Diterbitkan pada 22 Jun 2026, 16:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar Kerajaan Negeri Perlis dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis (PPANPs) memperkenalkan Anugerah Sastera Negeri Perlis 2026 sebagai pengiktirafan tertinggi peringkat negeri kepada tokoh dan karya yang menyumbang kepada perkembangan persuratan serta sastera di Perlis.

Penganjuran anugerah tersebut mencerminkan usaha ketiga-tiga institusi dalam membangunkan, memantapkan dan memartabatkan bidang persuratan serta kesusasteraan di negeri itu, di samping mengiktiraf sumbangan para penulis yang telah memperkaya khazanah ilmu dan budaya negeri.

Menurut kenyataan media Kerajaan Negeri Perlis, Anugerah Sastera Negeri Perlis buat pertama kalinya diwujudkan sebagai wadah penghargaan kepada individu yang memberikan sumbangan besar dalam bidang persuratan dan sastera Perlis, selain mengiktiraf karya-karya bermutu tinggi yang dihasilkan oleh anak kelahiran Perlis atau penulis yang bermastautin di negeri itu.

Pengiktirafan bagi kategori tokoh dibahagikan kepada empat anugerah utama, iaitu Anugerah Sasterawan Negeri Perlis, Anugerah Persuratan Negeri Perlis, Anugerah Sasterawan Harapan Negeri Perlis, dan Anugerah Citra Negeri Perlis.

Anugerah Sasterawan Negeri Perlis merupakan pengiktirafan tertinggi kepada individu yang telah menghasilkan karya sastera bermutu tinggi secara berterusan, membina pemikiran masyarakat serta menyumbang kepada perkembangan sastera di negeri berkenaan. Penerima anugerah tersebut akan dianugerahi gelaran Sasterawan Negeri Perlis.

Sementara itu, Anugerah Persuratan Negeri Perlis diberikan kepada individu yang memberikan sumbangan cemerlang dalam bidang persuratan yang merangkumi pelbagai disiplin ilmu seperti pendidikan, sejarah, keagamaan, ekonomi, dan bidang-bidang lain, selain aktif dalam usaha memperkaya bidang penulisan.

Bagi menggalakkan kemunculan generasi pelapis, Anugerah Sasterawan Harapan Negeri Perlis diperkenalkan khusus untuk penulis muda berusia 40 tahun ke bawah yang menunjukkan potensi besar dalam penghasilan karya sastera. Calon yang dipertimbangkan mestilah telah berkecimpung dalam dunia penulisan sekurang-kurangnya selama lima tahun.

Selain itu, Anugerah Citra Negeri Perlis diwujudkan bagi mengiktiraf mana-mana individu yang menghasilkan penulisan berkaitan negeri Perlis. Karya yang dinilai perlu mempunyai nilai ilmiah yang tinggi, bercitrakan negeri Perlis serta memberikan manfaat kepada pembangunan ilmu dan identiti negeri tersebut.

Pengiktirafan terhadap karya sastera pula dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu Kategori A dan Kategori B.

Kategori A melibatkan karya sastera berbentuk buku atau kumpulan karya yang ditulis oleh individu dalam bahasa Melayu dan diterbitkan buat kali pertama. Penilaian dibuat berdasarkan lima genre utama, iaitu novel, cerpen, puisi, drama, serta esei atau kritikan sastera.

Kategori B pula merangkumi karya sastera eceran yang diterbitkan buat kali pertama dalam majalah, surat khabar, jurnal, atau buku. Genre yang dipertandingkan termasuk cerpen, puisi moden, puisi tradisional, drama, serta esei atau kritikan sastera. Bagi edisi 2026 ini, karya yang layak dinilai ialah karya yang diterbitkan sepanjang tempoh tiga tahun, iaitu pada tahun 2023, 2024 dan 2025.

Dari segi kelayakan, pencalonan bagi Anugerah Sasterawan Negeri Perlis, Anugerah Persuratan Negeri Perlis dan Anugerah Sasterawan Harapan Negeri Perlis terbuka kepada warganegara Malaysia yang merupakan anak kelahiran negeri Perlis.

Bagi Anugerah Citra Negeri Perlis pula, pencalonannya terbuka kepada semua warganegara Malaysia tanpa mengira negeri kelahiran, selagi karya yang dihasilkan memberi fokus kepada negeri Perlis.

Sementara itu, pencalonan bagi kategori karya sastera terbuka kepada warganegara Malaysia yang merupakan anak kelahiran Perlis atau individu yang telah bermastautin di negeri tersebut, sekurang-kurangnya selama 10 tahun terkini.

Kerajaan Negeri Perlis turut menetapkan bahawa pencalonan bagi kategori tokoh hendaklah dikemukakan oleh agensi kerajaan, badan, institusi, atau persatuan penulis yang sah dan berdaftar, ataupun oleh individu yang berwibawa dalam bidang sastera atau bidang ilmu lain.

Bagi kategori karya pula, pencalonan boleh dikemukakan oleh penerbit atau penulis sendiri mengikut syarat yang telah ditetapkan.

Orang ramai yang berminat untuk mengemukakan pencalonan boleh mendapatkan borang pencalonan menerusi media sosial rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis dan DBP.

Semua pencalonan hendaklah dihantar kepada Urus Setia Anugerah Sastera Negeri Perlis di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, Jalan Penjara, 01000 Kangar, Perlis sebelum tarikh tutup penyertaan pada 31 Julai 2026.

Kredit Foto: Hairullah Ponichan/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi