Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJohor Bahru – Anak jati kelahiran Batu Pahat, YBrs. Dr. Maskiah Masrom diumumkan sebagai Sasterawan Johor ke-14 dalam Majlis Penyampaian Anugerah Sastera Johor ke-14 yang berlangsung di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Yayasan Warisan Johor, pada Khamis.
Penganugerahan tersebut menyaksikan beliau menerima watikah penghargaan, wang tunai berjumlah RM10,000.00 serta hadiah iringan.
Penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Yang Berhormat (YB) Raven Kumar Krishnasamy yang mewakili Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Onn Hafiz Ghazi.
YBrs. Dr. Maskiah merupakan Pengarah Pusat Persuratan Melayu, Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim dan namanya tidak asing dalam ranah persuratan Melayu, khususnya di Johor.
Ketekalan beliau berkarya sejak tahun 1979 hingga hari ini meletakkan nama beliau sebaris dengan penulis yang cemerlang pada peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Persuratan Melayu ini menyerlah dalam lapangan penulisan sastera moden mahupun sastera tradisional.
Beliau menguasai hampir keseluruhan genre penulisan kreatif merangkumi enam buah novel, tujuh kumpulan cerpen yang memuatkan 84 buah cerpen, tiga kumpulan puisi (150 buah puisi), serta satu kumpulan syair yang mengandungi 1040 rangkap syair.
Kewibawaan beliau sebagai pengarang yang prolifik membuka ruang untuk karyanya diterjemahkan dalam bahasa asing seperti bahasa Arab, bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin.
Di samping itu, karya cerpen beliau turut mendapat tempat di persada antarabangsa apabila pernah diterbitkan oleh majalah ADDA di United Kingdom.
Sepanjang tempoh berkecimpung dalam dunia sastera, beliau merangkul lebih daripada 20 anugerah berprestij termasuklah Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Sayembara Novel Berunsur Islam, Sayembara Cerpen Berunsur Islam, Hadiah Sastera Darul Ta’zim dan Anugerah Sastera Johor.
Kecemerlangan beliau tidak terhenti setakat itu apabila beliau menerima 20 pengiktirafan lain seperti Tokoh Alumni Tersohor Kepengarangan Cerpen (UKM) pada tahun 2016, Penulis Cemerlang daripada Persatuan Penulis Johor sebanyak lima kali dan Anugerah Penulisan Kreatif daripada IPG Kampus Temenggong Ibrahim sebanyak 12 kali.
Sebelum ini, karya cerpen beliau berjudul “Jaket Kulit Kijang dari Istanbul” diangkat sebagai teks Komponen Sastera (KOMSAS) bagi pelajar tingkatan empat pada tahun 2015.
Sementara itu, majlis penganugerahan tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pengurusan), YBhg. Dato’ Ismail Abu; Pengarah Yayasan Warisan Johor, YBrs. Tuan Nor Syazlan Abd. Razak; dan Pengarah DBP Wilayah Selatan, YBrs. Dr. Syaidul Azam Kamarudin.