Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Ketokohan Sasterawan Negara (SN) Ke-16, Allahyarham Dr. Abdul Rahman Napiah atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana, bukan sahaja diukur menerusi ratusan naskhah sastera dan wacana teorinya, malah keperibadian beliau yang ringkas, lucu serta berwawasan terus mekar dalam ingatan rakan seperjuangan dan anak didiknya.
Perkara tersebut dikongsikan secara tuntas menerusi program Wacana Sasterawan Negara Ke-16: Menelusuri Pemikiran dan Karya Mana Sikana yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, bersempena dengan hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.
YBrs. Profesor Madya Dr. Mawar Safei dari Universiti Kebangsaan Malaysia menyifatkan Mana Sikana sebagai seorang pengarang yang sangat prolifik, yang telah menghasilkan lebih 100 buah naskhah merangkumi kepelbagaian genre seperti novel, cerpen, drama dan kritikan sastera.
Malah, kehebatan beliau terus unggul apabila berjaya menjana teori sastera tempatan, iaitu Teori Teksdealisme yang kini menjadi rujukan utama mahasiswa peringkat sarjana dan doktor falsafah.
“Dr. Mana Sikana menyediakan satu jalan untuk kita lalui bagi menjejaki kepengarangan Melayu. Karya beliau, terutamanya cerpen eksperimental dan absurd, amat menuntut kematangan, kesungguhan dan ketekunan untuk difahami dan dihayati intipatinya,” jelas beliau yang pernah menjadi anak didik SN berkenaan.
Dalam pada itu, ahli panel kedua, YBrs. Dr. Nur Afifah Vanitha Abdullah pula mengimbau sisi peribadi Mana Sikana di luar dewan kuliah sebagai seorang guru yang sangat pemurah, mudah didekati dan sering menghidupkan suasana dengan gelak tawa.

“Beliau seorang yang sangat mudah dan lucu. Waktu saya menyiapkan tesis, beliau selalu mengusik saya dengan soalan ‘Nak A tak? Tambah lagi’, sambil menggigit pen. Beliau juga tidak pernah berkira untuk meminjamkan buku rujukannya kepada pelajar,” kongsi Dr. Nur Afifah.
Menyentuh tentang karya drama Mana Sikana, Dr. Nur Afifah menjelaskan bahawa skrip drama beliau mempunyai kerangka yang unik, beliau bijak memecahkan ketegangan babak dan mesej berat dengan menyelitkan dialog humor serta watak yang tidak disangka-sangka.
Sisi kemahiran Mana Sikana dalam seni pementasan turut diakui oleh YBhg. Datuk Rahman Shaari yang mendedahkan bahawa SN Ke-16 itu merupakan seorang “orang teater” tulen yang sangat menitikberatkan teknik pementasan, meskipun masyarakat lebih mengenalinya sebagai seorang penulis dan pengkritik.
Lebih menarik, SN Ke-13, YBhg. Datuk Dr. Zurinah Hassan turut berkongsi satu catatan kenangan mengenai ketajaman wawasan Mana Sikana.

Beliau mendedahkan bahawa Mana Sikana pernah menulis dalam sebuah jurnal mengenai senarai Sasterawan Negara pilihannya dan ramalan urutan nama tersebut benar-benar menjadi kenyataan.
Ketokohan dan bakat penulisan luar biasa Mana Sikana sebenarnya telah mula bercambah sejak usia remajanya apabila beliau meraih hadiah RM100 menerusi cerpen pertamanya berjudul “Sahabat yang Berbudi dan Berduri” yang diterbitkan dalam Warta Mingguan pada tahun 1964 ketika beliau baru berusia 18 tahun.
Turut hadir dalam wacana khas Mana Sikana ini termasuklah rakan-rakan Sasterawan Negara yang terdiri daripada YBhg. Profesor Datuk Dr. Muhammad Haji Salleh, YBhg. Datuk Rahman Shaari, YBhg. Datuk Dr. Zurinah Hassan, YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, serta YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan yang juga merangkap Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari dan Puan Salmah berserta keluarga Allahyarham Mana Sikana.
Wacana ini turut diserikan dengan persembahan daripada kumpulan Gema Ritma yang menghiburkan halwa telinga penonton yang hadir menyaksikan wacana ilmu ini.