Diterbitkan pada 28 April 2026, 06:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Hukum Kanun Melaka atau Undang-undang Melaka yang bersifat islamik masih kekal relevan untuk digunakan pada era moden sebagai rujukan, khususnya dari segi prinsip dan asas perundangan.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM YBhg. Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan berkata, hal demikian kerana Islam merupakan agama sepanjang zaman dan segala perundangan yang dibentuk berasaskan ajaran Islam termasuk Hukum Kanun Melaka mempunyai nilai serta bersifat universal.

Beliau berkata, Hukum Kanun Melaka bukan sekadar dokumen sejarah, tetapi menjadi kitab induk yang mempengaruhi sistem undang-undang bukan sahaja di Melaka tetapi di negeri-negeri Melayu lain termasuk Aceh.

“Undang-undang Melayu bukanlah sesuatu yang baharu. Apatah lagi apabila Islam sampai di Alam Melayu, agama itu telah memperkenalkan sistem perundangan yang lebih jelas serta tersusun.

“Melalui perkembangan ini, terbentuklah institusi kesultanan Melayu dan perkembangan ini mempunyai rekod sejarah, maknanya ada tulisan karya-karya yang terhasil dalam zaman kesultanan Melayu itu dirakamkan dalam bentuk tulisan, termasuk Hukum Kanun Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Siri Wacana Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Bil. 3/2026 Hukum Kanun Melaka Warisan Teks Undang-undang Kesultanan Melayu Melaka yang disiarkan menerusi saluran YouTube Kursi Institusi Raja-Raja Melayu – Media Rasmi, semalam.

Awang Sariyan berkata, Hukum Kanun Melaka yang berkembang dalam masyarakat Melayu lama di rantau ini meliputi semua aspek kehidupan, termasuk pentadbiran, perundangan, ekonomi, sosial dan politik.

“Malah, termasuk soal nikah kahwin, perceraian, hukum hakam dalam hal berjual beli dan hutang piutang. Maknanya, pada waktu itu sudah dilengkapi dalam konteks pematuhan pada undang-undang.

“Maka itulah Hukum Kanun Melaka ini pentung sebagai satu bukti masyarakat Melayu lama telah pun termaktub dalam satu kerangka undang-undang yang menyeluruh serta tersusun” katanya.

Sementara itu, menjawab persoalan Hukum Kanun Melaka atau khazanah Melayu lama banyak tersimpan di luar negara selepas dibawa pulang oleh penjajah Barat beliau berkata, hal tersebut berlaku semasa era kolonial.

“Tetapi saya berfikir secara positif, walaupun kita tidak meredai penjajah mengambil atau membawa pulang segala khazanah ilmu kita, tapi dengan penjagaan rapi di sana, maka sekarang kita dapat manfaat sepenuhnya semua karya khazanah tersebut,” jelasnya.

Kredit Foto: Kursi Institusi Raja-Raja Melayu
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi