan sesuatu sedang tumbuh segar dalam dunia sastera di Bumi Kenyalang ini. Suara penulis muda Sarawak diam-diam menjalar dalam ranah sastera Melayu. Walaupun berbisik tetapi seolah-olah sedang mengumpul bentuk menjadi dewasa. Mungkin kita lebih memandang Kuala Lumpur sebagai pusat sastera, namun saya merasakan suara muda dari tebing Sungai Sarawak ini juga perlu diberi perhatian sewajarnya.

Joe Julaihi hadir dengan ragam perut cicak membawa pembaca ke dalam ruang gelap dan sesak dengan gaya penulisan aneh dan berani menyentuh isu-isu berat dan tabu bagi sesetengah masyarakat. Keberanian penulis ini terserlah dalam beberapa cerpen beliau yang menyentuh isu moral, integriti dan psikologi. Kumpulan cerpennya beberapa kali menjadi topik bualan dalam kalangan pembaca dan komuniti buku.

Memperkenalkan Joe Julaihi, penulis muda dari Sarawak yang memunculkan kumpulan cerpennya yang terbaharu, Ragam dalam Perut Cicak.

Beliau mungkin salah seorang penulis yang meningkat naik daripada ekosistem penulisan yang bertapak di Sarawak. Beberapa nama lain termasuk Benedict Samling, Stefanie Kaso, Awang Alfizan, dan Marilyn Albert pula sering muncul dengan karya cerpen dan novel. Manakala Adie Abdul Ghani, Nabillah Bolhassan, Asyraf Jamin, Angelo Taj, Azrinna, Sheeda Shapda, Nur Azia, Siti Hajar, Hipnie Sharbini, dan ramai lagi penulis muda memilih genre puisi kini muncul dalam akhbar dan majalah sastera.

Nama seperti Lokman Hakim, Shield Sahran, Clayton Dawi, dan Clariessa Kesulai sudah muncul terlebih dahulu sebagai penulis muda yang menempa nama dalam sastera perdana negara. Bumi Kenyalang juga memberikan peluang kepada penulis bukan kelahiran Sarawak tetapi bermastautin di negeri ini, seperti Fadzly Miswan, Hafiz Berahim dan Abdullah Hussaini.

Mereka muncul dalam pelbagai genre. Bukan sahaja puisi, malah prosa seperti cerpen, novel dan esei kritikan juga menjadi antara pilihan dalam kalangan penulis muda Sarawak. Usaha gigih mereka seperti menyambung legasi kepengarangan penulis terdahulu seperi Jong Chian Lai (Sasterawan Negeri Sarawak Keempat), Abizai (Sasterawan Negeri Sarawak Kelima), Roslan Jomel (penerima SEA Write Award), dan ramai lagi (sekadar memetik beberapa nama).

Saya merenung sedalam mungkin apabila Puan Dayang Azizah, Presiden PEKASA menyatakan bahawa penulis muda di Sarawak kini lahir dari pelbagai rahim bidang dan latar belakang, menjadikan pertumbuhan mereka berkembang lebih cepat. Benar. Setelah saya mengingat kembali, hal ini tidak terbina daripada susuk seorang tokoh namun dari sudut dan ruangan sastera yang masih kekal dalam surat khabar utama negeri seperti Suara Sarawak, Utusan Sarawak, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Utusan Borneo, selain akhbar berpangkalan di Semenanjung dan majalah terbitan DBP.

Platform dan ruang berkarya tidak terhenti di situ apabila dimaklumkan usaha DBP Cawangan Sarawak bekerjasama dengan akhbar-akhbar berbahasa Cina seperti Sin Chew Daily memberi peluang karya-karya seperti puisi muncul dalam helaian kertas mereka. Hal ini bukan sahaja peluang berkarya, malah ruang memperkenalkan karya dan penulis pada pembaca surat khabar yang berpaksikan bahasa Mandarin.

Satu kejutan yang saya terima ketika program santai bual buku berlangsung apabila pihak DBP menghantar beberapa editor sastera untuk bersama-sama mendengar ulasan buku Joe Julaihi. Puan Faekah, Editor Sastera DBP Cawangan Sarawak turut memberikan pandangan dan komen tentang penulisan para penulis muda Sarawak. Beliau melihat kemenjadian penulis muda Sarawak perlu diteruskan dan mengingatkan bahawa masih terlalu awal untuk penulis muda berasa selesa. Paling mengejutkan termasuklah kehadiran Tuan Pengarah DBP Cawangan Sarawak sendiri, Dr. Azizul Haji Ismail yang turut sama-sama duduk di kerusi pembaca dan beberapa kali mencelah bertanya soalan dan memberikan pandangan tentang buku Joe Julaihi.

Saya melihat ini sebagai satu sokongan moral yang kuat bagi penulis muda Sarawak. Kedatangan susuk penting ini seperti meraikan penulis muda, walaupun acara bicara buku ini berlaku dalam suasana santai dan bukan dalam acara formal. Malah, Dr. Azizul amat menyokong para penulis muda Sarawak untuk menulis dalam akhbar dan majalah, malah komited untuk menyediakan tempat bagi mereka menjalankan aktiviti sastera.

Dr. Azizul turut memberikan pandangan dan buah fikirannya tentang sastera dan penulis di Sarawak.

Di sini saya percaya, penulis tidak hanya lahir daripada bakat peribadi tetapi sokongan dan dorongan komuniti, apatah lagi institusi, menjadikan penulis lebih hidup untuk terus menulis. Buktinya, acara bicara buku ini membawa penulis dan pembaca lebih terbuka dalam soal membaca, memberikan pandangan dan kritikan dalam suasana santai.

Sarawak merupakan antara negeri yang banyak memberikan anugerah kepada penulis …

Selain itu, saya melihat pelbagai galakan daripada agensi kerajaan menggembleng tenaga dari segi pembentukan dan persiapan penulis muda seperti bengkel keterampilan yang diadakan oleh DBP juga memainkan peranan besar bagi melahirkan penulis-penulis yang berbakat.

Tidak dilupakan bahawa Sarawak merupakan antara negeri yang banyak memberikan anugerah kepada penulis. Antaranya termasuklah Hadiah Sastera Tunas Sarawak (HSTS), Hadiah Sastera Sarawak, Anugerah Sastera Negeri Sarawak, dan Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak. Anugerah-anugerah ini merupakan galakan daripada pihak kerajaan negeri yang memastikan agar sastera dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dalam hal pembangunan dan kelangsungan budaya negeri Sarawak.

Sasterawan Negara selalu membawa sastera rapat dan dekat kepada masyarakat. Perihal ini sedang dipergiatkan oleh para penulis muda Sarawak sendiri. Seperti pembaca yang hadir pada petang bicara buku tersebut, golongan bukan penulis juga hadir atas dasar minat akan buku dan sastera. Mungkin juga suara-suara penulis muda yang banyak membawa isu masyarakat semasa dalam karya mereka menjadi faktor tarikan masyarakat untuk turut serta bersama-sama dalam acara ini. Usaha ini seolah-olah menjadi satu slogan “daripada masyarakat kepada masyarakat”.

Sebelum pulang ke Semenanjung, saya berjalan menyusuri Sungai Sarawak. Saya cukup berharap agar karya-karya anak Bumi Kenyalang ini terus mengalir seperti sungai ini yang mengalir panjang tidak henti-henti, yang dapat bercerita tanpa noktah saban hari. Kultus Kata juga tidak akan terhenti di sini. Pasti kami akan kembali ke Sarawak dan mengangkat suara dan karya anak Bumi Kenyalang.

Para peserta yang memenuhi majlis Kultus Kata edisi khas di Sarawak baru-baru ini.

_________________________

Airul Affendi Ali, pemula dalam lapangan sastera. Beliau menulis puisi, cerpen dan ulasan buku. Karyanya pernah tersiar dalam Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Tamadun Islam, Dewan Kosmik, Tunas Cipta, WadahDBP, Berita Harian, Mingguan Malaysia, Suara Sarawak, Harian Ekspres, Utusan Borneo, Berita Minggu Singapura, Media Permata Brunei, dan beberapa portal di Indonesia. Airul menulis artikel ini sambil terbayangkan para teman Kultus Kata menikmati nasi himpit dan dendeng daging yang dimasaknya dengan penuh kasih sayang.

Kredit Foto: Airul Affendi Ali
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi