Diterbitkan pada 12 Februari 2026, 11:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arbak Othman membicarakan kekuatan kumpulan puisi Taman Percakapan karya penerima SEA Write Award, Shamsudin Othman, yang juga pemenang Tempat Kedua bagi kumpulan puisinya dalam Sayembara Penulisan DBP 2025 baru-baru ini.

Shamsuddin, dalam banyak hal, berhasil menemukan cermin kebenaran yang tidak menyalahi hukum dan tuntutan agama Islam.

Untuk menilai ketokohan seseorang penyair, banyak perkara dan sudut pembicaraan perlu dipertimbangkan untuk mendapatkan pemahaman tentang kebenaran dari beberapa sudut perhitungan. Dalam pandangan ini, saya akan memperlihatkan aspek perkaitan idea dalam konteks meletakkan keutamaan penyair, Shamsudin Othman, dalam kumpulan sajaknya yang berjudul Taman Percakapan (DBP, 2006) yang diterbitkan semula di bawah Edisi Karya Malar Segar Penerima SEA Write Award. Kumpulan puisi ini memenangi Hadiah Khas Kumpulan Puisi Terbaik dalam Anugerah Sastera Darul Tak’zim ke-IV.

Bahagian Tanah Nurani (2006:89) daripada Taman Percakapan didapati memusatkan perhatian penyair dalam konteks menyampaikan nilai-nilai islami, bahkan beberapa nilai tasawuf yang kurang ketara tetapi padat mengikut tanggapan mata batin seseorang yang beriman dan bertakwa.

Oleh sebab kebenaran itu cermin di sisi Tuhan, setiap makna yang terpancar daripada cermin kata-kata dalam sesebuah sajak bisa jatuh ke bumi untuk mencorak fikiran dan perasaan yang suci dan luhur dalam kalangan penghuni yang beragama Islam. Kesucian dan keluhuran ini dibantu oleh kebijaksanaan penyair melalui keupayaannya memilih kata-kata dan ayat yang mengekalkan pancaran suci pada idea yang terjelma pada tanggapan-tanggapan yang membina kehidupan manusia dan kepercayaan yang dibawakan dalam kehdupan mereka di dunia ini.

Kehidupan yang disebutkan ini tidak lain dan tidak bukan kehidupan berilmu yang terpandang seluruhnya pada cermin kebenaran yang disebutkan tadi. Shamsuddin, dalam banyak hal, berhasil menemukan cermin kebenaran yang tidak menyalahi hukum dan tuntutan agama Islam. Hukum agama Islam didapati terpusat pada tuntutan Ilahi. Sepanjang langkah perhitungannya menjadi mesej puisinya. Tuntutan yang berupa panggilan Ilahi yang kebenarannya akan dialami oleh setiap manusia, tergambar dalam bait akhir sajak “Tanah Nurani” (2006:107) yang menghantar mesej yang termaksud dalam petikan yang berikut:

……….Tanah nurani ini adalah tanah abadi
……….tempat aku
……….memugar syurga
……….menimbus neraka
……….memahat iman
……….sebelum menyerahkan seluruh hidup kepada kematian.

Makna kata yang terkait dalam bait sajak tersebut jelas mengandungi lentera hikmah dalam usaha penyair untuk memimpin manusia mendekati kebenaran.

Kemanusiaan suatu hal yang sering diperjuangkan dalam sajak-sajak yang ditulis oleh para penyair. Jika pengalaman manusia tidak diuruskan dengan baik, manusia sering jatuh binasa dan putus asa. Oleh itu, jalan terbaik ialah mencari kebahagiaan yang tidak melepaskan dunia seperti yang terungkap dalam sajak “Aksara Rindu” (2006:110) yang berikut:

……….Selamat datang jika memilih bebas fana duniawi
……….menikmati musim semi kebahagiaan
……….mencari cinta abadi
……….belajar mengenal alif itu Allah
……….lam itu lohmahfuz
……….mim itu maha sifat segalanya
……….dan alif lam mim itu adalah rahsia tak berjawapan
……….yang hilang sebuah kewujudan

Pada bahagian yang mengekalkan nafas Islam, tanggapan mengundang pembaca pada hakikat memahami cinta Ilahi, iaitu suatu sifat batin yang harus dinikmati oleh orang yang beriman, bahawa sepi itu, walaupun indah dan suci, tetapi menyeksakan (dengan banyak dugaan), seperti yang terungakap dalam ungkapan  dalam sajak “Cemara” (2006:118):

……….Suatu pagi selepas subuh
……….kulihat rindu rawanku
……….bergantungan di dahanmu

……….aku tidak sedih
……….kerana aku percaya
……….rindu itu adalah
……….sepi yang menyeksakan.

