Diterbitkan pada 11 Jun 2026, 16:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengarang, penulis skrip dan pengarah filem, YBrs. Dr. Hatta Azad Khan menegaskan bahawa kejayaan sesebuah karya kreatif bergantung pada keupayaannya meyakinkan khalayak bahawa kisah yang direka itu benar-benar berlaku, walaupun karya tersebut lahir daripada imaginasi semata-mata.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Kisah Benar Itu Rekaan Semata-mata dan Kisah Rekaan Itu adalah Benar Belaka” dalam sesi terakhir Kolokium Kajian Kepengarangan Malaysia anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka yang berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, semalam.

Menurut beliau, semua karya kreatif seperti puisi, cerpen, novel, dan skrip televisyen serta filem pada asasnya merupakan hasil rekaan pengarang.

Namun demikian, karya tersebut hanya berjaya apabila pembaca atau penonton dapat menerima dan mempercayai dunia yang dibina oleh pengarang.

“Apabila kita mengarang, kita sebenarnya mencipta sesuatu, dan semua karya kreatif adalah rekaan.

“Namun begitu, sama ada cerita itu datang daripada imaginasi atau diadaptasi daripada kisah sebenar, perkara yang paling penting ialah pembaca dan penonton merasakan bahawa cerita itu benar-benar berlaku,” katanya.

Beliau mengaitkan perkara tersebut dengan konsep “telling lies like truth” atau “berbohong sebagai benar”, iaitu kemampuan pengarang menyampaikan sesuatu yang direka dengan begitu meyakinkan sehingga diterima sebagai realiti oleh khalayak.

Menurutnya, tugas tersebut bukanlah sesuatu yang mudah kerana pengarang perlu membina dunia naratif yang kukuh, konsisten dan mampu menimbulkan kepercayaan dalam kalangan pembaca.

Dalam pembentangannya, beliau turut menekankan pentingnya proses penilaian kendiri dalam menghasilkan karya bermutu tinggi.

Katanya, seseorang pengarang tidak boleh berpuas hati dengan draf pertama dan perlu sentiasa bersedia mengkritik hasil kerja sendiri.

Beliau berkongsi pengalaman ketika menghasilkan filem Mahathir: The Journey yang menyaksikan skripnya ditulis semula sebanyak 14 kali sebelum mencapai bentuk yang memuaskan.

“Kalau anda mahu menjadi pengarang yang baik, anda mesti membaca, membaca dan membaca, kemudian menulis semula. Anda perlu menjadi pengkritik kepada diri sendiri sebelum orang lain mengkritik karya anda,” katanya.

Dr. Hatta turut merujuk pandangan pengarah terkenal dunia, Steven Spielberg, yang menurutnya berjaya menghasilkan karya fantasi dan fiksyen yang diterima sebagai sesuatu yang munasabah melalui teknik penceritaan yang berkesan.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun karya seperti Jaws sarat dengan unsur rekaan, khalayak tetap mempercayainya kerana pengolahannya dilakukan secara teliti dan meyakinkan.

Selain itu, beliau turut memetik pandangan pengarah Jepun, Akira Kurosawa, yang menegaskan bahawa sesebuah karya perlu memenuhi dua fungsi utama, iaitu memuaskan golongan intelektual dan pada masa yang sama menghiburkan masyarakat umum.

“Cabaran pengarang ialah menghasilkan karya yang mempunyai nilai seni tinggi untuk kelompok yang terpelajar, tetapi masih dapat dinikmati dan difahami oleh masyarakat biasa,” katanya.

Mengulas peranan pengarang dalam masyarakat, beliau memetik kata-kata sasterawan Indonesia, Pramoedya Ananta Toer, bahawa penulisan merupakan usaha menuju keabadian kerana karya yang dihasilkan mampu merentasi zaman dan terus hidup dalam ingatan masyarakat.

Menurut beliau, cita-cita tertinggi seseorang pengarang adalah untuk menghasilkan karya yang kekal relevan dan terus dibaca serta ditonton oleh generasi demi generasi sehingga mencapai taraf karya klasik.

Sebagai contoh, beliau menyatakan bahawa karya-karya P. Ramlee masih terus dinikmati sehingga hari ini, sama ada dalam bentuk komedi mahupun drama, sekali gus membuktikan kemampuan sesebuah karya untuk melampaui batas waktu dan menjadi warisan budaya yang berkekalan.

Dalam dunia yang semakin berubah dan dipengaruhi teknologi baharu, beliau percaya prinsip asas kepengarangan tetap sama, iaitu menghasilkan karya yang jujur dari segi pengolahan dan mampu meyakinkan khalayak terhadap dunia yang dicipta oleh pengarang.

“Matlamat akhir bagi setiap pengarang adalah untuk menghasilkan karya yang dapat hidup lebih lama daripada diri pengarang itu sendiri. Jika karya itu terus dibaca, ditonton dan dihargai oleh generasi demi generasi, maka pengarang itu telah berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik,” katanya.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi