Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Pengalaman hidup dalam kemiskinan sejak kecil menjadi faktor utama yang membentuk pemikiran, kreativiti dan perjalanan kepengarangan tokoh wartawan dan dramatis, YBhg. Tan Sri Johan Jaaffar.
Beliau berkongsi pengalaman tersebut menerusi pembentangan kertas kerja bertajuk “Kemiskinan Mencorakkan Kepengarangan Saya” dalam Kolokium Sastera: Kajian Kepengarangan Malaysia bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-70 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, semalam.
Menurut Johan, beliau dibesarkan di Kampung Sungai Balang Besar, Muar, Johor dalam suasana kehidupan yang serba kekurangan.
Ayahnya bekerja sebagai penoreh getah dan tukang gunting rambut kampung, manakala keluarganya bergantung kepada pendapatan yang tidak menentu.
Beliau mengimbau sepucuk surat yang diterimanya daripada adiknya, Kahtijah, pada tahun 1975 ketika beliau sedang menuntut di Universiti Malaya.
Dalam surat itu, adiknya memaklumkan bahawa dia tidak mampu membeli majalah Utusan Pelajar yang berharga hanya 25 sen.
“Realiti hidup keluarga saya yang miskin dibuktikan dengan kiriman sepucuk surat itu. Kandungan surat itu kemudiannya membentuk pandangan dunia saya dan seterusnya mencorakkan karya-karya yang saya hasilkan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa kemiskinan bukanlah pengalaman eksklusif dirinya kerana sebahagian besar masyarakat Melayu pada era tersebut turut berdepan kesusahan hidup.
Namun begitu, pengalaman tersebut telah melahirkan kesedaran sosial yang kemudiannya diterjemahkan dalam karya kreatifnya.
Ketika melanjutkan pengajian di Universiti Malaya pada tahun 1974, Johan terdedah kepada gerakan mahasiswa yang memperjuangkan isu rakyat seperti kemiskinan dan penindasan. Pengalaman tersebut mendorong beliau menghasilkan drama pertamanya, Kotaku Oh Kotaku pada tahun 1975.
Drama tersebut mengetengahkan kehidupan golongan pekerja bawahan di Kuala Lumpur seperti pengangkut najis, penyapu jalan dan golongan terpinggir yang sering tidak mendapat perhatian masyarakat.
“Manusia-manusia kecil yang saya temui di sebuah warung di Bangsar telah memberikan ilham kepada saya untuk menghasilkan karya yang dekat dengan realiti kehidupan rakyat,” katanya.
Johan berkata, pengalaman hidup yang mencabar turut memaksanya melakukan pelbagai pekerjaan sambilan ketika bergelar mahasiswa, termasuk bekerja di kedai motosikal, menjaga tempat letak kereta, mengambil upah mengisi minyak di stesen minyak dan membersihkan tandas di bangunan New Straits Times Press bagi menampung perbelanjaan serta membantu keluarganya di kampung.
Beliau menyifatkan pengalaman tersebut sebagai proses pendidikan kehidupan yang memperkukuh azamnya untuk keluar daripada belenggu kemiskinan melalui ilmu dan penulisan.
Dalam pembentangan itu, beliau turut mengakui bahawa banyak karya dramanya seperti Kotaku Oh Kotaku, Pemandu Teksi, Asiah Samiah, Pokok dan Bangku lahir daripada pengalaman sebenar yang ditemuinya dalam masyarakat.
Menurut beliau, karya kreatif bukan sahaja menjadi wadah ekspresi seni, malah berfungsi sebagai rakaman pengalaman manusia yang sering terpinggir daripada perhatian umum.
“Saya berhutang budi kepada kemiskinan. Kemiskinan mengajar saya tentang kehidupan, membentuk peribadi saya dan memberikan matlamat untuk melakukan perubahan,” katanya.
Johan turut menegaskan bahawa walaupun pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam dunia korporat dan media, termasuk sebagai Pengerusi Media Prima Berhad dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, beliau tetap menganggap dirinya seorang pengarang yang tidak pernah meninggalkan dunia sastera.
Beliau mengakhiri pembentangannya dengan menyatakan penghargaan kepada DBP yang telah menjadi sebahagian penting daripada perjalanan hidup dan kerjayanya sebagai penulis, wartawan dan pemimpin institusi budaya negara.