Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sebanyak 16 karya terpilih dalam Sayembara Penulisan Kreatif Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2025 memperlihatkan potensi besar serta menjadi petanda positif terhadap perkembangan persuratan Melayu yang semakin berwibawa, kritis dan berakar pada nilai budaya, ilmu serta kemanusiaan sejagat.
Ketua Panel Penilai, YBrs. Dr. Hazami Jahari yang juga Ketua Pengarah DBP berkata, dapatan tersebut mencerminkan kematangan sebahagian pengarang dalam mengangkat gagasan penting melalui bahasa dan sastera kebangsaan yang selari dengan konteks kesejahteraan dan kenegaraan Malaysia MADANI.
Beliau menyampaikan ulasan ringkas keputusan sayembara berkenaan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, hari ini.
Menurutnya, keputusan yang diumumkan merupakan hasil penilaian muktamad panel penilai berwibawa selepas melalui proses saringan awal dan penilaian akhir yang menyeluruh bagi setiap kategori.
“Panel melaksanakan penilaian secara berperingkat berdasarkan kriteria ditetapkan meliputi aspek bahasa, keilmuan dan gaya persembahan, dengan penekanan terhadap kekuatan idea, ketepatan pengolahan, keutuhan struktur serta keberkesanan penyampaian,” katanya.
Sayembara tahun ini melibatkan empat kategori utama, iaitu Kumpulan Puisi, Kumpulan Cerpen, Drama Pentas, dan Novel. Sebanyak 419 manuskrip diterima, merangkumi 194 Kumpulan Puisi, 52 Kumpulan Cerpen, 63 Drama Pentas, dan 110 Novel.
Sehubungan itu, Dr. Hazami menjelaskan, secara umum kebanyakan karya menunjukkan kesungguhan pengarang mengangkat pelbagai persoalan penting termasuk isu kemanusiaan, jati diri bangsa, sejarah, agama, warisan budaya serta kritikan sosial semasa.
Namun begitu, bagi kategori Novel dan Kumpulan Cerpen, hanya sebilangan kecil karya mencapai tahap kematangan dari segi teknik penceritaan, keseimbangan subjek dengan gaya bahasa serta keupayaan mengemukakan gagasan yang segar dan berdaya tahan.
“Karya yang menonjol memperlihatkan keberanian menggarap subjek yang relatif langka, memanfaatkan simbolisme secara berkesan serta mengangkat nilai kemanusiaan, keagamaan dan kebangsaan secara bernuansa dan berlapis makna,” jelasnya.
Bagi kategori Drama Pentas pula, panel mendapati sebahagian besar skrip masih lemah dari sudut pemahaman format asas drama, pembinaan konflik dramatik dan pendalaman psikologi watak. Kecenderungan kepada gaya drama televisyen serta isu harian berskala kecil turut membataskan kekuatan dramatik naskhah.
Manakala kategori Kumpulan Puisi, karya terpilih disifatkan menyerlah melalui keupayaan mengelakkan klise, kebijaksanaan memanipulasi bahasa secara simbolik dan metaforikal serta keberanian mengemukakan renungan keagamaan, kemanusiaan dan kenegaraan secara halus dan reflektif.
Walau bagaimanapun, mutu tinggi yang terhad menyebabkan hadiah tertinggi tidak dapat dipertandingkan.
Panel penilai turut menegaskan bahawa Sayembara Penulisan Kreatif DBP terus berperanan sebagai medan penting pembinaan bakat dan pemerkasaan sastera kebangsaan.
Sebanyak 16 karya diperakui layak menerima pengiktirafan dalam sayembara berprestij itu melibatkan kategori:
Kumpulan Puisi
| Johan | Tiada |
| Kedua | Makrifat Taman Cinta oleh Shamsudin Othman |
| Ketiga | Gelombang Pecah Langit Terbelah oleh Roslan Madun |
| Sagu hati | Bayangan Kacak Merak oleh Zainal Abidin Suhaili (Abizai)
Jarum Semesta oleh Lutfi Ishak Ajarlah Aku Lagi, Wahai Tanah Air oleh Rosli K. Matari |
Kumpulan Cerpen
| Johan | Tiada |
| Kedua | Lelaki yang Mengahwini Pokok oleh Abang Median Abang Said |
| Ketiga | Maharani oleh Aminah Mokhtar |
| Sagu hati | Orang-orang Sedih oleh Nasiruddin Hassan
Betapa Jauhnya Syurgaku oleh Mukhtar Mustafa Arah Jalan Seterusnya oleh Jaya Ramba |
Drama Pentas
| Johan | Tiada |
| Kedua | Tiada |
| Ketiga | Tiada |
| Sagu hati | Cindai Berdarah oleh Anwar Idris
Legasi Tanah Raja oleh Salina Ibrahim |
Novel
| Johan | Tiada |
| Kedua | Tiada |
| Ketiga | Emas Serial Berat oleh Norzana Razaly (Zanazanzaly) |
| Sagu hati | Legasi Tanah Samudera oleh Nazri Hussein,
Akar-akar Metamorfosis oleh Jong Chian Lai Belenggu oleh Rohiman Haroon |