Diterbitkan pada 26 Februari 2026, 12:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nurzusilawati Nadzri menyampaikan kaitan unsur sastera lisan dalam bacaan al-Quran.

Bacaan yang syahdu mampu menghidupkan ayat, menjadikannya bukan sekadar susunan huruf, tetapi pengalaman yang dialami secara batin.

Apabila malam-malam Ramadan kembali, masjid dan surau berubah menjadi sebuah teater bunyi yang unik. Di sebalik saf yang diluruskan dan cahaya lampu yang menerangi ruang solat, wujud satu pengalaman yang sering terlepas daripada pengamatan biasa, iaitu pengalaman estetik yang lahir daripada teks suci yang dialunkan secara lisan. Di mihrab, seorang imam bukan sekadar memimpin gerak ibadah, tetapi menghidupkan sebuah seni reka bunyi yang menyentuh dimensi emosi dan rohani jemaah.

Dalam syafiah Tarawih, kita sebenarnya sedang mendepani sebuah pengalaman sastera. Al-Quran tidak hadir semata-mata sebagai kitab hukum atau pedoman akidah, tetapi sebagai teks yang memiliki struktur bunyi, ritma, repetisi, dan imejan yang sangat halus apabila dibaca dengan kuat. Al-Quran menggerakkan jiwa melalui suara, bukan hanya melalui makna yang difahami secara intelektual.

Secara formal, al-Quran bukanlah puisi dalam pengertian yang konvensional. Kitab suci ini tidak terikat pada wazan atau pola rima akhir seperti syair Arab atau pantun Melayu. Namun demikian, ayat-ayat sucinya memiliki prosa berirama yang luar biasa. Setiap ayat mempunyai tempo tersendiri; setiap hentian mengandungi tekanan makna yang tersusun rapi. Struktur bunyinya mencipta keseimbangan yang tidak bergantung pada pola puisi tradisional, tetapi pada keharmonian dalaman bahasa itu sendiri.

Keindahan ini menjadi lebih terserlah apabila disampaikan melalui disiplin taranum. Pada saat itulah, Tarawih berubah menjadi ruang estetika bunyi. Perubahan nada—daripada lembut yang merangkul kepada tegas yang menggetarkan—bukan sekadar variasi vokal, tetapi suatu strategi penyampaian makna. Nada menjadi medium emosi, dan emosi menjadi jambatan kepada kefahaman.

Dalam teori sastera lisan, pembacaan yang berkesan ialah pembacaan yang mampu memindahkan pengalaman daripada teks ke dalam jiwa pendengar. Hal yang sama berlaku dalam Solat Tarawih. Bacaan yang syahdu mampu menghidupkan ayat, menjadikannya bukan sekadar susunan huruf, tetapi pengalaman yang dialami secara batin.

Unsur sastera dalam alunan bacaan al-Quran sebenarnya sangat rencam. Hal ini melibatkan struktur fonologi yang tersusun melalui hukum tajwid—panjang pendek (mad), dengung (ghunnah) serta hentian (waqaf)—yang bertindak seperti skor muzik yang semula jadi. Tanpa memerlukan alat iringan, teks itu sendiri sudah memiliki sistem bunyi yang teratur dan berdisiplin.

Irama ini bukan sekadar hiasan. Bacaannya membina suasana dan mempengaruhi psikologi pendengar. Pengulangan frasa tertentu menegaskan mesej, manakala perubahan tempo membina ketegangan atau ketenangan. Setiap surah mempunyai lenggok dramatiknya sendiri, seolah-olah sebuah naratif yang bergerak melalui naik turun emosi.

Imejan yang dibina pula sangat visual:

……….Tentang langit yang ditinggikan tanpa tiang,
……….Lautan yang terbelah,
……….Malam yang menyelubungi siang,
……….Taman syurga yang mengalir sungai di bawahnya.

Apabila ayat-ayat ini dilagukan dengan nada yang tepat, pendengar tidak hanya memahami makna secara literal, tetapi seolah-olah melihat gambaran itu dalam ruang imaginasi. Di sinilah bahasa mencapai tahap estetik yang tinggi: menggerakkan indera batin.

