Diterbitkan pada 10 Februari 2026, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sasterawan dan penulis perlu tampil sebagai suara penimbang tara dalam masyarakat bagi membentuk wacana kebangsaan yang sihat, berhemah dan membina.

Demikian kenyataan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Amar Fadillah Yusof ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Penulisan Kreatif Dewan Bahasa dan Pustaka di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, hari ini.

Beliau menegaskan, kecemerlangan sesebuah bangsa tidak wajar diukur hanya melalui pencapaian fizikal dan kemajuan ekonomi, sebaliknya mesti turut dinilai berdasarkan kekuatan nilai, akhlak serta pembangunan insaniah rakyat.

Menurutnya, ekosistem kehidupan bernegara menuntut pelibatan menyeluruh setiap lapisan masyarakat mengikut peranan masing masing, termasuklah golongan sasterawan yang berfungsi sebagai pemikir zaman dan pemerhati sosial.

“Dalam dunia yang semakin kompleks, penulis dan sasterawan perlu tampil sebagai suara penimbang tara, yang menyampaikan kritikan secara berhemah serta menawarkan pemikiran yang membina,” serunya.

Beliau berkata, pembangunan negara yang mampan menuntut semangat saling melengkapi, menghormati perbezaan dan memperkukuh nilai kebersamaan agar kestabilan sosial terus terpelihara.

Dalam konteks tersebut, beliau menyifatkan persuratan sebagai rakaman jujur perjalanan peradaban yang lahir daripada saringan pemikiran penulis untuk memaknakan agenda pembangunan kemasyarakatan dan kenegaraan.

“Setiap era akan menyaksikan kemunculan pemikiran baharu hasil kesedaran serta tanggungjawab penulis yang berperanan mencetuskan wacana dan mencari resolusi terhadap perubahan zaman,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa pembangunan jiwa dan rohani masyarakat berteraskan nilai budaya bangsa amat penting bagi menjamin kelangsungan peradaban negara.

“Bahasa dan sastera merupakan wahana terpenting dalam proses mendidik jiwa dan membina kesedaran masyarakat. Perubahan sikap dan tindakan manusia hanya dapat digerakkan melalui sentuhan hati dan nurani, yang disampaikan menerusi keindahan bahasa, kekuatan naratif dan kebijaksanaan pemikiran dalam karya,” ujarnya.

Tambah beliau, penulisan kreatif bermutu berupaya membina wacana kebangsaan yang sihat serta mengelakkan masyarakat daripada terjerumus dalam polarisasi pemikiran yang sempit dan ledakan emosi yang tidak terkawal.

Majlis berkenaan menghimpunkan penggiat sastera, penulis dan pemenang sayembara sebagai sebahagian daripada usaha DBP memperkasakan persuratan Melayu sebagai teras pembinaan tamadun bangsa.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi