Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRosnani Ripin membaca cerpen “Sungai Kampung Pengkalan Batu” yang tersiar dalam Dewan Sastera Bil. 03/2026 dengan perspektif ekosastera.
Karya ini boleh dibaca melalui pendekatan ekosastera atau ekokritik yang meneliti hubungan antara manusia, alam dengan budaya dalam teks sastera.
Sastera sering berfungsi sebagai cerminan hubungan manusia dengan alam dan persekitaran sosialnya. Melalui penggunaan bahasa yang puitis serta naratif yang mendalam, karya sastera mampu membuka ruang refleksi kepada pembaca tentang makna kehidupan serta tanggungjawab manusia terhadap alam sekitar. Dalam konteks ini, karya sastera bukan sahaja menggambarkan pengalaman manusia, malah turut merakamkan perubahan yang berlaku dalam hubungan manusia dengan alam.

Sehubungan dengan itu, cerpen “Sungai Kampung Pengkalan Batu” karya Anom Syukri yang tersiar dalam Dewan Sastera Bil. 03/2026 merupakan sebuah karya yang menarik untuk dianalisis kerana mengangkat kisah hubungan intim antara manusia dengan alam melalui simbol sebuah sungai yang menjadi nadi kehidupan masyarakat desa. Cerpen ini memperlihatkan bagaimana alam bukan sekadar latar tempat dalam naratif sastera, sebaliknya menjadi ruang memori yang menyimpan pengalaman hidup, kenangan serta identiti kolektif masyarakat.
Selain itu, cerpen ini turut menggambarkan perubahan yang berlaku apabila alam yang dahulunya menjadi sumber kehidupan mula terancam akibat pembangunan yang tidak terkawal. Oleh itu, karya ini boleh dibaca melalui pendekatan ekosastera atau ekokritik yang meneliti hubungan antara manusia, alam dengan budaya dalam teks sastera.
Pada bahagian awal cerpen, pengarang menggambarkan sungai sebagai pusat kehidupan masyarakat kampung. Airnya yang jernih serta kehadiran pelbagai hidupan sungai mencerminkan keseimbangan hubungan antara manusia dengan alam sekitar. Contohnya, pengarang menulis:
Air sungai itu jernih mengalir di celah batu-batu licin yang berkilau disinari cahaya matahari. Ikan-ikan kecil berenang bebas di dasar air yang tenang seolah-olah sungai itu adalah dunia mereka yang tidak pernah mengenal gangguan.
Petikan tersebut memperlihatkan cara pengarang menggunakan gambaran visual alam untuk membentuk suasana harmoni antara manusia dan alam. Sungai dalam cerpen ini bukan sekadar sumber air tetapi turut berfungsi sebagai ruang sosial yang menghubungkan kehidupan masyarakat desa.
Dalam cerpen tersebut, sungai menjadi tempat kanak-kanak belajar berenang, tempat ibu-ibu membasuh pakaian dan tempat para lelaki mencari rezeki dengan menangkap ikan serta mengutip etok. Gambaran ini menunjukkan bahawa sungai bukan sekadar ruang fizikal tetapi juga ruang sosial yang menghubungkan kehidupan masyarakat secara kolektif.
Dalam konteks kajian sastera alam sekitar, Lawrence Buell (1995) menyatakan bahawa alam dalam karya sastera sering berfungsi sebagai medium untuk memahami hubungan manusia dengan ekosistem. Menurut beliau, karya sastera yang menggambarkan alam secara mendalam sebenarnya mencerminkan kesedaran pengarang terhadap kepentingan alam dalam kehidupan manusia.
Oleh itu, gambaran sungai dalam cerpen ini jelas memperlihatkan cara alam menjadi sebahagian daripada kehidupan sosial masyarakat.
Selain menggambarkan keindahan alam, cerpen ini juga dibina melalui naratif kenangan seorang pencerita yang mengimbas kembali pengalaman masa kecilnya di tebing sungai.
Kenangan tersebut digambarkan melalui petikan berikut:
Sungai itu pernah menjadi saksi kami membesar bersama. Dari tebingnya kami belajar tentang kehidupan, tentang persahabatan dan tentang dunia yang lebih luas daripada kampung kecil kami.
Kenangan ini bukan sekadar nostalgia terhadap masa lalu tetapi menjadi medium untuk memahami perjalanan hidup manusia. Melalui proses mengingat kembali pengalaman masa lalu, pencerita sebenarnya sedang membina semula identiti dirinya.
Dalam teori Narrative Therapy, Michael White dan David Epston (1990) menjelaskan bahawa manusia memahami kehidupan melalui cerita yang mereka bina tentang pengalaman hidup mereka. Proses penceritaan semula pengalaman tersebut membantu seseorang memahami makna kehidupan serta mengurus emosi yang berkaitan dengan pengalaman tersebut.
Dalam cerpen ini, sungai menjadi simbol memori kolektif masyarakat kampung. Sungai ini menjadi saksi pada pertumbuhan generasi yang pernah membesar di tebingnya. Keadaan ini juga selari dengan pandangan Jerome Bruner (1991) yang menyatakan bahawa manusia membina identiti melalui naratif kehidupan yang mereka ceritakan. Dengan kata lain, sungai dalam cerpen ini bukan sekadar latar fizikal, tetapi menjadi ruang memori yang menghubungkan masa lalu dengan masa kini.
Salah satu aspek menarik dalam cerpen ini ialah cara alam digambarkan sebagai ruang yang memberikan ketenangan emosi kepada manusia. Sebagai contoh, pengarang menulis:
Angin yang bertiup dari arah sungai membawa kesejukan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Di situ, segala keletihan hidup seolah-olah hanyut bersama arus air yang mengalir tanpa henti.
Petikan tersebut menunjukkan bahawa alam berfungsi sebagai ruang terapi emosi kepada manusia. Dalam kehidupan masyarakat desa, alam semula jadi sering menjadi tempat manusia menenangkan fikiran dan melepaskan tekanan hidup.
Manakala kajian psikologi alam sekitar oleh Ulrich (1984) pula mendapati bahawa pemandangan alam semula jadi seperti sungai, hutan dan taman mempunyai kesan terapeutik terhadap manusia. Menurut beliau, pemandangan alam mampu mengurangkan tekanan mental serta meningkatkan kesejahteraan emosi manusia. Oleh itu, gambaran sungai dalam cerpen ini bukan sahaja mempunyai fungsi estetika, tetapi juga mempunyai fungsi psikologi.
Selain pendekatan ekokritik Barat, hubungan manusia dengan alam juga boleh difahami melalui perspektif Islam. Dalam Islam, manusia dilantik sebagai khalifah di Bumi yang bertanggungjawab menjaga keseimbangan alam. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 30 menjelaskan bahawa manusia diberikan amanah untuk memakmurkan bumi.
Sarjana Islam Seyyed Hossein Nasr (1996) menjelaskan bahawa krisis alam sekitar yang berlaku pada zaman moden berpunca daripada sikap manusia yang memisahkan diri daripada nilai spiritual alam. Apabila manusia melihat alam semata-mata sebagai sumber ekonomi yang boleh dieksploitasi, maka keseimbangan alam akan terganggu.
Cerpen ini secara tidak langsung mengingatkan manusia tentang tanggungjawab tersebut. Sungai yang rosak bukan sekadar kehilangan fizikal, tetapi melambangkan kegagalan manusia menjaga amanah alam.
Pada bahagian akhir cerpen, pengarang memperlihatkan perubahan yang berlaku apabila alam mula dieksploitasi oleh manusia. Sungai yang dahulu jernih kini menjadi keruh akibat aktiviti pembalakan dan pengorekan pasir secara besar-besaran.
Dalam kajian ekokritik, Glotfelty (1996) menjelaskan bahawa karya sastera yang memaparkan kerosakan alam sebenarnya berfungsi sebagai kritikan terhadap sikap manusia yang merosakkan alam sekitar. Cerpen ini jelas memperlihatkan konflik antara pembangunan dengan kelestarian alam kehidupan kepada generasi akan datang.
Seyyed Hossein Nasr menjelaskan bahawa krisis alam sekitar yang berlaku pada zaman moden berpunca daripada sikap manusia yang memisahkan diri daripada nilai spiritual alam.
Dalam konteks kesusasteraan Melayu, unsur alam bukan sekadar berfungsi sebagai latar tempat, sebaliknya memainkan peranan penting dalam membentuk makna, simbol serta falsafah kehidupan yang terkandung dalam karya sastera. Hal ini kerana, kehidupan masyarakat Melayu tradisional secara historisnya sangat dekat dengan alam sekitar seperti sungai, hutan, laut, sawah, dan gunung-ganang. Oleh sebab itu, pengalaman hidup yang berakar pada alam tersebut turut diterjemahkan ke dalam pelbagai bentuk karya sastera seperti pantun, syair, hikayat dan cerpen.
Maharam Mamat (2015) menjelaskan bahawa unsur alam dalam sastera Melayu sering digunakan sebagai simbol keseimbangan kehidupan manusia. Alam dalam karya sastera Melayu bukan sekadar elemen hiasan, tetapi mencerminkan hubungan harmoni antara manusia dengan persekitaran semula jadi. Menurut beliau, masyarakat Melayu tradisional melihat alam sebagai sebahagian daripada sistem kehidupan yang perlu dihormati dan dipelihara. Oleh hal yang demikian, pengarang Melayu sering menggunakan simbol-simbol alam untuk menggambarkan nilai kehidupan seperti kesederhanaan, keharmonian serta keseimbangan antara manusia dengan alam.
Sebagai contoh, sungai dalam sastera Melayu sering dilihat sebagai lambang perjalanan kehidupan manusia. Sungai yang mengalir melambangkan masa yang bergerak serta perjalanan kehidupan yang sentiasa berubah. Dalam cerpen “Sungai Kampung Pengkalan Batu”, simbolisme ini dapat dilihat melalui gambaran sungai yang menjadi saksi pada perjalanan hidup masyarakat kampung daripada satu generasi kepada generasi yang lain.
Dalam hal sungai sebagai ilustrasi, Anom Syukri menggambarkan suasana sungai melalui naratif yang berikut:
Batu-batu sungai yang licin tersusun di dasar air yang jernih, sementara ikan-ikan kecil berenang bebas tanpa gangguan. Sungai itu mengalir tenang seolah-olah menyimpan cerita lama yang tidak pernah hilang.
Petikan tersebut memperlihatkan bagaimana unsur alam digunakan untuk melambangkan ketenangan kehidupan masyarakat desa pada masa lalu. Sungai dalam cerpen ini bukan sekadar ruang fizikal, tetapi menjadi simbol keseimbangan kehidupan manusia dengan alam sekitar.

Hasrina Baharum (2016) turut menegaskan bahawa landskap alam dalam karya sastera Melayu mempunyai fungsi estetik dan emosi yang penting. Menurut beliau, gambaran visual alam seperti sungai, pokok, angin, hujan, dan tumbuhan bukan sahaja mencipta keindahan dalam teks sastera, malah turut membentuk pengalaman emosi pembaca. Melalui gambaran alam yang puitis, pengarang dapat membangkitkan perasaan nostalgia, ketenangan dan keinsafan dalam diri pembaca.
Dalam cerpen ini, unsur estetik tersebut dapat dilihat melalui gambaran landskap sungai yang sangat visual dan puitis. Misalnya, pengarang menggambarkan suasana tebing sungai sebagai: “Angin dari arah sungai bertiup perlahan membawa bau tanah basah dan dedaunan. Di tebingnya, rumput liar bergoyang seolah-olah menari mengikut rentak alam.”
Gambaran ini bukan sahaja memberikan pengalaman visual kepada pembaca, malah turut membangkitkan suasana damai yang pernah wujud dalam kehidupan masyarakat kampung. Keindahan alam yang digambarkan oleh pengarang berfungsi sebagai medium untuk membangkitkan perasaan nostalgia terhadap kehidupan desa yang harmoni.
Di samping itu, unsur alam dalam cerpen ini juga berperanan sebagai simbol emosi manusia. Sungai yang dahulunya jernih dan damai melambangkan keharmonian kehidupan masyarakat kampung, manakala sungai yang menjadi keruh akibat aktiviti manusia melambangkan perubahan nilai serta kerosakan hubungan manusia dengan alam.
Selain itu, penggunaan unsur alam dalam karya sastera Melayu juga berkait rapat dengan konsep kearifan tempatan (local wisdom). Masyarakat Melayu tradisional mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang alam sekitar kerana kehidupan mereka bergantung pada sumber alam seperti sungai, laut dan hutan. Pengetahuan ini kemudian diterjemahkan dalam bentuk simbol dan metafora dalam karya sastera.
Dalam cerpen “Sungai Kampung Pengkalan Batu”, pengarang memperlihatkan bagaimana sungai menjadi pusat kehidupan masyarakat desa. Sungai menjadi tempat kanak-kanak bermain, tempat orang dewasa mencari rezeki serta tempat masyarakat berkumpul dan berinteraksi. Gambaran ini menunjukkan bahawa alam bukan sahaja menjadi latar kehidupan, tetapi juga menjadi sebahagian daripada struktur budaya masyarakat.
Oleh hal yang demikian, pandangan sarjana tempatan seperti Maharam Mamat dan Hasrina Baharum memperlihatkan bahawa unsur alam dalam sastera Melayu mempunyai makna yang lebih luas daripada sekadar gambaran landskap. Alam dalam sastera Melayu merupakan simbol kehidupan, ruang emosi serta medium untuk menyampaikan pelbagai nilai budaya masyarakat.
Dalam cerpen ini, sungai berfungsi sebagai simbol memori kolektif masyarakat kampung …
Secara keseluruhannya, cerpen “Sungai Kampung Pengkalan Batu” merupakan sebuah karya yang signifikan dalam menggambarkan hubungan manusia dengan alam. Melalui naratif kenangan yang penuh emosi serta gambaran alam yang puitis, cerpen ini berjaya menyampaikan mesej kesedaran tentang kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar.
Pandangan sarjana Barat seperti Lawrence Buell, Roger Ulrich dan Cheryll Glotfelty menunjukkan bahawa alam dalam karya sastera mempunyai fungsi psikologi dan ekologi yang penting. Alam bukan sahaja menjadi latar cerita, malah turut berperanan dalam membentuk kesedaran manusia terhadap hubungan mereka dengan persekitaran semula jadi.
Dalam perspektif Islam pula, manusia dipertanggungjawabkan sebagai khalifah di bumi yang bertanggungjawab memelihara keseimbangan alam. Tanggungjawab ini menuntut manusia supaya tidak mengeksploitasi alam secara berlebihan sehingga merosakkan keseimbangan ekosistem.
Sementara itu, sarjana tempatan seperti Maharam Mamat dan Hasrina Baharum menegaskan bahawa alam dalam sastera Melayu mempunyai nilai simbolik, estetik dan budaya yang mendalam. Alam bukan sekadar latar tempat dalam karya sastera, tetapi menjadi medium untuk menggambarkan hubungan manusia dengan kehidupan serta persekitarannya.
Dalam cerpen ini, sungai berfungsi sebagai simbol memori kolektif masyarakat kampung. Sungai menjadi saksi kepada perjalanan hidup manusia, perubahan zaman serta kesan tindakan manusia terhadap alam.
Oleh itu, cerpen ini bukan sekadar kisah tentang sebuah sungai di sebuah kampung, tetapi merupakan renungan mendalam tentang masa hadapan hubungan manusia dengan alam. Jika manusia mampu menghargai alam dan menjaga keseimbangannya, sungai-sungai yang masih hidup hari ini akan terus mengalir sebagai sumber kehidupan kepada generasi akan datang.

Beli Dewan Sastera Bil. 03/2026.
_________________________
Rosnani Ripin meminati bidang kesusasteraan sejak berusia 17 tahun, malah pernah memenangi Pertandingan Penilaian Sastera Klasik anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan pada tahun 1983. Rosnani aktif berkarya sewaktu menuntut di Akademi Seni Kebangsaan pada tahun 1995, menghasilkan pelbagai puisi, cerpen dan artikel tentang kesusasteraan bermula tahun 1997 sehingga kini. Karya ecerannya tersiar dalam Berita Harian, Utusan Malaysia, Dewan Sastera, Pengasuh, Jendela Timur, Al-Qiadah, Fajar Islam, dan beberapa buku antologi puisi.