Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Belud – Pengarang Sabah, Norawi Hj. Kata meninggal dunia semalam di Hospital Kota Belud.
Berita pemergian Allahyarham turut dikongsikan oleh Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.
Norawi, lulusan Doktor Falsafah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, bukan sahaja dikenali sebagai pengarang, tetapi juga sebagai penggiat sastera selain kerap menganjurkan bengkel penulisan dalam usahanya membina bakat baharu kesusasteraan.
Selain itu, beliau ialah pengasas Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS).
Dilahirkan pada tahun 1970 di Kampung Taun Gusi, Kota Belud, Allahyarham mula menulis puisi sekitar 1990-an sebelum menghasilkan cerpen empat tahun kemudian.
Karya beliau bukan sekadar terbit di media tempatan tetapi juga mendapat tempat di Indonesia.
Sepanjang tempoh kepengarangannya, karya beliau turut dimuatkan dalam beberapa antologi bersama selain kumpulan puisi persendirian, termasuklah Akta Batin (ITBM, 2013); Lelaki yang Datang dari Jauh (PSBS, 2021); Tetamu Musim Hujan (DBP, 2023); dan Melukis Cermin (DBP, 2023).
Beliau juga pernah diangkat sebagai Karyawan Bulan Ini menerusi majalah Dewan Sastera.
Norawi juga pernah beberapa kali memenangi Hadiah Sastera Sabah bagi kategori Puisi dan Esei/Kritkan Sastera tahun 1996/1997, 1998/1999, 2000/2001, 2010/2011, 2012/2013, 2014/2015, dan 2020/2021.
Pada tahun 2023, sumbangan dan jasa Norawi mendapat pengiktirafan menerusi penganugerahan Bintang Setia Kinabalu (BSK) oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah.
Menurut Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari, pemergian Norawi Hj. Kata ibarat hilangnya kerdipan bintang yang menyerikan dunia sastera tanah air terutamnya dalam kesusasteraan di Sabah. Tambah beliau:
Kecintaan Dr. Norawi Hj. Kata terhadap kesusasteraan dan bidang penulisan begitu mendalam. Selaku Presiden Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS) dan Guru Besar sekolah, beliau melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan kesusasteraan terus subur dan berkesinambungan kepada anak watan. Misalnya, beliau menerusi PSBS dengan kerjasama DBP menganjurkan Program Bimbingan Teori dan Kritikan Sastera untuk melahirkan bakat baharu dalam bidang penulisan esei kritikan di Sabah (2026) dan Program Bengkel Perolehan Manuskrip Majalah Tunas Cipta dan Manuskrip Buku Kanak-kanak dan Remaja (2023). Selain itu, beliau turut menjayakan program Aroma Meja Bulat (2024) yang membicarakan buku puisi beliau, iaitu Tetamu Musim Hujan dalam usaha memperkasakan penulisan genre puisi (2024) dan pelaksanaan Program Majalah Dalam Kelas (2023) untuk menggalakkan pengkaryaan dalam kalangan penulis muda Sabah.
YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari turut berharap agar:
Semoga segala perkara yang diikhtiarkan oleh beliau menjadi amal ibadat yang berpanjangan yang memberikan kerahmatan kepada beliau di dunia yang abadi, al-fatihah.