Taranum sebagai Seni Deklamasi

Taranum boleh dilihat sebagai satu bentuk seni persembahan lisan yang sangat berdisiplin. Kaedah penyampaian ini bukan improvisasi bebas, tetapi berasaskan maqam-maqam tertentu yang mempunyai karakter emosi yang tersendiri. Ada maqam yang melankolik dan menyentuh, ada yang megah dan tegas. Pemilihan nada tidak dilakukan secara sembarangan, tetapi disesuaikan dengan kandungan ayat dan suasana makna yang ingin disampaikan.

Dalam konteks sastera, taranum sebanding dengan seni deklamasi puisi. Jika puisi yang sedih dibaca dengan nada menyayat hati dan puisi yang gagah dideklamasikan dengan semangat yang membara, maka demikian jugalah bacaan al-Quran disesuaikan dengan kandungan ayatnya. Namun, dalam taranum, disiplin lebih ketat kerana terikat pada hukum tajwid dan adab bacaan wahyu.

Keindahan bunyi tidak boleh mengatasi makna, sebaliknya bunyi mesti membantu makna untuk meresap. Tanpa irama yang tepat, teks yang hebat sekalipun mungkin gagal menyentuh audiens. Sebaliknya, dengan penyampaian yang teratur, makna yang mendalam dapat sampai terus ke dasar hati.

Dalam Tarawih yang panjang, elemen estetik inilah yang menghindarkan rasa jemu. Makmum berdiri dalam saf, tetapi hati bergerak bersama-sama alunan ayat. Dua puluh rakaat terasa ringan bukan kerana tubuh tidak letih, tetapi kerana jiwa diserap oleh harmoni bunyi dan keindahan bahasa.

Namun, estetika ini bukan sekadar halwa telinga. Bacaan al-Quran berfungsi membawa pendengar kepada tadabbur, proses renungan yang mendalam terhadap makna. Keindahan suara membuka pintu hati, tetapi kefahamanlah yang mengukuhkan kesedaran. Apabila ayat tentang rahmat dibacakan, timbul harapan. Apabila ayat tentang peringatan dikumandangkan, hadir rasa gentar. Emosi yang dibangkitkan melalui bunyi akhirnya membawa manusia kepada refleksi diri.

Di sinilah ruang ibadah berubah menjadi ruang pertemuan antara bahasa, suara dengan kesedaran manusia. Tarawih bukan sekadar ritual yang diulang setiap tahun bulan Ramadan, tetapi sebuah pengalaman estetik dan spiritual yang memperbaharui hubungan antara hamba dengan Penciptanya.

Pada akhirnya, apa yang kita saksikan dalam setiap malam Solat Tarawih ialah pertemuan antara kehebatan teks dengan kemahiran penyampaian lisan. Al-Quran bukan puisi ciptaan manusia, tetapi mukjizat bahasa yang melampaui zaman dan budaya. Keindahannya tidak terletak pada rima atau meter, tetapi pada kesempurnaan struktur dan kedalaman maknanya.

Di mihrab, suara imam menjadi medium yang menghidupkan mukjizat itu. Jemaah kembali berdiri pada setiap malam Ramadan bukan hanya untuk memenuhi tuntutan ibadah, tetapi untuk mengalami kembali sentuhan bahasa yang agung. Kita menunggu ayat pertama dilagukan, seolah-olah menunggu panggilan yang akan menyentuh dasar hati kita sekali lagi.

Dalam gema suara itu, estetika dan rohani bertemu. Dan di situlah tarawih menemukan maknanya yang paling halus—sebagai pengalaman sastera lisan yang hidup dalam ruang ibadah.

_________________________

Nurzusilawati Nadzri aktif menulis cerpen, sajak dan artikel dengan kecenderungan terhadap tema keteguhan jiwa, adat budaya Malaysia, hubungan manusia, serta unsur mistik Alam Melayu. Beliau merupakan pemenang Tempat Ketiga (Open Group) daripada lebih 800 penyertaan dalam International Youth Literary Awards 2025, Hong Kong, serta tersenarai dalam calon 10 Teratas bagi 2nd Annual Waterford Competition 2025, Ireland.

Kredit Foto: Matin Firouzabadi/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi