Diterbitkan pada 22 Mei 2026, 11:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

London – Novel Taiwan Travelogue karya penulis Taiwan, Yang Shuang-zi, mencipta sejarah apabila diumumkan sebagai pemenang Hadiah Booker Antarabangsa 2026 dalam satu majlis di Tate Modern, malam Selasa lalu.

Karya yang diterjemahkan daripada bahasa Mandarin kepada bahasa Inggeris oleh Lin King itu menjadi buku pertama diterjemahkan daripada bahasa Mandarin yang memenangi anugerah berprestij berkenaan.

Penerbit bebas yang berpangkalan di Sheffield, And Other Stories, turut mencatat sejarah sebagai penerbit pertama memenangi anugerah itu dalam dua tahun berturut-turut selepas kejayaan Heart Lamp karya Banu Mushtaq pada tahun 2025.

Taiwan Travelogue pertama kali diterbitkan dalam bahasa Mandarin pada tahun 2020 dan pernah memenangi Golden Tripod Award, iaitu penghormatan sastera tertinggi di Taiwan.

Versi terjemahan bahasa Inggeris terbitan Graywolf Press pula memenangi National Book Award for Translated Literature 2024.

Lin King muncul sebagai penterjemah Taiwan-Amerika pertama memenangi Hadiah Booker Antarabangsa, manakala Shuang-zi pula penulis Taiwan pertama meraih pengiktirafan itu. Hadiah wang tunai £50,000 (kira-kira RM286,000) dibahagikan sama rata antara penulis dengan penterjemah.

Naskhah itu mengangkat kisah berbentuk memoir pengembaraan tahun 1938 mengenai seorang penulis Jepun yang menjelajah Taiwan ketika era penjajahan Jepun, ditemani oleh jurubahasa tempatan yang turut berperanan sebagai tukang masak, pemandu pelancong dan pasangan romantik.

Karya berkenaan mengupas isu sejarah, kuasa, kelas sosial, kolonialisme, dan cinta menerusi pengembaraan kulinari dua wanita merentasi Taiwan pada era 1930-an.

Pengerusi panel hakim 2026, novelis dan pemenang Betty Trask Award 2022, Natasha Brown, menyifatkan novel itu sebagai karya “memikat dan penuh kecerdikan” yang berjaya menampilkan elemen romantik serta kritikan pascakolonial secara berkesan.

Sementara itu, Shuang-zi, seperti dilaporkan dalam laman web The Booker Prizes berkata, “Korea dan Taiwan pernah menjadi tanah jajahan Empayar Jepun, namun rakyat Korea dilihat mempunyai rasa tidak puas hati yang lebih jelas terhadap sejarah itu, manakala masyarakat Taiwan pula melihatnya dengan perasaan bercampur antara kurang senang dengan nostalgia.

“Menerusi sudut pandang Taiwan moden, saya mahu merungkaikan keadaan rumit yang dihadapi oleh rakyat Taiwan pada masa lalu, selain meneroka masa hadapan yang patut kita usahakan bersama,” katanya.

Selain Natasha Brown, penjurian The Booker Prize International kali ini turut membabitkan profesor matematik dan penyiar, Marcus du Sautoy; penterjemah Sophie Hughes; penulis dan editor Troy Onyango; serta novelis Nilanjana S. Roy.

Kredit Foto: The Booker Prizes/Facebook
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi