Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAmar Jue menjustifikasikan keputusan juri Sayembara Penulisan Kreatif DBP 2025 baru-baru ini untuk tidak menamakan Tempat Pertama bagi mana-mana kategori.
Dalam konteks ini, keputusan untuk mengosongkan Tempat Pertama wajar dibaca sebagai cerminan ketegasan juri terhadap piawaian estetika mereka sendiri, dan bukanlah sebagai satu serangan terhadap para peserta/calon.
Sebagai seorang penulis muda dan peminat sastera tempatan, saya menghargai keprihatinan yang disuarakan oleh komuniti sastera tempatan di ruangan media sosial mengenai keputusan juri Sayembara Penulisan Kreatif DBP 2025 yang mengosongkan Tempat Pertama dalam semua kategori, termasuk semua kedudukan podium bagi Drama Pentas. Keprihatinan ini lahir daripada kegelisahan yang tulen dan cinta yang mendalam terhadap hala tuju kesusasteraan negara. Namun demikian, saya ingin mengambil ruang ini untuk menawarkan lensa yang melengkapi naratif tersebut, dengan memberi beberapa sudut pandang kepada hak penjurian, skop penilaian, serta persoalan yang lebih besar dalam ekosistem sastera negara.
Hak Mutlak Juri dalam Penjurian
Pertama, kita mesti mengakui dan menghormati hak serta tanggungjawab mutlak panel juri untuk menetapkan kriteria penilaian dan membuat keputusan akhir. Dalam anugerah berprestij seperti ini, penjurian bukan sekadar proses kawalan mutu teknikal, tetapi satu bentuk pertimbangan estetik yang dijalankan oleh individu yang dipilih atas dasar kepakaran, pengalaman dan kewibawaan intelektual mereka. Para juri bukan sahaja menilai karya secara perbandingan sesama peserta/calon, tetapi juga mengukurnya terhadap satu piawaian tertentu yang mereka anggap layak untuk dinobatkan sebagai pengiktirafan tertinggi persuratan Melayu.
Dalam konteks ini, keputusan untuk mengosongkan Tempat Pertama wajar dibaca sebagai cerminan ketegasan juri terhadap piawaian estetika mereka sendiri, dan bukanlah sebagai satu serangan terhadap para peserta/calon. Juri tidak terikat untuk melengkapkan hierarki pemenang semata-mata memenuhi jangkaan dan kehendak khalayak. Sebaliknya, sekiranya juri berpendapat tiada karya yang benar-benar layak dan memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk gelaran Tempat Pertama/Johan, maka tidak memberikan Tempat Pertama ialah satu keputusan yang berprinsip. Hal ini bukan soal menafikan usaha penulis, tetapi soal memelihara nilai kecemerlangan itu sendiri.
Kemenangan Tempat Kedua Juga Bermakna
Satu kekeliruan yang sering berulang ialah anggapan bahawa Tempat Kedua atau Tempat Ketiga membawa maksud karya tersebut gagal atau tidak bermutu. Lembaran sejarah sastera Malaysia sendiri telah membuktikan sebaliknya. Novel Seorang Tua di Kaki Gunung karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah misalnya, hanya memenangi Tempat Kedua dalam Sayembara Hadiah Novel GAPENA-Yayasan Sabah II pada tahun 1981, dalam situasi yang juga tidak menobatkan sebarang Tempat Pertama. Namun begitu, karya tersebut kemudiannya diiktiraf sebagai antara novel terpenting dalam kanun sastera Melayu moden dan terus dibaca serta dikaji hingga hari ini.
Hal ini menunjukkan bahawa penilaian pertandingan bersifat relatif dan terikat dengan konteks zamannya. Karya yang tidak diangkat sebagai yang terbaik mutlak dalam satu pertandingan tidak semestinya kehilangan nilai sasteranya. Dalam banyak kes, masa, pembacaan dan wacana kritikan akhirnya menjadi hakim yang menjadikan nafasnya lebih panjang daripada mana-mana pertandingan.
Isu Lebih Besar di Sebalik Keputusan
Keputusan Sayembara Penulisan Kreatif DBP 2025 juga perlu dilihat melalui lensa yang lebih luas. Keresahan terhadap mutu karya tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu sistem penjurian. Malah, hal ini mencerminkan masalah yang lebih struktural dalam perkembangan sastera negara. Daripada peringkat sekolah rendah sehingga universiti, sastera semakin dipinggirkan dalam kurikulum dan budaya akademik. Latihan membaca teks secara kritis, memahami struktur naratif dan estetika, serta membina disiplin penulisan yang serius semakin terhakis.
Dalam keadaan sebegini, adalah tidak adil untuk mengharapkan sayembara penulisan menjadi jalan pintas untuk semata-matanya mengangkat mutu sastera. Memberikan Tempat Pertama, Kedua dan Ketiga saban tahun tidak akan melahirkan karya besar secara automatik. Mutu sastera lahir daripada proses yang panjang, melibatkan pembacaan yang luas, pengamatan yang berterusan, dan ekosistem pendidikan yang menyokong. Jalan pintas hanya akan melahirkan tradisi yang rapuh.
Penjelasan Juri dan Wacana
Laporan Sayembara Penulisan Kreatif DBP 2025 menunjukkan bahawa penilaian dibuat secara berperingkat terhadap 419 manuskrip yang diterima, dengan mengambil kira aspek bahasa, idea, gaya, struktur, dan keberkesanan penyampaian. Panel mengakui adanya karya yang baik dan berpotensi, namun secara keseluruhan, mutu yang benar-benar mencapai tahap tertinggi didapati terhad. Penjelasan ini penting sebagai konteks, namun tidak seharusnya menjadi alasan untuk menutup ruang perbincangan yang lebih kritis tentang bagaimana piawaian itu dibentuk dan dikomunikasikan kepada khalayak.
Dalam konteks ini, adalah wajar diadakan wacana tentang cara lain untuk menghargai karya terbaik walaupun tidak dinobatkan sebagai Tempat Pertama. Misalnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) boleh mempertimbangkan untuk mengadakan forum wacana bagi karya-karya terpilih, bengkel bersama-sama panel penilai serta penerbitan esei kritis atau ulasan karya yang menonjolkan kekuatan atau kelemahan karya yang terpilih. Usaha sebegini bukan sahaja memberikan pengiktirafan kepada penulis, tetapi juga membuka ruang pembelajaran kepada peminat sastera tentang kekuatan dan kekangan karya yang dihasilkan. Dengan cara ini, wacana tidak berhenti pada pena penjurian, tetapi berkembang menjadi perbincangan produktif yang merekayasa mutu sastera itu sendiri.
Ketelusan Penjurian
Trofi boleh berdebu, tetapi karya yang benar-benar hidup akan terus bernafas merentas zaman.
Pada masa yang sama, saya bersetuju dengan cadangan tentang perlunya ketelusan dalam sistem pemarkahan. Penyediaan rubrik penilaian yang jelas dan boleh diakses bukan bertujuan untuk mencabar autoriti juri, tetapi untuk mengukuhkan akauntabiliti penjurian. Dengan mengetahui pecahan penilaian, sama ada dari segi bahasa, teknik, isi atau kreativiti, penulis dan peminat sastera dapat memahami kedudukan karya yang dipertandingkan dengan lebih objektif. Ketelusan juga membantu meredakan kecurigaan dan tuduhan pilih kasih yang sering timbul apabila keputusan tidak memihak kepada jangkaan khalayak.
Kesimpulannya, polemik tentang keputusan juri seharusnya menjadi pintu wacana, bukan tembok prasangka. Penjurian yang berintegriti memerlukan ketegasan, manakala komuniti sastera pula memerlukan keluasan jiwa untuk menanggapi keputusan dengan kebijaksanaan. Penulis berhak mempersoalkan, tetapi tanggungjawab intelektual menuntut kita menyoal dengan adab wacana, bukan dengan sentimen. Pada akhirnya, kekuatan sastera tidak ditentukan oleh kedudukan di podium, tetapi oleh kelestariannya dalam ingatan pembaca dan sejarah budaya. Trofi boleh berdebu, tetapi karya yang benar-benar hidup akan terus bernafas merentas zaman.
_________________________
Amar Jue atau nama sebenarnya, Amar Amir Omar merupakan seorang akauntan di sebuah agensi kerajaan di Kuala Lumpur. Karya-karya beliau tersiar dalam Tunas Cipta, Pelita Bahasa, Dewan Sastera, Jurnal Pemuisi, Mingguan Malaysia, BH Ahad, Eksentrika, dan Cukaria.