Diterbitkan pada 11 Februari 2026, 18:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
  1. PENDAHULUAN

1.1 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan Sayembara Penulisan Kreatif DBP 2025 yang menerima penyertaan karya kreatif dari penulis seluruh negara. Sayembara ini bertujuan mencungkil karya yang menyerlahkan jati diri dan citra bangsa Malaysia melalui bahasa dan sastera kebangsaan dalam konteks kesejahteraan dan kenegaraan Malaysia MADANI.

2. BENTUK DAN NILAI HADIAH

2.1  Kategori Novel (Wang Tunai dan Sijil Penghargaan)

  • Tempat Pertama: RM30,000
  • Tempat Kedua: RM15,000
  • Tempat Ketiga: RM10,000
  • Sagu Hati: RM3,000 x Tiga Penerima

2.2 Kategori Kumpulan Puisi (Wang Tunai dan Sijil Penghargaan)

  • Tempat Pertama: RM30,000
  • Tempat Kedua: RM15,000
  • Tempat Ketiga: RM10,000
  • Sagu Hati: RM3,000 x Tiga Penerima

2.3 Kategori Drama Pentas (Wang Tunai dan Sijil Penghargaan)

  • Tempat Pertama: RM30,000
  • Tempat Kedua: RM15,000
  • Tempat Ketiga: RM10,000
  • Sagu Hati: RM3,000 x Tiga Penerima

2.4 Kategori Kumpulan Cerpen (Wang Tunai dan Sijil Penghargaan)

  • Tempat Pertama: RM30,000
  • Tempat Kedua: RM15,000
  • Tempat Ketiga: RM10,000
  • Sagu Hati: RM3,000 x Tiga Penerima

3. PENYERTAAN MENGIKUT KATEGORI

3.1 DBP telah menerima sejumlah 419 manuskrip daripada empat (4) kategori utama, iaitu:
Kumpulan Puisi: 194 buah manuskrip
Kumpulan Cerpen: 52 buah manuskrip
Drama Pentas: 63 buah manuskrip
Novel: 110 buah manuskrip

4. PROSES PENILAIAN

4.1 Panel penilai melaksanakan proses penilaian secara menyeluruh dan berperingkat, bermula dengan saringan awal dan diikuti oleh penilaian akhir untuk setiap kategori. Penilaian dibuat mengikut kriteria yang ditetapkan, merangkumi aspek bahasa, keilmuan dan gaya persembahan, dengan penekanan terhadap kekuatan idea, ketepatan pengolahan, keutuhan struktur serta keberkesanan penyampaian.

5. ULASAN UMUM PANEL PENILAI

5.1 Sebahagian besar karya menunjukkan kesungguhan pengarang dalam mengangkat persoalan penting seperti isu kemanusiaan, jati diri bangsa, sejarah, agama, warisan budaya dan kritikan sosial semasa.
5.2 Antara kelemahan dikenal pasti merentas kategori termasuk penggunaan bahasa yang tidak konsisten atau kurang lunak, naratif yang kabur, kelemahan dalam pembinaan plot dan perwatakan serta pengolahan idea besar yang belum mantap secara teknikal dan struktural.
5.3 Dalam beberapa kategori, kekangan format genre dan kecenderungan kepada gaya penulisan konvensional atau klise turut menjejaskan kekuatan keseluruhan karya.

6. ULASAN MENGIKUT KATEGORI

6.1 Kategori Novel dan Kumpulan Cerpen
6.1.1 Hanya segelintir karya benar-benar mencapai tahap kematangan dari segi penguasaan teknik penceritaan, keseimbangan antara subjek dengan gaya bahasa serta kemampuan mengemukakan gagasan yang segar dan berdaya tahan.
6.1.2 Karya menonjol ialah karya yang berani menggarap subjek relatif langka, menggunakan simbolisme secara berkesan, dan mengangkat nilai kemanusiaan, keagamaan serta kenegaraan secara bernuansa dan berlapis makna.

6.2 Kategori Drama Pentas
6.2.1 Panel mendapati sebahagian besar skrip masih lemah dari segi pemahaman format asas drama, pembinaan konflik dramatik dan pendalaman psikologi watak.
6.2.2 Kecenderungan kepada gaya drama televisyen serta isu harian berskala kecil menjejaskan kekuatan dramatik karya. Hanya beberapa naskhah dinilai memenuhi konvensi drama pentas dan layak diiktiraf.

6.3 Kategori Kumpulan Puisi
6.3.1 Kekuatan karya terpilih terletak pada keupayaan mengelakkan klise, kebijaksanaan memanipulasi bahasa secara simbolik dan metaforikal serta keberanian mengemukakan renungan keagamaan, kemanusiaan dan kenegaraan secara reflektif.
6.3.2 Namun, bilangan karya berkualiti tinggi adalah terhad, menyebabkan kedudukan hadiah tertinggi tidak dapat dipertandingkan dalam kategori ini.

7. KEPUTUSAN

7.1 Kategori Kumpulan Puisi

Tempat Pertama Tiada
Tempat Kedua Makrifat Taman Cinta oleh Shamsudin Othman
Tempat Ketiga Gelombang Pecah Langit Terbelah oleh Roslan Madun
Sagu Hati Jarum Semesta oleh Lutfi Ishak
Bayangan Kacak Merak oleh Zainal Abidin Suhaili (Abizai)
Ajarlah Aku Lagi, Wahai Tanah Air oleh Rosli K. Matari

7.2 Kategori Kumpulan Cerpen

Tempat Pertama Tiada
Tempat Kedua Lelaki yang Mengahwini Pokok oleh Abang Median Abang Said
Tempat Ketiga Maharani oleh Aminah Mokhtar
Sagu Hati Hotel untuk Orang-orang Sedih oleh Nasiruddin Hassan
Betapa Jauhnya Syurgaku oleh Mukhtar Mustafa
Arah Jalan Seterusnya oleh Jaya Ramba

7.3 Kategori Drama Pentas

Tempat Pertama Tiada
Tempat Kedua Tiada
Tempat Ketiga Tiada
Sagu Hati Cindai Berdarah oleh Anwar Idris
Legasi Tanah Raja oleh Salina Ibrahim

7.4 Kategori Novel

Tempat Pertama Tiada
Tempat Kedua Tiada
Tempat Ketiga Emas Serial Berat oleh Norzana Razaly (Zanazanzaly)
Sagu Hati Legasi Tanah Samudera oleh Nazri Hussein
Akar-akar Metamorfosis oleh Jong Chian Lai
Belenggu oleh Rohiman Haroon

8. KESIMPULAN

8.1 Panel penilai berpandangan bahawa Sayembara Penulisan Kreatif DBP terus memainkan peranan penting sebagai medan pembinaan bakat dan pemerkasaan sastera kebangsaan. Penyertaan yang diterima mencerminkan minat dan kreativiti penulis tanah air dalam memperkaya khazanah bahasa dan sastera Melayu dalam era Malaysia MADANI.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi