Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kepelbagaian genre, tema dan gaya bahasa yang diterokai pengarang tempatan menjadi antara faktor utama yang memperkaya khazanah kesusasteraan Malaysia sejak zaman awal kesusasteraan moden hingga hari ini.
Perkembangan kepengarangan moden negara bermula dengan kemunculan Abdullah Munsyi yang dianggap sebagai pelopor kesusasteraan Melayu moden menerusi karya seperti Kisah Pelayaran Abdullah dan Hikayat Abdullah, yang memperkenalkan pendekatan baharu yang lebih bersifat realistik dan berteraskan pengalaman hidup sendiri.
Sasterawan Negeri Sarawak, YBrs. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi berkata, selain Abdullah Munsyi, Ahmad Shawal Abdul Hamid turut menyumbang kepada perkembangan kesusasteraan moden melalui penghasilan Hikayat Panglima Nikosa Mendapat Kesusahan Waktu Perang Sampai Mendapat Kemenangan pada tahun 1876, manakala Syed Sheikh al-Hadi pula memperkenalkan genre novel menerusi Hikayat Faridah Hanom.
Katanya, kepengarangan Malaysia berkembang seiring perubahan zaman dan dipengaruhi oleh latar pendidikan, budaya serta pengalaman hidup pengarang.
“Pengarang tempatan bukan sahaja menulis dalam pelbagai genre seperti novel, cerpen, puisi, dan drama, malah mengangkat pelbagai tema termasuk kemasyarakatan, sejarah, politik, pendidikan, agama, dan kemanusiaan.
“Setiap zaman melahirkan tema yang berbeza. Sebelum merdeka, pengarang banyak mengangkat semangat nasionalisme dan perjuangan bangsa, manakala selepas merdeka, karya lebih tertumpu kepada isu pembangunan, kemiskinan dan perubahan sosial,” katanya ketika berkongsi kertas kerja “Kepelbagaian Kepengarangan Pengarang Malaysia” dalam Kolokium Sastera: Kajian Kepengarangan Pengarang Malaysia anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, semalam.
Abang Patdeli berkata, memasuki era moden dan pascamoden, pengarang semakin berani membicarakan isu politik, identiti, gender, peperangan, serta cabaran global yang dihadapi oleh masyarakat.
Menyentuh mengenai aspek gaya bahasa, beliau berkata, kebanyakan pengarang Malaysia memanfaatkan unsur metafora, simbolisme dan satira bagi menyampaikan mesej secara lebih berkesan.
Teknik penceritaan yang digunakan juga pelbagai, termasuk sudut pandangan orang pertama dan orang ketiga mengikut kesesuaian karya.
Tambahnya, unsur realisme dan individualisme menjadi antara ciri utama yang membezakan kesusasteraan moden daripada kesusasteraan tradisional.
“Pengarang moden tampil dengan suara dan pemikiran tersendiri. Mereka bukan sekadar menyampaikan cerita, tetapi turut merakam pengalaman hidup, mengkritik masyarakat serta mengemukakan pandangan terhadap isu semasa.
“Kebanyakan pengarang tempatan berkarya berasaskan hati nurani dan tanggungjawab intelektual, sekali gus menjadikan karya sastera sebagai medium untuk menyuarakan pemikiran serta merakam denyut nadi masyarakat,” katanya.
Tambahnya, kepelbagaian kepengarangan yang wujud dalam kalangan pengarang Malaysia hari ini membuktikan kesusasteraan negara terus berkembang secara dinamik dan relevan dengan perubahan zaman.
Sementara itu, perbezaan genre, tema, teknik penceritaan, dan gaya bahasa yang dimiliki oleh setiap pengarang sebenarnya menjadi kekuatan utama yang memperkaya landskap sastera kebangsaan.