Persoalan rindu sentiasa diraih oleh keinginan memiliki cinta Ilahi. Cinta yang ghaib ini sering menjadi sumber cahaya pada keimanan dan ketakwaan orang yang dekat dengan Tuhan. Kedekatan yang dirasai sering menjadi alami luar biasa atas kekuasaan Allah yang tidak terbacakan oleh akal manusia biasa. Hal ini sering menjadi ilham yang menguatkan keimanan seseorang yang menjadi pilihan Allah, biasanya di tempat-tempat istimewa seperti kaabah. Lihat bagaimana Shamsudin mengungkapkan nilai keistimewaan yang luar biasa ini dalam beberapa ujaran dalam sajak “Merawat Cinta di Kaki Kaabah” (2006:135):

……….Sujud di pintu rumah-Mu
……….antara multazam dan harum hajar aswad
……….cinta seperti sebutir pasir yang melayang
……….rindu seperti segunung batu yang membenam
……….dan aku akhirnya menjadi lelaki yang terpana
……….oleh kesyahduan yang tak terungkapkan
……….mentafsir rahsia kebesaran dan ketakjuban.

Pemulihan kebahagiaan yang bernilai ini (dalam mencintai dan mengasihi) sering menjadi sarana bagi pertumbuhan batin dan kemanusiaan di sisi Ilahi. Hati kita harus bercita-cita untuk merasa cinta dan keadilan. Paling tidak, setiap orang Islam semestinya menziarahi dan menunaikan ibadah haji, setidak-tidaknya sekali seumur hidup. Inilah antara mesej penting Shamsudin dalam sajaknya itu. Sangat berpahalanya dia dengan perkhabaran dan undangan yang demikian itu.

Gagasan-gagasan islami yang dianjurkan ini menjadikan jiwa penyair terasa subur dan indah dari sisi Ilahi, menggerakkannya untuk menyebarkan dakwah islamiah demi kebaikan muslim dan muslimah.

Peribadi Unggul

Bahasa Melayu bagi Shamsudin ialah bahasa yang pernah hancur dalam sejarah tamadun Melayu …

Selaras dengan tuntutan agama Islam, Shamsudin memberikan keutamaan dalam pembinaan peribadi unggul ummah. Sudah tentu pengukur keunggulan ini ialah amal soleh dan keimanan, sebagaimana yang terungkap dalam stanza ii sajak “Segugus Percakapan Cinta” (2006:84) di bawah:

……….Sapalah desir azalea yang menyentuh kalbu
……….hirup harumnya demi cinta masa lalu
……….kita himpunkan nestapa silam ke dalam makna baru
……….di balik bisik ilalang
……….dan syahdu alam
……….aku ingin melihat
……….segala-galanya mekar
……….dalam redup sinar matamu.

Kita lihat bahawa peribadi unggul Muslimin dan Muslimat harus tertatang atas keperibadian yang indah, disaluti nilai rasa cinta dan rindu kita pada keberserahan kita kepada Ilahi. Barulah hidup manusia berjejak di bumi Allah, walaupun dalam percikan yang kecil, ikut kemampuan masing-masing. Setiap peribadi Muslimin laksana satu huruf dalam tulisan yang mengukir kekuatan akal budi yang istimewa dengan erti kata baik dan luar biasa, selaras dengan makna ujaran “segala-galanya mekar/dalam redup sinar matamu.” Jika nikmat itu dianggap “sebuah hujan/adalah rindu yang mendekatkan/pelangi cinta kita (“Seberkas Aksara Cinta”, 2006:85), potensi kebaikan peribadi menjamin kemurnian dan kesempurnaan hidup yang saling berpaut secara bersama di bumi Allah, setidak-tidaknya di negara kediaman kita.

Allah menuntut kita memelihara bahasa sendiri. Dengan bahasa, dakwah islamiah dapat disampaikan kepada umat manusia, seperti bahasa Melayu. Namun begitu, bahasa Melayu bagi Shamsudin ialah bahasa yang pernah hancur dalam sejarah tamadun Melayu: “pernah bertukar wajah/daripada seekor singa lapar; menjelma menjadi tikus….berkata bukan dengan mulut tetapi nafsu/dan paling menyedihkan/akalnya bukan di jemala tetapi di kaki” (“Kita Bukan Warga yang Sirna, Bahasaku”, 2006:87).

Bahasa ialah ciptaan Allah SWT dan umat Muhammad SAW pengucapnya. Umat Muhammad menyempurnakan amalan dan akidah dengan mencapai maksudnya melalui penyampaian yang membawa mereka ke jalan menuju syurga melalui ilmu.

Shamsudin percaya bahawa bahasa sedapatnya membolehkan segala makna yang membentuk maruah bangsa direalisasikan dalam segala bentuk wacana dalam pembangunan bangsa. Bahasa tidak boleh dijual beli atau diperkotak-kotakkan. Bahasa harus gagah dan bertahan zaman. Konsep ini terungkap dengan jelas dalam sebahagian ujaran sajak “Maruah dan Darjat” (2006:63): “Bahasaku bukan serigala gurun/bahasaku bukan gagak kayangan/tapi ular yang tak akan hilang bisa/ketika menyusur akar pembangunan/bahasaku/kau maruah akan aku daulatkan/meski hidup menjadi gadaian.”

Shamsudin menganggap bahawa tanggungjawab mempertahankan bahasa ke tahap keperkasaan maruah tamadun bangsa sebagai amanah Ilahi kepada umat manusia. Bahasa ialah wahana yang menjalin hubungan masyarakat dengan agama dalam proses mendekatkan diri dengan Tuhan, termasuk juga hubungan manusia dengan amalan dan amanah yang mesti dipikul demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia. Tanggungjawab ini menghasilkan manusia yang menepati tujuan Tuhan mengapa jin dan manusia diciptakan di dunia ini.

Manusia ialah mahkota pinciptaan Tuhan. Manusia ialah cahaya dan rahsia Tuhan, manakala Tuhan pula rahsia hakikat kewujudan manusia yang melalui makrifat kewujudannya, manusia mengenal Tuhan. Inilah suara tauhid yang mengarah manusia untuk menyembah Allah Taala, sebagaimana yang diwahyukan Tuhan sebagai amanah dan kesaksian kebesaran Allah kepada manusia. Pandangan ini dapat difahami oleh manusia yang berakal dan berilmu melalui pengucapan konsep cinta sebagai alat penjelmaannya pada lapangan yang lebih luas, sebagaimana yang terungkap dalam stanza akhir sajak “Percakapan kepada Seorang Kekasih I” (2006:5): “Kekasih,/aku ingin melihat segala-galanya mewangi/dan harumnya tumpah ke dalam cinta abadi.”

Ringkasan maksud daripada ungkapan itu memahamkan kita bahawa manusia diciptakan oleh Tuhan yang setelah itu mesti mengenali dirinya. Setelah mengenali diri, mesti pula mengenal Tuhannya dengan ilmu yang dipanggil makrifat (iaitu ilmu mengenal Tuhan). Manusia yang tidak mengenal dirinya akan terjauh dari rahmat Tuhan. Mereka yang terjauh ini bukan lagi mahkota penciptaan. Mahkota penciptaan terbukti dalam pengucapan stanza pertama sajak “Percakapan kepada Seorang Kekasih V” (2006:8): “Air mata mengalir dari sungai jernih-Mu/seluruh jiwaku berenang di dalamnya/menyusur suara cinta abadi/sebagai/perjalanan yang lain/kembara pesona menuju rumah-Mu.”

Sebatian makna yang saling menyempurnakan itu mengundang kelengkapan idea bahawa manusia yang diciptakan Tuhan itu tidak lain ialah kesempurnaan abadi yang suci. Dia yang diciptakan Tuhan menjadi penutup pada kesempurnaan, setidak-tidaknya dari segi mengapa Tuhan mencipta manusia di dunia ini. Keindahan idea yang digagasi oleh Shamsudin membuktikan sejenis keseluruhan yang istimewa dan sempurna. Inilah kelebihan Shamsuddin dalam mencipta sajak-sajaknya sebagai kekunci adaptasi persepsi dan permaknaan.

Alangkah baiknya seseorang manusia yang diciptakan Allah itu mempunyai hati yang dibersihkan oleh keikhlasan. Sesuatu yang bersih dan terhindar daripada kekotoran dinamakan oleh Al-Ghazali sebagai khalish (yang bersih). Pekerjaan membersihkan disebut sebagai “ikhlas”. Shamsudin menyelitkan konsep keikhlasan ini dalam banyak hubungan. Antaranya termasuk hubungan kita sebagai rakyat yang mempunyai harapan ikhlas terhadap seorang pemimpin negaranya. Harapan ini menandakan keikhlasannya untuk merasai dan menikmati suasana sebuah negaranya yang unggul bagi sama-sama dapat dirasai oleh setiap orang sebagai rakyat sebuah negara di bawah kepimpinannya dengan amanah Ilahi di tangannya. Harapan ikhlas yang dimaksudkan itu terungkap dengan indah dalam stanza kedua sajak “Surat Cinta Kepada Pemimpin IV” (2026:133) yang berikut:

……….Tanah air ini di tanganmu sahabatku
……….berus, kanvas dan warna juga di tanganmu
……….jadilah pelukis terbaik
……….melukiskan tamadun bangsa
……….jalinkan akal budi dan gerak insani
……….seimbangkan rohani dan jasmani
……….manfaatkan ilmu tatarias yang kita pelajari
……….agar negara di tanganmu
……….sebuah lukisan tak ternilai harganya.

Keikhlasan juga dianggap kemurnian niat dan apa jua perbuatan yang seluruh perhatiannya adalah untuk kehendak Allah. Keikhlasan ini muncul daripada suatu kesedaran total yang berakarkan transendensi keunggulan sifat mulia secara bebas. Keikhlasan ini akan menjurus kepada sifat ketulusan dalam tindakan bagi mengelakkan egosentrisme yang boleh meningkatkan keupayaan membina kehidupan masyarakat.

Shamsudin Othman

Hal ini adalah antara beberapa keputusan yang meningkatkan keupayaan mental dan kebahagiaan. Shamsudin menghasilkan rasa tanggungjawab ini sebagai makna hidup yang harus dinikmati oleh umat Islam bagi menghidupkan kemanusiaan dalam negara sendiri. Pesanan ini juga merupakan antara mesej penyair dalam konteks perjuangan dan kemajuan islami secara alamiah.

Hal yang menjadikan idea keikhlasan ini sejalan dengan nikmat yang dirasai daripada kemajuan negara yang terancang (yang memenuhi gagasan dalam sajak di atas dan beberapa lagi sajak lain yang senafas) ialah niat Shamsudin menyertakan integriti amanah yang dipegang oleh pemimpin rohaniah dan ilmuwan (sejajar dengan tuntutan nilai Islam) yang ada padanya memuliakan daya kerasionalan warga negara yang adil dan tidak terpesong ke arah kebanggaan diri tanpa muzakarah akibat menjunjung kebanggaan nafsu.

Seorang pemimpin negera yang bermaruah diharapkan tidak sekali-kali mengambil acuan daripada karenah seorang pemimpin dunia yang diperhatikan dan dianggap oleh penyair sebagai lupa daratan. Pandangan ini ternyata secara pengisian dalam bahagian akhir sajak “Percakapan kepada Seorang Pemimpin Dunia” (2006:25): “Barangkali (ada kebenarannya juga) kau harus/bersuluk – jangan takut pada sunyi dan gelita/yang mengajarkan makna ikhlas dan jujur/niatmu mendalam amat – tak terjangkau fikir.”

Sebelum ungkapan ini, sudah sedia terungkap terlebih dahulu makna dan idea penolakan pemimpin dunia yang bangga dengan ciptaan ledakan nafsu Firaun secara metaforis, dengan sindiran seolah-olah pemimpin dunia ini “tak pernah bertahajud apatah lagi bermuzakarah”. Ungkapan ini teramat sinis!

Keimanan dan Ibadah

Pada umumnya, sajak-sajak Shamsudin Othman membawakan nafas islamiah dalam bentuk amalan yang harus disempurnakan oleh umat Islam bagi menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Walaupun sajak-sajak Shamsuddin dalam kumpulan Taman Percakapan tidak terpusat secara total dengan suluhan yang menyeru umat Islam mengerjakan ibadah berpandukan kekuatan iman yang ada pada diri pengamal ibadah (sama ada dari sudut tauhid atau tasawuf), konsep ibadah secara yang lebih luas dan terkilas tetap menjadi unsur yang kuat dalam permaknaan sajak-sajak Shamsudin secara lambang. Simbolismenya ternyata kuat, walaupun dianggap malar bagi kalangan pembaca yang tidak tertekap pada pemahaman yang dalam terhadap mesej sajak.

Sebagai contoh, sajak “Sekuntum Cinta di Bibir Izrail” (2006:120) sekali pandang mengungkapkan makna ketakutan. Akan tetapi, orang yang kuat imannya tidak menganggap yang makna (“sekuntum mawar putih”) dalam ujaran “kau datang menghampiriku/dengan ukir bibir dan senyum manis/mengutus salam kemudian menyeru berkali-kali namaku” sebagai undangan murni yang terhormat dan bercahaya di jiwa, yang bukannya sesuatu yang menyayatkan hati, atau menakutkan. Bagi orang yang beriman, inilah ketinggian jiwa tasawuf atau kerohanian pada saat dia sedang menghadapi kematian.

Tuntutan akidah yang terserap di batin jarang-jarang diperlihatkan oleh Shamsudin sebagai tali rohani yang menyucikan jiwa seseorang yang beriman dan bertakwa. Saya dapat mengesan sajak berjudul “Dan Malaikat Pun Senyum Kepadaku” (2006:93) yang melahirkan kesedaran terhadap kelemahan diri dalam bentuk pertanyaan kepada diri sekali gus mengakui kelemahan yang tidak mampu diatasi. Lalu, pertanyaan “sampai bilakah kau akan senyum kepadaku?” dimajukan kepada malaikat (yakni kepada Tuhan secara metaforis) supaya masalah ibadah dan keimanan selesai dijawab sepuas hati. Dilema kesedaran seorang yang beriman dan bertakwa akhirnya dijawab setulus rasa. Demikian bunyinya:

……….Dan ketika malaikat mengepakkan sayapnya
……….untuk bersalaman denganku
……….aku masih terengsot-engsot di atas aspal cinta
……….mencari makna pahala dan takwa
……….yang kautinggalkan.

Ujaran akhir “yang kautinggalkan” itu sangat bermakna bagi “orang yang berasa kurang ilmu dan keimanan” untuk dikutip bagi menyempurnakan amalan ibadah yang dirasakan suatu ketinggalan dalam makna hidupnya sebelum ini. Al-Quran mengingatkan bahawa keimanan memerlukan ujian dalam bentuk pengorbanan. Semangat menyempurnakan ibadah melalui batin-rohaniah dapat memulihkan sayap keimanan dan pengorbanan dalam kehidupan. Bersama-samanya tumbuh hal yang baik-baik, seperti amalan mengerjakan solat, puasa dan amalan lain yang dituntut dalam tauhid dan tasawuf.

Pada umumnya, sajak-sajak Shamsudin Othman membawakan nafas islamiah dalam bentuk amalan yang harus disempurnakan oleh umat Islam bagi menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Susunan sajak-sajak dalam kumpulan Taman Percakapan tidaklah rencam, malah pembahagian kepada tiga ranah (Taman Percakapan, Perkasihan Rindu dan Tanah Nurani) tidak membezakan kategori pemikiran yang jauh dari segi penekanan dan tumpuan mesej yang bernafaskan nilai islami. Ketiga-tiganya bertumpu kepada akidah dan amalan agama Islam, dengan perbezaan diperlihatkan pada pemusatan mesej berdasarkan kesedaran dan galakan pada penyempurnaan amalan ibadah menurut perspektif ilmu dan keyakinan kebenaran agama Islam.

Sebagai suatu keseluruhan, seruan untuk umat Islam melaksanakan amalan ibadah dan keimanan yang teguh kelihatan tersalur melalui kesedaran dan percikan makrifat yang kena pada tempatnya.

Beli kumpulan puisi Taman Percakapan di sini.

_________________________

Arbak Othman ialah sarjana bahasa yang cukup dekat dengan dunia puisi. Beliau turut menghasilkan beberapa kumpulan puisi dan menulis buku Esei Kajian dan Kritikan Puisi. Esei beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Kredit Foto: Shamsudin Othman
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi