Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan berkata, dalam era teknologi canggih kini, nilai kemanusiaan dan kejujuran jiwa dalam berkarya perlu terus dipelihara agar sastera tidak hilang rohnya.
“Kolokium Sastera: Kajian Genre Puisi merupakan cara terbaik untuk memperkenalkan genre puisi secara lebih santai, segar dan berwibawa.
“Dengan perkongsian terus daripada nurani 17 orang pembentang yang juga penulis puisi, generasi muda dapat memahami bahawa puisi bukan sekadar rangkaian kata indah, tetapi disiplin ilmu yang memuatkan falsafah, pemikiran serta kekuatan bahasa,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan kolokium tersebut.
Menurut beliau, puisi ialah karya sastera yang menggunakan bahasa indah, tersusun dan berirama untuk meluahkan perasaan, pemikiran serta pengalaman penyair secara kreatif. Oleh itu, puisi yang sering disebut sebagai “bahasa hati” dan rakaman sejarah jiwa, menjadi tunjang penting dalam khazanah sastera Melayu dan dunia.
“Puisi ialah cerminan budaya, pemikiran dan falsafah hidup sesuatu bangsa. Justeru, usaha memperkasa kefahaman terhadap genre ini amat penting dalam membina jati diri masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa para penyair mentafsir puisi melalui pelbagai sudut pandangan. Antara pandangan yang dikemukakan oleh beliau termasuklah puisi sebagai emosi yang diingati dan diungkapkan; puisi sebagai kebenaran yang disampaikan secara tidak langsung tetapi indah, serta puisi sebagai luahan kreatif untuk melihat dunia.
Selain itu, puisi juga disifatkan sebagai pengalaman yang diapungkan; muzik yang tercipta daripada kata-kata serta puncak keindahan gaya bahasa dalam kesusasteraan.
Pada masa yang sama, beliau menyentuh tentang sumber ilham para penyair yang pelbagai, antaranya termasuklah alam semula jadi, perhubungan cinta serta insani, pengalaman peribadi, realiti masyarakat, dan ketidakadilan sosial.
“Aspek spiritual dan falsafah, mitos serta sejarah, seni muzik dan karya sastera terdahulu sebagai interteks, malah kekaguman terhadap bahasa itu sendiri juga menjadi antara sumber utama yang menggerakkan penciptaan puisi,” jelasnya.
Anwar turut menzahirkan keyakinan bahawa pembentangan dan sesi perbincangan sepanjang kolokium mampu mencetuskan idea segar serta membuka minda generasi muda terhadap kedalaman makna puisi.
Kolokium sehari ini diadakan dengan hasrat memperkenalkan konsep genre puisi, dari perspektif penulis sendiri, sekali gus mendekatkan kefahaman sebenar tentang puisi kepada generasi muda dan penulis pemula.
Menurut pihak Bahagian Penyelidikan Sastera, kolokium ini juga berperanan sebagai wacana ilmiah dan menjadi pentas apresiasi, selain medan perkongsian idea dalam memartabatkan seni puisi tanah air.