Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian Penerbitan Naskhah Sejarah Kelantan dengan Yayasan Karyawan untuk menerbitkan Naskhah Sejarah Kelantan.
Dalam sesi tersebut yang berlangsung di MAIK, Timbalan Yang Dipertua MAIK, YBhg. Dato’ Haji Mohd Anis Hussein berkata, Kelantan merupakan negeri yang istimewa dan terserlah dengan identiti Melayu yang kukuh meliputi aspek kesultanan, adat istiadat, kesenian, sosial, politik, ekonomi serta sosiobudaya yang telah terbina sejak zaman-berzaman.
“Kelantan mewarisi citra sejarah yang tersendiri, dengan era pemerintahan kesultanan Melayu yang bersilih ganti.
“Bukti sejarah ini masih dapat dilihat melalui tinggalan kota dan makam bersejarah seperti Makam Long Sulaiman, Makam Long Yunus dan Makam D’Raja Langgar yang kekal menjadi monumen dan saksi perjalanan sejarah Kelantan hingga ke hari ini,” katanya.
Beliau menambah, sebelum tahun 1940-an, banyak naskhah manuskrip dan bahan bertulis mengenai sejarah Kelantan dalam tulisan Jawi telah wujud.
“Sebahagian manuskrip ini menjadi rujukan penting kepada para pengkaji sejarah, namun ada juga yang hilang, musnah akibat bencana alam atau tidak lagi dicetak dan sukar diperoleh oleh generasi kini,” katanya di hadapan Tengku Temenggong Kelantan, YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz yang juga merupakan Yang Dipertua MAIK.
MAIK melalui Unit Adat Istiadat telah mengambil pendekatan yang signifikan dengan menghimpunkan naskhah-naskhah penting sejarah Kelantan untuk dipelihara dan diketengahkan semula selepas menyedari hakikat tersebut.
“Pada hari ini tercatatlah satu detik bersejarah apabila sebuah karya agung Naskhah Sejarah Kelantan yang julung kali akan segera diterbitkan secara bersama dengan Yayasan Karyawan, pimpinan Dato’ Haji A. Aziz Deraman.
“Penerbitan karya agung Naskhah Sejarah Kelantan ini bukan sekadar menjadi wadah rakaman sejarah dan budaya, malah berupaya menjadi mercu kebanggaan negeri, sekali gus memperkukuh imej serta mengangkat prestij Kelantan sebagai wilayah yang unggul dengan warisan pusaka dan tradisi peradaban Melayu,” tambahnya.
Menurut beliau lagi, Naskhah Sejarah Kelantan mempunyai keistimewaan yang tersendiri kerana naskhah-naskhah sejarah disatukan dalam satu himpunan yang mudah dirujuk. Kandungan asalnya ditransliterasi ke tulisan Rumi bagi memudahkan pembacaan generasi kini.
“Naskhah ini menjadi sumber rujukan penting kepada masyarakat, khususnya generasi muda, supaya dekat dan memahami liku-liku sejarah pemerintahan Kelantan, menghargai jasa pemimpin terdahulu, serta menanam semangat mempertahankan kedaulatan negeri dan maruah negara.”