Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRidzuan Kamis mendedahkan pengertian dalam lagu balada kumpulan rock Mega, Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara.
Apabila dua imej ini disatukan dalam satu lirik, lahirlah sebuah paradoks yang memikat.
Lagu Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara merupakan antara karya penting dalam sejarah muzik Melayu moden. Lagu ini dinyanyikan oleh kumpulan Mega dalam album pertama mereka pada tahun 1989. Liriknya ditulis oleh penulis lirik terkenal S. Amin Shahab, manakala melodinya dicipta oleh komposer besar Dato’ M. Nasir. Gabungan kedua-dua tokoh ini melahirkan sebuah karya yang bukan sahaja indah secara muzikal, tetapi juga kaya dengan lapisan makna yang mendalam dari sudut sastera dan falsafah.
Dalam album pertama kumpulan Mega itu, vokal utama dibawakan oleh Zarith sebelum digantikan oleh Rahmat Mega dalam album kedua. Walaupun era Rahmat kemudian lebih popular, lagu ini tetap menjadi antara karya penting dalam perjalanan awal kumpulan Mega kerana kekuatan liriknya yang unik. Lagu ini juga pernah melangkah sebagai finalis dalam Anugerah Juara Lagu 1990, yakni suatu pencapaian yang membuktikan pengaruh besar lagu ini dalam budaya muzik popular Malaysia pada ketika itu.
Secara tematik, lirik lagu ini sangat bersifat analogi dan paradoks. Penulis lirik membandingkan seorang wanita dengan sekuntum bunga sakura yang mekar di tempat indah dan dingin, sementara dirinya digambarkan sebagai padang pasir yang panas dan gersang, yakni di Gurun Sahara. Perbandingan ini menghasilkan kontras yang kuat antara keindahan dengan kekeringan, antara kesuburan dengan kemandulan emosi. Di sinilah terletaknya kekuatan imaginatif lirik ciptaan S. Amin Shahab.
Untuk memahami kedalaman analogi ini, perlu dijelaskan terlebih dahulu makna simbolik sakura. Bunga sakura ialah bunga pokok ceri yang sangat sinonim dengan budaya Jepun. Ia mekar pada musim bunga dalam tempoh yang singkat lalu gugur dengan cepat. Oleh sebab itu, sakura sering dianggap simbol keindahan yang sementara, yakni indah tetapi tidak kekal. Dalam kesusasteraan Jepun, sakura juga melambangkan kehidupan yang rapuh serta kesedaran tentang kefanaan.
Sebaliknya, imej Gurun Sahara membawa makna yang berbeza sama sekali. Gurun Sahara ialah gurun panas terbesar di dunia yang merentasi beberapa negara di Afrika Utara. Kawasan ini terkenal dengan iklim yang sangat kering, suhu yang ekstrem serta landskap yang tandus. Dalam simbolisme sastera, gurun sering menjadi lambang kesunyian, keterasingan dan kekosongan jiwa.
Apabila dua imej ini disatukan dalam satu lirik, lahirlah sebuah paradoks yang memikat. Sakura melambangkan kelembutan dan keindahan, manakala Sahara melambangkan kekeringan dan ketandusan. Kontras ini bukan sekadar gambaran geografi tetapi metafora psikologi tentang jurang antara dua insan yang berada dalam dunia emosi yang sangat berbeza.
Bait lirik “Engkaulah sekuntum bunga sakura/Mekarmu di tempat indah dan dingin/Dan aku bagaikan padang pasir di Gurun Sahara” memaparkan perbandingan diri yang penuh kerendahan hati. Watak lelaki melihat dirinya sebagai tempat yang tidak layak untuk bunga yang begitu indah. Analogi ini menzahirkan rasa rendah diri dalam cinta, yakni satu tema yang sering muncul dalam puisi dan lagu romantik Melayu.
Namun begitu, di sebalik kerendahan diri itu, terdapat dimensi falsafah yang menarik. Lelaki dalam lagu ini tidak cuba memaksa cinta tersebut berkembang di “padang pasirnya”. Sebaliknya, dia menyuruh wanita itu pulang ke tempat asalnya. Hal ini memperlihatkan konsep cinta yang matang, yakni cinta yang memahami batas dan realiti, bukan sekadar keinginan memiliki.
Lirik “Kau pastikan layu di sampingku” menambah kekuatan dramatik metafora tersebut. Dalam konteks ini, bunga sakura yang indah akan layu jika berada di tempat yang salah. Begitulah juga analogi seseorang wanita akan dibentuk berdasarkan ciri-ciri atau persekitaran seseorang lelaki (suami). Hal ini menggambarkan bahawa cinta memerlukan ekosistem yang sesuai untuk berkembang. Tanpa keserasian emosi dan kehidupan, cinta yang paling indah sekali pun boleh musnah dan punah.
Satu lagi unsur menarik ialah paradoks dalam baris “Gurun Sahara akan menjadi hutan rimba”. Secara literal, hal ini amat mustahil untuk berlaku. Namun dari sudut simbolik, hal ini menyatakan bahawa cinta mempunyai potensi untuk mengubah sesuatu yang tandus menjadi subur. Paradoks ini memberikan ruang kepada tafsiran bahawa harapan tetap wujud walaupun realiti kelihatan mustahil.
Tidak hairanlah lirik ini suatu ketika dahulu pernah dikhabarkan hampir “diharamkan” daripada siaran radio kerana dianggap tidak logik atau tidak tepat dari sudut fakta alam. Kritikan tersebut mungkin melihat lirik ini secara literal. Namun dalam tradisi puisi dan lagu, metafora tidak terikat pada realiti fizikal. Oleh itu, keindahan lirik ini sebenarnya terletak pada kebebasan imaginasi yang melangkaui fakta geografi.
Menariknya, lagu ini kembali mendapat perhatian generasi baharu apabila digunakan sebagai lagu latar dalam filem remaja Malaikat Malam …
Dari sudut kesusasteraan, karya ini menunjukkan keupayaan S. Amin Shahab memanfaatkan unsur metafora, analogi, paradoks, dan falsafah secara serentak. Liriknya ringkas tetapi padat dengan makna. Setiap imej alam yang digunakan berfungsi sebagai simbol emosi manusia, yakni sesuatu yang jarang-jarang dicapai oleh banyak lagu pop biasa.
Melodi ciptaan M. Nasir pula memperkukuh kekuatan lirik tersebut. Komposisinya memberikan ruang kepada vokal untuk membawa emosi kesedihan yang terkawal. Gabungan lirik puitis dan melodi yang dramatik menjadikan lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah karya seni yang memiliki nilai estetik yang tinggi.
Menariknya, lagu ini kembali mendapat perhatian generasi baharu apabila digunakan sebagai lagu latar dalam filem remaja Malaikat Malam yang dibintangi oleh Syafiq Kyle dan Teacie Sinidol. Filem ini sedang ditayangkan di pawagam. Penggunaan lagu ini dalam medium sinema memperkenalkan semula karya tersebut kepada khalayak muda, khususnya generasi Z dan generasi Alfa.
Fenomena kebangkitan semula ini menunjukkan bahawa karya yang baik tidak akan mati dimakan zaman. Pada era 1990-an, lagu ini menjadi siulan ramai. Kini pada tahun 2026, ia kembali menghidupkan nostalgia seolah-olah jasad dan roh lagu ini bangkit semula dalam ingatan kolektif masyarakat.
Akhirnya, Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara membuktikan bahawa lirik lagu boleh mencapai tahap kesusasteraan yang tinggi. Dengan metafora yang kuat, paradoks yang memikat dan falsafah cinta yang mendalam, karya ini melampaui batas lagu pop biasa. Lirik lagu ini menjadi contoh bagaimana imaginasi puitis mampu mengubah bunga sakura dan Gurun Sahara menjadi simbol universal tentang cinta, kerendahan diri dan takdir manusia.
_________________________
Ridzuan Kamis ialah penulis dari Perlis Indera Kayangan. Walaupun karyanya tidak pernah sekalipun tersiar dalam Tukang Puisi, beliau menulis sejak tahun 1996 dengan menghasilkan beberapa buah kumpulan puisi terbitan DBP, ITBM, UUM, dan PENA. Beliau juga aktif menulis rencana sastera dan kritikan puisi. Beliau pernah menghiasi Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil. 11/2021.