Oleh Marsli N.O
Diterbitkan pada 20 Januari 2026, 06:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Marsli N.O mengakui, menulis juga menampilkan sifat paling manusiawi manusia – sifat ketidaksempurnaan dan kegagalan manusia, agar manusia terus belajar daripadanya.

Seperti belajar berjalan, kita pasti jatuh dulu.

Saya percaya semua orang pernah mengalami rasa kecewa. Kecewa kerana gagal, kerana berasa tidak dihargai, berasa dirinya tidak cukup baik, ketika difitnah atau diumpat keji, dan sebagainya lagi.

Perasaan ini tidak memilih siapa dan jantina. Pelajar, orang dewasa, penulis lama, atau penulis baharu. Semuanya pernah mengalaminya. Bezanya hanyalah cara setiap orang menghadapinya.

Saya sendiri mula menulis bukan kerana yakin dirinya hebat, tetapi kerana sering berasa rendah diri. Ada masa saya membaca karya orang lain dan terus berfikir, “Tulisan aku tak akan sampai tahap ini.” Fikiran itu membuatkan saya berasa sedih. Kadang-kadang berasa ingin merajuk dan berhenti menulis sahaja.

Namun begitu, di situlah juga saya mula sedar bahawa rasa kecewa itu sebenarnya sedang menolak saya untuk menulis dengan lebih jujur dan gigih.

Saya akhirnya menjadi sedar. Kesedihan bukan tanda kita lemah. Kesedihan ialah tanda kita masih peduli. Orang yang tidak peduli tidak akan kecewa. Mereka yang kecewa sebenarnya mempunyai harapan, cuma harapan itu belum tercapai. Maka, daripada menyimpan rasa itu sendirian, saya memilih untuk menuliskannya.

Sedikit demi sedikit saya mengajar diri untuk memahami. Menulis tidak semestinya indah dan sempurna pada peringkat awalnya. Ayat boleh berterabur, idea boleh bercelaru. Itu perkara biasa. Seperti belajar berjalan, kita pasti jatuh dulu.

Saya juga pernah menulis satu perenggan dan memadamnya berkali-kali kerana rasa tidak puas hati. Namun saya belajar satu perkara penting: tulisan tidak perlu sempurna pada peringkat permulaan. Hal itu hanya perlu ditulis dengan jujur.

Sebagai penulis baharu yang masih terkial-kial sekitar tahun 1970-an dahulu, yang nekad memilih untuk mengirimkan karyanya ke majalah sastera dan bukan ke majalah picisan beraromakan erotis, hasrat agar karya diterima, disiarkan, ingin dibaca orang dan melihat nama dicetak di akhbar atau dalam majalah terasa berkobar-kobar .

Tekanan itu memang amat terasa. Apalagi ketika karya ditolak, rasa kecewa datang bertimpa-timpa. Sehingga pernah berfikir, “Mungkin aku memang tak berbakat.”

Akan tetapi, lama-kelamaan saya sedar, penolakan bukan penamat. Penolakan hanyalah satu hentian sementara.

Setiap penolakan sebenarnya mengajar saya sesuatu. Hal itu mengajar supaya bersabar, membaca lebih banyak dan lebih gigih memperbaiki tulisan sendiri.

Saya insafi. Jika semua karya terus diterima, mungkin saya tidak akan belajar apa-apa. Atas kegagalan, saya tidak mudah merajuk serta berputus asa, saya dapat berkembang walaupun pada awalnya hal itu amat menyakitkan.

Saya juga pernah berasa malu dengan tulisan sendiri. Saya takut orang ketawakan idea saya. Saya takut orang kata tulisan saya kebudak-budakan. Apabila saya menyimpan perasaan itu terlalu lama, hati dan fikiran saya menjadi lebih berat.

Akhirnya saya sedar, lebih baik menulis dan dikritik daripada diam dan menyesal kerana tidak menulis. Biarlah dikritik sebagai apa-apa pun, yang penting saya mesti terus menulis dan membaca.

Siapa sahaja atau pengkritik boleh berkata apa-apa sahaja mengenai karya saya. Akan tetapi saya akan tetap dan terus menulis. Saya sedia menerima hakikat dan tidak ingin berasa sedih: karya saya hanya seadanya sahaja dan saya pun tidak ingin menulis sesuatu yang saya tidak tahu serta kuasai.

Saya sedar dan akui. Menulis ialah satu bentuk keberanian. Berani untuk menunjukkan perasaan sendiri. Berani untuk mengaku bahawa saya sedih, saya gagal, dan saya tidak sempurna.

Saya harap, kerana menulis daripada perasaan dan jiwa sendiri, tulisan saya akan menjadi lebih hidup. Pembaca boleh merasai kejujuran itu walaupun bahasa saya ringkas. Kadang-kadang, inspirasi tidak datang daripada perkara besar. Inspirasi datang daripada pengalaman kecil—dimarahi guru, kehilangan kawan, keputusan peperiksaan yang mengecewakan, atau impian yang tidak tercapai.

Saya mengajar diri melihat sesuatu persoalan yang biasa sebagai bahan penulisan dari sudut yang berbeza dan di luar logika akal biasa.

Kerana rasa kecewa juga, saya sering menulis diari. Di dalamnya, saya mencurahkan segala perasaan yang ingin saya luahkan. Saya tulis tanpa memikirkan tatabahasa, tanpa memikirkan siapa yang akan membaca. Saya tulis untuk diri sendiri.

Anehnya, daripada tulisan diari itulah lahir idea cerpen dan rencana. Rasa kecewa yang saya sangka membebankan rupa-rupanya menjadi sumber kekuatan yang lain pula.

Menulis juga membantu saya memahami diri sendiri. Hari ini, apabila saya membaca semula tulisan lama, saya sedar betapa jauhnya saya telah berubah.

Rasa sedih yang dahulu terasa besar kini hanya menjadi kenangan. Namun tanpa menulis, mungkin saya tidak sedar perjalanan itu.

Saya bersyukur dan berterima kasih pada rasa sedar yang mendorong saya menjadikan rasa kecewa sebagai gerakan kuat untuk saya menulis.

Kadang-kadang, ayat yang paling sederhana ialah ayat yang paling kuat.

Hari ini, setelah semakin berusia tua, semakin saya yakin dan percaya, betapa saya dapat terus menulis kerana saya tidak menunggu sehingga hidup sempurna untuk menulis.

Hidup memang tidak akan sempurna. Selagi kita bernafas, selagi itulah kita akan diuji. Gunakan ujian itu sebagai cerita. Gunakan kegagalan itu sebagai pelajaran.

Saya juga belajar bahawa menulis bukan pertandingan siapa paling hebat. Menulis ialah proses mengenali diri sendiri. Setiap orang mempunyai suara yang berbeza. Tulisan saya tidak perlu sama seperti orang lain. Tulisan syaa hanya perlu menjadi milik saya sendiri.

Ada harinya saya tidak tahu apa yang hendak ditulis. Pada hari seperti itu, saya tulis tentang kekosongan itu sendiri. Saya tulis tentang rasa buntu. Daripada kebuntuan itulah muncul kejujuran. Kadang-kadang, ayat yang paling sederhana ialah ayat yang paling kuat.

Menulis kerana rasa kecewa bukan bermaksud kita meratapi kesedihan sepanjang masa. Hal itu bermaksud kita tidak membiarkan kesedihan itu memakan diri. Kita mengubahnya menjadi sesuatu yang bermakna. Kita menukarkannya menjadi kata-kata yang paling tidak pun, dapat menghiburkan perasaan kita sendiri.

Saya percaya ramai penulis hebat lahir daripada pengalaman pahit. Mereka bukan orang yang hidupnya sentiasa mudah, tetapi orang yang memilih untuk tidak berdiam diri dan menyerah kalah kepada rasa kecewa dan kesusahan hidup mereka. Mereka menulis, walaupun dengan tangan yang menggigil.

Hari ini, awal tahun 2026 ini, saya bayangkan kembali bertemu dengan diri saya sebagai penulis pemula pada tahun awal tahun 1970- an itu.

Kepada diri saya itu, yang masih terkial-kial mencari ruang dan tempat berpijak serta sering dilanda rasa kecewa ketika itu, saya ingin berkata satu perkara: perasaan kecewa anda itu berharga. Jangan buang perasaan itu. Jangan anggap perasaan itu sebagai kelemahan. Gunakan perasaan itu sebagai bahan bakar untuk menulis.

Tulislah walaupun satu perenggan sehari. Tidak mengapa jika ayatnya pendek. Tidak mengapa jika bahasanya ringkas. Hal yang penting, anda menulis dengan jujur. Dari situlah keyakinan akan perlahan-lahan tumbuh.

Akhirnya, saya sedar bahawa menulis bukan untuk menghilangkan kesedihan sepenuhnya. Menulis membantu saya hidup bersama-sama kesedihan itu dengan lebih tenang. Sedih itu tidak hilang, tetapi tidak lagi menakutkan.

Saya menulis kerana saya kecewa. Saya menulis kerana saya gagal. Dan kerana itulah, saya terus menulis.

_________________________

Marsli N.O kini penulis sepenuh masa yang memilih berjalan sendirian dan hanya menjadi dirinya sendiri.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi