Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid membandingkan imej gelap ibu kota Kuala Lumpur dengan imej romantik ibu kota Paris setelah membaca puisi “Lumpur Kota Ini” Salman Sulaiman.
Menerusi imaginasi sastera Melayu, Kuala Lumpur jarang-jarang menjadi ruang romantik yang memulihkan manusia …
Sebenarnya, ada puisi yang dibaca lalu berlalu begitu sahaja sebagai teks dan ada puisi yang tinggal lebih lama sebagai kegelisahan. Puisi “Lumpur Kota Ini” (2026) karya Salman Sulaiman yang terbit melalui JendelaDBP Dewan Sastera tergolong dalam kelompok kedua. Sejak larik awal yang menyatakan bahawa “Lumpur kota ini sedang memamah kulit, dan jasadmu”, puisi ini segera membina suasana kota yang menyesakkan dan menggerunkan. Kota tidak lagi hadir sebagai sekadar latar fizikal yang dipenuhi oleh bangunan, jalan raya dan lampu neon, tetapi sebagai ruang yang perlahan-lahan menghakis manusia dari dalam. Lumpur dalam puisi ini bukan lumpur tanah yang melekat pada kaki, sebaliknya lumpur kehidupan moden yang melekat pada jiwa dan cara manusia memandang hidup.
Ketika membaca puisi ini, saya tertanya-tanya, mengapa Kuala Lumpur sering menjadi watak jahat dalam sastera Melayu? Mengapa kota ini begitu kerap muncul sebagai ruang tekanan, kerakusan, kesunyian, dan kehilangan nilai kemanusiaan? Dalam banyak karya Melayu moden, Kuala Lumpur seolah-olah memiliki peranan antagonis yang menelan harapan manusia sedikit demi sedikit. Kota ini digambarkan sebagai tempat manusia terpaksa berlumba dengan masa, bekerja tanpa rehat, hidup dalam desakan ekonomi, dan akhirnya kehilangan pertimbangan hidup sendiri. Gambaran seperti ini menjadikan Kuala Lumpur bukan sekadar kota, tetapi simbol kegelisahan masyarakat moden Melayu terhadap perubahan zaman.
Persoalan ini menjadi lebih menarik apabila dibandingkan dengan bagaimana kota lain seperti Paris sering dirayakan dalam kesusasteraan dunia sebagai kota cinta, seni dan kebebasan. Paris dibina melalui imaginasi romantik yang dipenuhi kafe, sungai, puisi, dan kenangan, manakala Kuala Lumpur pula lebih kerap hadir sebagai kota yang memenatkan dan menyesakkan. Menerusi imaginasi sastera Melayu, Kuala Lumpur jarang-jarang menjadi ruang romantik yang memulihkan manusia. Sebaliknya, kota ini lebih banyak muncul sebagai ruang yang menguji manusia dengan tekanan hidup, kerakusan material dan keterasingan sosial. Dalam hal ini, puisi “Lumpur Kota Ini” membuka ruang yang penting untuk memahami bagaimana imaginasi sastera Melayu melihat kota moden bukan sebagai lambang kemajuan semata-mata, tetapi juga sebagai ruang krisis kemanusiaan.
Lumpur yang Tidak Kelihatan: Kota sebagai Ruang Moral yang Rosak
Salah satu kekuatan terbesar puisi “Lumpur Kota Ini” terletak pada penggunaan metafora “lumpur” yang sederhana tetapi sangat tajam maknanya. Salman Sulaiman tidak menggambarkan lumpur sebagai sesuatu yang bersifat fizikal atau dapat dilihat dengan mata kasar. Sebaliknya, lumpur dalam puisi ini hadir sebagai simbol kerosakan moral yang menyaluti kehidupan kota. Hal ini dapat dilihat melalui larik yang menyatakan “Terlalu banyak lumpur/walau tidak nampak.” Lumpur yang dimaksudkan bukan berada di jalan-jalan kota, tetapi melekat dalam cara manusia berfikir, bekerja dan menjalani kehidupan seharian. Lumpur itu tersembunyi di balik bangunan yang kelihatan megah, pakaian yang tampak kemas dan kehidupan moden yang sering dipuja sebagai lambang kemajuan.
Dalam puisi ini, lumpur menjadi lambang kerakusan, penindasan, hipokrasi, dan budaya materialisme yang semakin menyesakkan manusia moden. Peraka ini ditegaskan melalui baris “Ramai yang pentingkan poket, dari Tuhan.” Baris ini memperlihatkan bagaimana nilai kehidupan di kota telah berubah sehingga wang dan keuntungan menjadi ukuran utama dalam menentukan makna hidup. Kota tidak lagi bergerak atas asas kemanusiaan atau pertimbangan moral, tetapi asas logik keuntungan dan kepentingan diri. Menerusi keadaan seperti ini, manusia mula kehilangan empati dan menjadikan orang lain sekadar alat untuk bertahan hidup. Tidak menghairankan apabila penyair turut menggambarkan bahawa “dalam segala kesempitan/kota inilah tempat orang ambil kesempatan.” Kesempitan hidup di kota akhirnya melahirkan budaya saling menindas sesama manusia.
Puisi ini juga memperlihatkan kehidupan kota yang memaksa manusia hidup dalam keadaan sentiasa tertekan, sehingga pertimbangan nilai semakin terhakis. Orang bergaduh kerana ruang parkir, manusia perlu “berlagak sombong agar dihormati” dan pekerja diperah kudrat sehingga “terlupa memakai akal”. Semua ini menunjukkan bahawa kota dalam puisi ini bukan lagi ruang yang membina manusia, tetapi ruang yang perlahan-lahan memusnahkan sisi kemanusiaannya. Lumpur yang tidak kelihatan itu akhirnya menjadi berbahaya daripada lumpur sebenar kerana menenggelamkan jiwa tanpa disedari.
Keadaan ini sangat berbeza dengan bagaimana kota seperti Paris sering digambarkan dalam sastera Barat. Paris lazimnya hadir sebagai ruang seni, intelektualisme dan kebebasan individu. Kota itu dirayakan melalui imej kafe, galeri seni, jalan-jalan romantik, dan kehidupan bohemian yang melahirkan penyair, pelukis dan pemikir besar. dalam kebanyakan karya Barat, Paris menjadi ruang manusia mencari makna hidup dan memperhalusi jiwa. Sebaliknya, Kuala Lumpur dalam puisi ini muncul sebagai ruang kelangsungan hidup (survival) dan keletihan sosial. Kota bukan tempat manusia menemukan diri, tetapi tempat manusia kehilangan dirinya, sedikit demi sedikit. Jika Paris sering menjadi kota yang menghidupkan imaginasi, Kuala Lumpur dalam imaginasi sastera Melayu pula lebih kerap menjadi kota yang menguji daya tahan manusia untuk terus hidup.
Kuala Lumpur dan Tradisi Kota Gelap dalam Sastera Melayu
Desa lazimnya dilihat sebagai ruang kemanusiaan, kekeluargaan dan nilai tradisi yang lebih dekat dengan agama serta kehidupan bermasyarakat.
Selalunya, menerusi tradisi sastera Melayu moden, Kuala Lumpur sering muncul bukan sekadar sebagai latar cerita, tetapi sebagai simbol pada tekanan hidup moden yang semakin menjarakkan manusia daripada nilai kemanusiaannya sendiri. Kota ini berkali-kali digambarkan sebagai ruang yang dipenuhi oleh tekanan ekonomi, jurang sosial, kehilangan identiti dan keterasingan emosi. Watak-watak yang hadir dalam karya-karya berlatarbelakangkan Kuala Lumpur lazimnya hidup dalam keadaan tergesa-gesa, diburu hutang, terpaksa bersaing untuk terus bertahan, dan akhirnya kehilangan hubungan yang tulen dengan orang lain. Dalam banyak karya sastera Melayu, kota tidak menawarkan ketenangan, sebaliknya menjadi ruang manusia belajar tentang keletihan hidup.
Keresahan ini sangat jelas dalam puisi “Lumpur Kota Ini” apabila penyair menulis, “tuan perlu berlagak sombong/agar dihormati, dan tidak didekati.” Baris ini memperlihatkan bagaimana kehidupan kota memaksa manusia memakai “topeng sosial” demi kelangsungan hidup. Kesombongan bukan lagi sifat peribadi semata-mata, tetapi menjadi strategi untuk melindungi diri dalam dunia yang “keras” dan penuh persaingan. Kota dalam puisi ini tidak membenarkan manusia menjadi dirinya sendiri. Untuk dihormati, seseorang perlu kelihatan kuat. Untuk bertahan, seseorang perlu menjauhkan diri daripada orang lain. Akhirnya, hubungan manusia menjadi dingin dan penuh kepalsuan. Maka, manusia moden hidup berdekatan secara fizikal, tetapi jauh secara emosi.
Malah, dalam imaginasi sastera Melayu, pertentangan antara desa dengan kota sering dibina secara simbolik. Desa lazimnya dilihat sebagai ruang kemanusiaan, kekeluargaan dan nilai tradisi yang lebih dekat dengan agama serta kehidupan bermasyarakat. Walaupun desa juga mempunyai masalahnya sendiri, ruang itu sering diberikan sifat yang lebih “manusiawi”. Sebaliknya, kota digambarkan sebagai ruang persaingan yang menuntut manusia bergerak pantas dan sentiasa bersedia untuk bersaing antara satu sama lain. Oleh sebab itu, banyak karya Melayu memperlihatkan watak yang datang dari kampung ke Kuala Lumpur akhirnya mengalami kejutan budaya, kesunyian dan keretakan jiwa. Kota menjadi ruang yang mengubah manusia sedikit demi sedikit sehingga mereka tidak lagi mengenali diri sendiri.
Mungkin atas sebab itulah Kuala Lumpur jarang-jarang diberikan peluang untuk menjadi kota romantik dalam sastera Melayu. Kota ini dibina dalam imaginasi masyarakat melalui pengalaman hidup yang perit; kesesakan jalan raya, tekanan kos sara hidup, pekerjaan yang memerah tenaga, dan hubungan sosial yang semakin renggang. Berbeza daripada Paris yang diwarisi melalui mitos cinta dan seni, Kuala Lumpur lebih banyak diwarisi melalui pengalaman survival masyarakat bandar. Dalam sastera Melayu, Kuala Lumpur bukan kota untuk berangan, tetapi kota untuk bertahan. Maka, tidak menghairankan apabila kota ini lebih mudah muncul sebagai “watak gelap” yang memenatkan manusia daripada ruang romantik yang menyembuhkan jiwa.
Mengapa Paris Dirayakan tetapi Kuala Lumpur Dicurigai?
Perbezaan cara Paris dan Kuala Lumpur digambarkan dalam kesusasteraan sebenarnya memperlihatkan bagaimana sesebuah masyarakat membina makna terhadap kota mereka sendiri. Paris sejak sekian lama diwarisi dalam imaginasi budaya Barat sebagai kota seni, kota cinta dan ruang intelektualisme. Kota itu dirayakan melalui lukisan, filem, puisi, dan novel sebagai tempat manusia mencari kebebasan diri, menikmati kehidupan dan meraikan keindahan. Nama Paris sendiri sering membangkitkan imej romantik seperti kafe di tepi jalan, Sungai Seine, pelukis jalanan, muzium seni, dan pertemuan antara cinta dengan kesunyian yang indah. Kota ini dibina melalui mitos budaya Barat yang menjadikan kehidupan urban sebagai sesuatu yang estetik dan bernilai artistik.
Sebaliknya, Kuala Lumpur lebih banyak dibina melalui imaginasi pembangunan dan tuntutan hidup moden. Kota ini sering muncul sebagai ruang kapitalisme, persaingan ekonomi dan kehidupan yang bergerak terlalu pantas. Seperti yang tercatat dalam “Lumpur Kota Ini”, hal tersebut tergambar melalui baris “kerja penat, tiada rehat”. Baris yang ringkas ini sebenarnya membawa makna yang besar tentang bagaimana kehidupan kota memerah tenaga manusia tanpa memberikan ruang untuk bernafas. Kuala Lumpur dalam puisi ini bukan ruang untuk menikmati hidup, tetapi ruang untuk terus bekerja demi kelangsungan hidup. Manusia bergerak dari satu tempat ke satu tempat bukan kerana ingin menikmati kota, tetapi kerana terpaksa mengejar masa, pekerjaan dan keperluan hidup yang tidak pernah selesai.
Perbezaan ini juga lahir dari sudut pandang yang membentuk kedua-dua kota tersebut dalam kesusasteraan. Paris sering dilihat melalui mata pelancong, seniman atau intelektual yang datang ke kota itu untuk mencari pengalaman budaya dan estetika. Oleh sebab itu, Paris mudah dilihat sebagai ruang romantik dan penuh nostalgia. Bahkan kesunyian di Paris sering digambarkan sebagai sesuatu yang indah dan puitis. Sebaliknya, Kuala Lumpur dalam sastera Melayu lebih banyak ditulis melalui sudut pandang pekerja, penghuni pangsapuri kecil, pemandu jalan raya, golongan yang diburu hutang, dan masyarakat biasa yang hidup dalam tekanan ekonomi. Kota ini tidak dilihat dari tingkap hotel mewah atau galeri seni, tetapi dari kesesakan jalan raya, ruang parkir, tempat kerja, dan lorong kehidupan yang sempit.
Atas sebab itu, nada kesusasteraan terhadap kedua-dua kota ini menjadi sangat berbeza. Paris sering melahirkan nostalgia dan romantisisme, manakala Kuala Lumpur melahirkan sesak dan kegelisahan. Menerusi imaginasi Barat, kota boleh menjadi ruang untuk manusia menemukan dirinya sendiri. Namun, dalam banyak karya sastera Melayu moden, Kuala Lumpur lebih kerap menjadi ruang manusia kehilangan dirinya sedikit demi sedikit. Kota ini tidak digambarkan sebagai tempat untuk bermimpi, tetapi tempat untuk bertahan hidup. Maka, jika Paris dikenang kerana keindahannya, Kuala Lumpur dalam banyak karya sastera Melayu terus diingati kerana tekanan yang dipikul oleh manusia yang hidup di dalamnya.
Kota yang Menelan Manusia
Pada bahagian akhir puisi “Lumpur Kota Ini”, Salman Sulaiman membawa pembaca kepada gambaran kota yang semakin gelap dan menyesakkan. Penyair menulis, “Seluruh kehidupan/selalu, berakhir di simpang.” Larik ini memberikan kesan yang kuat kerana ‘simpang’ dalam puisi ini bukan sekadar persimpangan jalan raya, tetapi simbol kehidupan manusia moden yang sentiasa berada dalam keadaan terhenti, tersekat dan tidak pernah benar-benar sampai ke destinasi ketenangan. Kehidupan di kota digambarkan seolah-olah berakhir di tengah perjalanan, sebelum manusia sempat menikmati hasil daripada segala penat lelah mereka. Kota dalam puisi ini bukan lagi ruang untuk hidup, tetapi ruang yang perlahan-lahan menghabiskan hidup manusia.
Hal ini menjadikan kota dalam puisi ini seakan-akan makhluk hidup yang memakan tenaga manusia sedikit demi sedikit. Imej yang digunakan oleh penyair sangat urban dan dekat dengan realiti kehidupan Kuala Lumpur, iaitu jalan raya yang sibuk, lampu merah yang dilanggar, pekerja yang keletihan dan tubuh manusia yang “terjelepok ke tanah”. Semua imej ini membina suasana kota yang sentiasa bergerak tanpa belas kasihan terhadap manusia yang berada di dalamnya. Jalan raya tidak lagi menjadi simbol mobiliti atau kemajuan, tetapi simbol kesibukan yang memerangkap manusia dalam rutin yang melelahkan. Lampu merah yang dilanggar pula bertindak memperlihatkan bagaimana tekanan hidup menyebabkan manusia kehilangan kesabaran dan pertimbangan. Dalam dunia yang terlalu mendesak, manusia tidak lagi mempunyai masa untuk berhenti, berfikir atau merasa.
Imej pekerja yang diperah kudratnya sehingga “terlupa memakai akal” dan akhirnya “terjelepok ke tanah” juga memperlihatkan sisi paling tragik kehidupan kota. Manusia dalam puisi ini bukan sahaja letih secara fizikal, tetapi juga lumpuh secara emosi dan mental. Mereka bekerja sehingga kehilangan keupayaan untuk menikmati kehidupan sebagai manusia. Dalam konteks ini, Kuala Lumpur bukan lagi sekadar lokasi geografi, tetapi sebuah sistem kehidupan yang menghapuskan sisi kemanusiaan manusia moden. Kota bergerak seperti mesin besar yang menuntut manusia terus bekerja, terus mengejar dan terus bertahan, walaupun tubuh dan jiwa mereka semakin hancur.
Puisi ini akhirnya membawa pembaca kepada persoalan yang lebih besar tentang makna kemodenan dan pembangunan. Selama ini, pembangunan sering diraikan melalui bangunan tinggi, lebuh raya moden dan pertumbuhan ekonomi. Namun begitu, puisi “Lumpur Kota Ini” seolah-olah bertanya semula: adakah pembangunan benar-benar memanusiakan manusia? Jika kemajuan hanya melahirkan manusia yang keletihan, terasing dan hidup tanpa ketenangan, maka pembangunan itu sebenarnya sedang membina apa? Dalam puisi ini, kota moden tidak digambarkan sebagai lambang kejayaan tamadun, tetapi sebagai ruang yang memperlihatkan bagaimana manusia semakin jauh daripada dirinya sendiri.
Mengapa Kuala Lumpur sering menjadi watak jahat dalam sastera Melayu?
Tuntasnya, “Lumpur Kota Ini” karya Salman Sulaiman akhirnya memperlihatkan bahawa kritikan yang dibawa oleh penyair bukan sekadar ditujukan kepada Kuala Lumpur sebagai sebuah kota, tetapi terhadap cara hidup moden yang semakin menjauhkan manusia daripada dirinya sendiri. Lumpur yang disebut dalam puisi ini bukan sekadar lambang kota yang kotor, tetapi lambang kehidupan yang memaksa manusia hidup dalam keadaan sentiasa tertekan, tergesa-gesa dan kehilangan pertimbangan nilai. Kota moden dalam puisi ini menjadi ruang yang memenatkan tubuh, menghakis jiwa dan menjadikan manusia semakin asing terhadap makna kehidupan yang sebenar. Di tengah-tengah bangunan tinggi dan lampu kota, manusia masih gagal menemukan ketenangan dan kemanusiaannya sendiri.
Penulisan ini lahir daripada kegelisahan ketika membaca puisi tersebut. Ada sesuatu yang sangat dekat dan menyakitkan dalam cara Salman Sulaiman menggambarkan kehidupan kota. Puisi bukan sekadar menggambarkan Kuala Lumpur sebagai tempat, tetapi sebagai pemahaman hidup yang dirasai oleh ramai manusia moden. Ketika membaca larik-larik tentang manusia yang diperah kudrat, tentang kesombongan yang terpaksa dipakai demi dihormati dan tentang kehidupan yang “berakhir di simpang”, saya kembali tertanya-tanya, mengapa Kuala Lumpur sering menjadi watak jahat dalam sastera Melayu? Mungkin kota ini terlalu dekat dengan realiti masyarakat yang hidup di dalamnya. Sastera Melayu tidak melihat Kuala Lumpur dari sudut romantis seorang pelancong tetapi dari mata manusia biasa yang perlu bergelut setiap hari untuk terus hidup.
Mungkin juga kerana kota dalam sastera Melayu tidak pernah benar-benar menjadi ruang impian. Kota bukan ruang untuk melahirkan diri daripada kesunyian, tetapi ruang yang melahirkan kesunyian baharu. Kota bukan tempat manusia menemukan dirinya sendiri, tetapi tempat manusia belajar tentang harga kehidupan moden yang perlu dibayar dengan keletihan, tekanan dan kehilangan sisi kemanusiaan. Jika Paris sering diwarisi dalam kesusasteraan dunia sebagai kota cinta, seni dan kenangan indah, Kuala Lumpur pula terus muncul dalam banyak karya sastera Melayu sebagai kota yang membesarkan luka-luka manusia moden. Paris mungkin kota yang dikenang kerana cintanya, tetapi Kuala Lumpur terus diingati kerana luka-lukanya.
Baca “Lumpur Kota Ini” di sini.

_________________________
Mohamed Nazreen Shahul Hamid (Dr.) ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia. Beliau tertumpu pada bidang kesusasteraan, budaya dan media. Kebanyakan kajiannya meliputi pengajian media dan sastera, filem dan sastera, gender dalam sastera, dan kesusasteraan bandingan. Beliau boleh dihubungi melalui e-mel [email protected].