Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeberang Perai – Penganjuran pertandingan puisi dalam kalangan belia bagi mendedahkan golongan tersebut kepada keindahan puisi melalui pemilihan kata-kata dan susunan yang terbaik menjadikan puisi pantas mendapat tempat dalam jiwa anak muda.
Lebih-lebih lagi apabila pembaharuan dibuat dalam teknik pendeklamasian puisi yang menjadikan persembahan lebih baik dan bertenaga akan menarik golongan belia meminati puisi.

Demikian dinyatakan Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), YBhg. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim dalam ucapan perasmian Pertandingan Deklamasi Puisi Belia Malaysia MADANI 2026 pada 19 April 2026 lalu di Taman Robina Ecopark, Telok Air Tawar, Pulau Pinang.
Menurutnya, selain daripada keindahan bahasa, puisi juga dapat memupuk nilai-nilai positif dan membijaksanakan pembaca. PEMUISI yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan memainkan peranan dalam memartabatkan puisi melalui pelbagai aktiviti.
“Melalui karya puisi, kita mencorak pemikiran, mengasuh nilai dan menyalakan obor kesedaran dalam kalangan masyarakat.
“PEMUISI yang kita menganggotai hari ini bukan sekadar alat, tetapi amanah untuk menyemai kebaikan, menyuburkan kebijaksanaan dan membina tamadun kehidupan,” katanya.
Pertandingan Deklamasi Puisi Belia Malaysia MADANI 2026 tersebut diadakan bersempena dengan Karnival Belia Perpaduan Malaysia MADANI 2026, anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Belia Daerah Seberang Perai Utara dan PEMUISI.
Johan pertandingan disandang oleh Muhammad Alif Yusri, manakala Afiq Fikri Mohd Nizam sebagai naib johan dan tempat ketiga dimenangi Muhammad Safwan Azizan. Masing-masing menerima hadiah wang tunai, sijil dan hadiah buku.