Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMarsli N.O mahu kita menyedari bahawa bahasa mempunyai kuasa yang lebih daripada hanya suatu kekuatan dalam kata-kata.
Dengan bahasa juga, saya berusaha mempertahankan akar budaya kebebasan dan menentang kebisuan yang sering mahu dipaksakan kepada jiwa yang ingin berfikir bebas …
Dalam sejarah manusia, tidak ada satu tamadun pun yang terbina tanpa bahasa. Bahasa bukan sahaja sekadar alat perhubungan, tetapi juga suatu kuasa dan apabila kita menyebut “bahasa sebagai alat kuasa”, kita sebenarnya sedang membicarakan hakikat bahawa bahasa memiliki kemampuan untuk mengawal, membina dan melestarikan kuasa sesuatu bangsa dan negara, baik dalam bentuk politik, budaya, penciptaan, mahupun pemikiran manusia.
Dalam tradisi Melayu, kita dapat melihat bagaimana bahasa digunakan bukan sekadar untuk menuturkan keindahan, tetapi juga untuk menyampaikan hikmah dan kuasa moral. Nilai-nilai ini terungkap dalam khazanah tradisi seperti peribahasa, pantun, gurindam, talibun, dan syair.
Dalam bidang politik, bahasa sering digunakan sebagai medium legitimasi atau pengabsahan. Ucapan pemimpin yang berwibawa bukan hanya bergantung pada isi, tetapi juga pada retorik bahasanya. Kata-kata yang tepat boleh membangkitkan semangat rakyat, sementara kata yang salah boleh menjatuhkan maruah dan kredibiliti pengucap atau seorang pemimpin. Di sinilah seni berbahasa menjadi strategi kuasa. Sama ada secara tulus atau dusta, menyejahterakan atau memangsakan rakyat.
Sastera, sebagai cabang tertinggi seni bahasa, diakui sebagai gelanggang kuasa bahasa mencapai kemuncaknya. Seorang penyair atau pengarang, dikatakan kononnya, dengan bahasa (kata-kata), boleh menggugah kesedaran masyarakat, melawan penindasan dan menanamkan semangat kemerdekaan serta kebebasan.
George Orwel dalam bukunya Why I Write mengakui betapa bahasa mempunyai kuasa dan boleh dimanipulasikan untuk mengawal pemikiran. Dalam novelnya 1984, Orwell antara lain percaya bahawa bahasa yang tepat dan jujur adalah penting untuk memelihara kebebasan berfikir dan bersuara.
Menulis bagi Orwell, dapat dijadikan satu bentuk bantahan dan alat yang berkuasa untuk perubahan sosial. Baginya, menulis ialah satu cara untuk menentang autoritarianisme, mendedahkan pembohongan dan memberi suara kepada yang tertindas.
Apabila bercakap mengenai kata dan “kuasa” yang terungkap dalam sesebuah karya sastera, saya terkenangkan beberapa sajak sebagai contoh dan petikan. Pertama sajak “Malaya Pasti Merdeka” karya Pak Affrini Adham; keduanya, sajak karya W.S Rendra yang berjudul “Bersatulah Pelacur-pelacur Kota Jakarta”. Ketiganya sajak “Bunga Popi” karya Usman Awang dan terakhir, “Aku” karya Chairil Anwar.
Sajak-sajak yang disebutkan sebagai contoh ini, secara jelas, memaparkan suatu gambaran bagaimana seorang penyair dengan penuh rasa yakin serta percaya dirinya memperalatkan bahasa (kata-kata) dengan maksud dan tujuan yang tersembunyi atau nyata: rasa bangga dan gembira seorang anak watan atau bujukan dan propaganda demi membangkitkan semangat melawan manusia yang selama ini hidup tertindas serta diremehkan atau semangat berjuang mengatasi keperitan hidupnya sendiri.
Bertarikh 24 Jun 1955, dalam majalah Belia, Pak Affrini Adham dengan yakin menyatakan:
……….Kita pasti merdeka
……….di atas “hak-hak pertuanan” kita
……….selaras dengan kemerdekaan di mana-mana
……….sebagai manusia-manusia lain yang berbangsa dan punya negara
……….Malaya pasti merdeka –
……….di atas keseluruhan – hak-hak kenegaraannya.
Usman Awang pula, melalui sajaknya “Bunga Popi” memanifestasikan semangat bencikan peperangan. Yang antara lain dinyatakan:
……….Bunga popi bunga mayat perajurit bergelimpangan
……….bunga darah merah menyimbah penuh kengerian
……….kami benci pada perang penuh pembunuhan
……….kami rindu pada damai sepanjang zaman.
W.S Rendra sendiri terkenal sebagai tokoh dan lagenda sastera serta seni Indonesia yang sepanjang hayat hidupnya, sentiasa “bertentangan” dengan pihak establishment dan menggunakan bahasa (atau karya tulis dan pentasnya) sebagai “alat” untuk menentang, memperkasakan dan mencatat kemenangan.
Rendra dengan cara yang khusus milik dirinya, terus menerus hidup dan berkarya untuk “melawan” satu pihak yang lain, yang tidak kurang galaknya juga mempergunakan bahasa dan kuasa sebagai alat untuk “menghalang” kebebasan daya kreativiti seorang seniman besar, seorang Rendra. Tanpa berselindung dalam sajaknya “Bersatulah Pelacur-pelacur Kota Jakarta”, Rendra berseru:
………. …
……….Sekarang bangkitlah.
……….Sanggul kembali rambutmu.
……….Kerana setelah menyesal
……….datanglah kini giliranmu
……….bukan untuk membela diri melulu
……….tapi untuk lancarkan serangan.
……….Kerna:
……….Sesalkan mana yang mesti kau sesalkan
……….tapi jangan kaurela dibikin korban.
Demikian juga dengan penyair Chairil Anwar. Sajaknya berjudul “Aku” menjadi contoh bagaimana melalui bahasa, seorang penyair menampilkan vitaliti hidup yang tinggi dalam karyanya.
Bahasa ialah satu-satunya kekuatan yang saya miliki untuk berdiri teguh di tengah-tengah dunia yang riuh ini, untuk menulis dan terus menulis.
Selain melalui karya puisi dan teater, karya berbentuk prosa fiksyen dan bukan fiksyen juga turut dijadikan alat oleh banyak tokoh pengarang lain.
Nama seperti Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin Al-Helmy atau Pak Sako (Ishak Haji Muhammad) sebagai sebahagian contoh, menjadikan karya mereka sebagai “alat” untuk menentang dan melawan dengan medium bahasa. Menentang dan melawan di sini bukanlah dalam bentuk atau dimaksudkan secara fizikal. Sebaliknya, penentangan tersebut dizahirkan melalui bentuk kritik, sama ada secara langsung atau menggunakan lambang dan simbol tertentu.
Misalnya, melalui novelnya Putera Gunung Tahan, Pak Sako menggunakan watak Tuan Robert dan Tuan William untuk menyindir pegawai British yang bersikap penjajah dengan kebodohan dan keangkuhan mereka. Sindiran itu khususnya kelihatan pada bab-bab yang menceritakan ekspedisi Tuan Robert, terutamanya tingkah laku Tuan William yang melakukan pendakian pada musim hujan dan membuat keputusan yang tidak masuk akal.
Bukan cuma pegawai British. Dalam novel ini, Pak Sako turut mengkritik sikap hidup dan amalan “songsang” bangsanya sendiri dan perilaku tamak dan pentingkan diri sendiri hartawan Melayu yang lebih mementingkan keuntungan daripada kepentingan pendidikan ilmu agama kepada anak bangsanya. Kali ini melalui percakapan antara Puteri Bongsu dengan watak Tuan William, Pak Sako menyalurkan sindiran pedasnya:
| “Adapun rumah ini dipunyai oleh seorang hartawan yang terkenal baik di dalam negeri itu. Patik dapat tahu juga bahwa bangunan itu mula-mulanya hendak dijadikan masjid tetapi tidak jadi. Kemudian orang-orang Melayu ramai telah meminta kepada Haji Adam supaya dijadikan bangunan itu tempat anak-anak orang Islam mengaji yakni sebagai sebuah sekolah ugama tetapi oleh tuan Haji Adam ketahui fikiran itu tidak mendatangkan apa-apa keuntungan sebab maka dijadikannya tempat tari-menari dan diberi nama ‘penglipur lara’.”
(Putera Gunung Tahan, 1973: 68) |
Sebagai seorang yang telah menulis sejumlah karya “sastera” dan memasuki dunia ini hanya dengan bekal semangat “yakin diri dan nekad”, saya hanya sekadar ingin berkongsi sedikit pengalaman, yang juga sedikit, mendepani persoalan “bahasa sebagai alat kuasa” secara peribadi.
Terawalnya, saya bersyukur kerana dilahirkan sebagai anak Melayu, berbahasa Melayu dan bertutur serta menulis dalam bahasa yang juga Melayu.
Dengan bahasa inilah, saya mengajar diri agar tidak berasa malu dan rendah diri mengucapkannya: sebagai bahasa percakapan sehari-hari dan pengkaryaan. Kerananya juga, saya amat memaklumi kedudukan bahasa ini sebagai alat kuasa, bagaimana saya belajar menguasainya untuk mencipta karya yang berkesan dan sekali gus bagaimana saya menggunakannya sebagai “alat” untuk menentang, memperkasakan dan mencatat kemenangan kepada diri saya sendiri.
Saya hadir ke dunia penulisan ini seadanya sahaja. Tanpa hasrat untuk memiliki nama besar dan tidak juga kerana ingin menerima limpahan sanjungan. Saya datang hanya dengan diri kecil dan merendah, berbekalkan sepotong hati yang penuh yakin, tekad yang membara dengan kepercayaan bahawa bahasa ialah satu-satunya kekuatan yang saya miliki untuk berdiri teguh di tengah-tengah dunia yang riuh ini, untuk menulis dan terus menulis.
Saya memilih menulis kerana percaya bahawa bahasa bukan sekadar alat untuk berkata-kata, tetapi juga nadi yang menghidupkan jiwa manusia. Dalam setiap ayat yang dinyatakan dalam karya, saya mencari makna tentang diri, tentang bangsa dan tentang Tuhan yang menitipkan ilham antara degup nadi dengan hela nafas saya.
Setiap penolakan yang pernah saya terima, setiap pandangan sinis yang pernah ditudingkan ke arah saya — semuanya tidak mematahkan semangat dan mendorong saya untuk merajuk serta menjauh, malah semakin mengukuhkan lagi keyakinan saya bahawa seorang penulis sejati meraih kemenangan bukan dengan tepukan dan pujian, tetapi dengan kejujuran kata dan keteguhan hati serta jiwa yang dituangkan ke dalam setiap karya tulisannya.
Saya menulis dalam bahasa yang membesarkan saya — bahasa yang mengajarkan saya menamakan dunia, merasakan kasih, cinta dan menanggung duka luka. Di sinilah saya belajar bahawa bahasa ialah kuasa, bukan kuasa yang menindas, tetapi kuasa untuk membangunkan kesedaran dalam diri seorang manusia, untuk membuang segala rasa malu dan rendah diri yang tidak pada tempatnya, mendorongnya hidup mandiri dan tidak meminta-minta sesuatu yang bukan haknya.
Dengan bahasa, saya menegakkan maruah diri sendiri dan bangsa dengan cara saya. Antaranya, sebagai contoh, yang saya ucapkan dalam sajak-sajak saya termasuklah “Negeri Ini, Anak”, “Terima Kasih, Merdeka” atau “Semakin Negeriku”. Dengan bahasa juga, saya berusaha mempertahankan akar budaya kebebasan dan menentang kebisuan yang sering mahu dipaksakan kepada jiwa yang ingin berfikir bebas, yang tanpa sedikit pun rasa malu, memaksa orang lain agar jangan tunduk serta menyerahkan urusan hidupnya kepada “kuasa” yang dimiliki oleh mereka, menjadi manusia yang sekadar patuh dan bersetuju secara membuta tuli sahaja.
Saya percaya bahawa siapa yang menguasai bahasa, dialah yang menguasai makna hidupnya. Maka, menulis bagi saya bukan sekadar kerja hiburan atau sekadar iseng-iseng. Menulis bagi saya secara peribadi ialah satu bentuk “perjuangan” (dengan tanda petik!) untuk memaknai dunia milik saya dan persekitarannya.
Dengan bahasa, saya berdiri di medan perlawanan dengan akal dan pertimbangan saksama. Saya sedar dan tahu, bahasa saya bukan peluru, tetapi saya tetap yakin bahasa saya mampu menembusi hati. Pena yang saya miliki bukan senjata, tetapi ia cukup tajam untuk menggugah sesuatu yang tidak wajar dan membangunkan kembali nurani manusia yang alpa.
Baca Bahagian Kedua Refleksi |

_________________________
Marsli N.O kini penulis sepenuh masa yang memilih berjalan sendirian dan hanya menjadi dirinya sendiri.