Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRidzuan Kamis membaca kembali kumpulan puisi yang boleh dianggap sebagai “klasik moden” dalam himpunan karya puisi kontemporari kita, Sungai Mekong.
Kumpulan puisi Sungai Mekong ialah sebuah karya yang bukan sahaja bernilai sastera tinggi, malah berfungsi sebagai dokumen nurani dan kesedaran berfalsafah.
Buku Kumpulan Puisi Sungai Mekong karya Latiff Mohidin (dieja di kulit buku sebagai “A. Latiff Mohiddin”) yang diterbitkan semula dalam Edisi Karya Malar Segar Penerima S.E.A. WRITE Award merupakan sebuah naskhah penting yang menandai kematangan estetik dan pemikiran seorang penyair besar Nusantara. Cetakan terbaharu tahun 2025 ini bukanlah sekadar mengulang sejarah penerbitan, sebaliknya menegaskan keampuhan karya yang terus relevan merentas zaman, generasi dan sempadan pembacaan.
Latiff Mohidin atau nama sebenarnya Abdul Latiff Haji Mohidin, lahir pada 20 Ogos 1941 di Seremban, Negeri Sembilan. Beliau dikenali sebagai tokoh seni yang merentas disiplin, yakni seorang pelukis dan penyair. Keistimewaan ini jelas terpancar dalam puisinya yang bersifat simbolik dan penuh detik rasa. Anugerah Penulis Asia Tenggara atau SEA WRITE Award yang diterimanya pada tahun 1984 mengesahkan kedudukan beliau sebagai penyair yang berwibawa di peringkat serantau.
Puisi “Sungai Mekong” yang menjadi judul utama kumpulan ini berfungsi sebagai pusat makna dan jiwa keseluruhan naskhah ini. Sungai diangkat bukan sebagai latar alam semata-mata, tetapi sebagai lambang sejarah berdarah, penderitaan manusia dan keganasan yang berulang. Hal ini lebih-lebih lagi bersangkutan dengan era sajak ini ditulis, era 1960-an, apabila Daratan Asia Tenggara (yang antara jantung sumber hidupnya ialah Sungai Mekong, sungai terpanjang di Asia Tenggara, mengalir dari sempadan Myanmar, Laos, Thailand, Kemboja, dan Vietnam ke Luat China Selatan, yang sumber sungainya datang dari Dataran Tinggi Tibet) dan sudah tentu, Malaysia, menghadapi gegaran krisis pengaruh ideologi, antara Blok Barat (khususnya Amerika Syarikat) dengan Blok Timur (Komunis). Kemuncak Perang Vietnam sedang bergegar pada masa itu, memecahbelahkan jiwa, keluarga dan sempadan negeri.
Antara petikan “Sungai Mekong” yang kuat dan menggugah ialah:
…..sungai mekong
…..akhirilah tari siang riakmu
…..kulihat di dasarmu
…..kuntum-kuntum berdarah
…..batu-batu luka
…..malam ini
…..ribut dari utara akan tiba
…..tebingmu akan pecah
…..airmu akan merah
…..dan arusmu akan lebih keras
…..dari niagara.
…………… (Latiff Mohidin, 2025:2)

Petikan tersebut turut diletakkan sebagai rangsang sari di kulit belakang buku ini. Imej “kuntum-kuntum berdarah” dan “batu-batu luka” memperlihatkan kebijaksanaan Latiff memanipulasi unsur alam menjadi simbol tragedi manusia. Sungai Mekong diolah sebagai saksi bisu pada kekejaman sejarah, peperangan dan penderitaan yang tidak pernah benar-benar surut. Bahasa puisinya ringkas, namun berlapis makna, meninggalkan kesan yang lama dalam jiwa pembaca.
Sebanyak 36 puisi yang dimuatkan dalam kumpulan ini menampilkan kepelbagaian tema dan persoalan. Judul seperti “Serigala”, “Hari Minggu”, “Perpisahan”, “Darahku”, “Kepada Kura-kura”, “Hujan”, “Cinta dari Sebuah Kamar”, “Pohon Cemara”, “Kau Tidak Akan Mengerti”, dan “Sungai Tua” membuktikan keluasan horizon pemikiran penyair dalam usaha menggarap isu kemanusiaan, cinta, kesunyian, ingatan, dan pencarian makna hidup.
Puisi-puisi Latiff Mohidin pada waktu itu tidak bersifat sentimental semata-mata, sebaliknya sarat renungan falsafah dan kesedaran rohaniah. Pembaca dibawa menelusuri pengalaman batin yang kadangkala sunyi, kadangkala gelisah, namun sentiasa jujur. Di sinilah terletaknya kekuatan penyair, yakni keupayaannya memaksakan pembaca berfikir dan mentafsir, bukan sekadar menikmati keindahan bahasa semata-mata.
Sebagai karya yang pertama kali diterbitkan secara bercetak pada tahun 1981 dan pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Cina, Sungai Mekong membuktikan daya jangkauan universal puisi Latiff Mohidin. Tema-tema yang diangkat tidak terikat pada ruang tempatan semata-mata, malah mencerminkan pengalaman kolektif manusia sejagat yang berhadapan dengan konflik, kehilangan dan harapan.
Cetakan semula pada tahun 2025 dalam edisi khas ini wajar dipuji kerana memberikan peluang kepada generasi baharu mengenali dan menghayati karya besar ini. Hal ini sekali gus memperkukuh kedudukan Sungai Mekong sebagai teks penting dalam kanon sastera Melayu moden, khususnya dalam memahami perkembangan puisi eksperimental dan penekanan gaya simbolik di rantau ini.
Kesimpulannya, kumpulan puisi Sungai Mekong ialah sebuah karya yang bukan sahaja bernilai sastera tinggi, malah berfungsi sebagai dokumen nurani dan kesedaran berfalsafah. Latiff Mohidin berjaya merakamkan luka kemanusiaan melalui bahasa yang tegas, jujur dan puitis. Naskhah ini wajar dimiliki, dibaca dan direnungi sebagai warisan sastera yang terus hidup, mengalir seperti Sungai Mekong itu sendiri yang panjang, dalam dan sarat makna, masih menyimpan cerita-cerita sedihnya, dan harapnya, cerita-cerita bahagia yang mendatang.
Beli Sungai Mekong di sini.
_________________________
Ridzuan Kamis penulis dari Kangar, Perlis. Beliau ialah Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil. 11/2021.