Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangN. Nur Nasuha memberikan penghargaan atas kemunculan Ihsan Noorzali sebagai Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil. 01/2026.
Saya percaya, di sebalik setiap karya yang berjaya menembusi ruang penerbitan, ada seorang guru yang sabar mendorong dari belakang.
Apabila Dewan Sastera memilih Ihsan Noorzali sebagai karyawan pilihan bulan ini, saya tersenyum membaca berita itu—bukan kerana terkejut tetapi merasakan pengiktirafan itu sangat wajar dan selayaknya diberikan kepada beliau.
Ihsan Noorzali atau nama sebenarnya Dr. Ghazali Din ialah pensyarah saya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Bagi saya, Dr. Ghazali atau lebih mesra dikenali sebagai Dr. Ghaz bukan sahaja seorang karyawan sastera, tetapi seorang pendidik yang sabar membina keyakinan anak-anak didiknya untuk terus menulis dan percaya kepada suara sendiri. Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Januari 2026 telah banyak memberikan dorongan kepada saya, terutamanya dalam dunia penulisan kreatif.
Hubungan saya dengan dunia penulisan sebenarnya bermula lebih awal, iaitu ketika masih di tingkatan enam lagi. Penulisan saya yang bertemakan motivasi islamik sudah tersiar secara dalam talian saat itu. Namun begitu, waktu itu saya hanya tahu menulis tentang motivasi yang bertemakan hal islamik sahaja dan masih menulis dengan rasa ragu-ragu. Saya menulis kerana dorongan hati, bukan kerana benar-benar memahami ekosistem sastera dan penerbitan.
Segalanya mula berubah apabila saya melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kesusasteraan Melayu) dengan kepujian. Di situlah saya dipertemukan dengan kursus Penulisan Kreatif dan Deskriptif yang diajar oleh Dr. Ghaz pada semester empat, tahun kedua pengajian saya.
Melalui kuliah dan bimbingan beliau, saya mula melihat penulisan bukan sekadar luahan emosi, tetapi sebagai satu disiplin ilmu yang memerlukan kefahaman, ketekunan dan kesedaran tentang khalayak. Dr. Ghaz tidak pernah memaksa kami menulis mengikut acuannya, sebaliknya, beliau membuka ruang untuk kami mengenali kecenderungan sendiri sambil membimbing kami memahami piawaian penerbitan yang sebenar.

Antara perkara paling signifikan yang saya pelajari daripada beliau ialah pendedahan tentang bagaimana karya boleh diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sesuatu yang sebelum itu terasa sangat jauh bagi saya dan sukar digapai. Daripada itulah, saya mula menulis dengan lebih berani dan terarah.
Pada peringkat awal mengikuti kuliah Penulisan Kreatif dan Deskriptif bersama-sama Dr. Ghaz, kami pernah diberikan satu tugasan kursus yang menggalakkan pelajar menghantar karya ke media yang disertai dengan insentif markah bonus sekiranya karya tersebut berjaya disiarkan. Tugasan itu secara tidak langsung menyalakan satu keinginan besar dalam diri saya untuk melihat karya sendiri menembusi ruang penerbitan.
Sejak itu, setiap kali bertemu Dr. Ghaz, beliau sering mengajukan soalan yang sama, “Sudah ada karya yang tersiar?” Soalan ringkas itu berulang-ulang saya dengar, namun kesannya besar. Hal itu menjadi tekanan yang diam-diam membakar semangat.
Tatkala itu, saya benar-benar berada dalam fasa mengejar agar karya saya berjaya disiarkan. Alasan pertama adalah untuk memenuhi tuntutan tugasan dan mendapatkan markah bonus. Alasan kedua pula semestinya kerana perasaan cemburu apabila melihat ramai rakan seperjuangan meraikan karya mereka yang tersiar dalam majalah dan dada-dada akhbar.
Tuhan sahaja yang tahu betapa sukarnya perjalanan saya mengejar impian itu. Pelbagai platform telah saya cuba, namun usaha tersebut seakan belum menemukan hasil yang tuntas. Sehinggalah semester itu berakhir tanpa sebarang siaran karya saya.
Sewaktu cuti semester tersebut, saya memberanikan diri menulis dalam genre penulisan kreatif, khususnya puisi dan buat pertama kalinya, karya saya tembus dalam majalah bercetak Tunas Cipta edisi September 2024. Detik itu menjadi titik penting yang mengubah keyakinan saya terhadap kemampuan diri untuk terus menulis.
Alhamdulillah, hasil daripada dorongan, pendedahan dan keyakinan yang disemai itu, kini saya telah berada pada tahun akhir pengajian dan sudah mempunyai lima buah puisi yang terbit dalam majalah bercetak terbitan DBP, antaranya termasuk Tunas Cipta, Dewan Siswa dan Dewan Tamadun Islam, manakala ada juga puisi yang disiarkan dalam laman web WadahDBP. Dalam masa yang sama, penulisan berita saya pula telah mencecah angka puluhan yang tersiar di JendelaDBP.
Semua ini bukanlah untuk dibanggakan tetapi untuk disyukuri.
Saya percaya, di sebalik setiap karya yang berjaya menembusi ruang penerbitan, ada seorang guru yang sabar mendorong dari belakang. Guru itu tidak pernah menuntut nama, bahkan tidak juga mengharapkan pujian. Dr. Ghaz adalah antara insan tersebut. Dorongannya ringkas tetapi berbekas. Setiap kali saya bertemu dengan beliau di fakulti, pastinya beliau akan bertanya soalan kepada saya “Sudah berapa karya yang tersiar?” dan sentiasa menitipkan pesan “Nasuha, terus menulis.”
Sebagai seorang mahasiswi dan penulis yang masih bertatih, saya bersyukur dipertemukan dengan pendidik seperti Dr. Ghaz, seorang karyawan yang bukan sekadar berkebolehan menulis tetapi mempunyai jiwa untuk mendidik generasi muda agar berani hadir dengan suara mereka sendiri.
Pengiktirafan Dewan Sastera pada bulan ini, bagi saya, hanyalah satu daripada sekian banyak bukti bahawa sumbangan beliau bukan sahaja tercatat pada halaman majalah, tetapi turut hidup dalam perjalanan kreatif anak-anak didiknya.

_________________________
N. Nur Nasuha atau nama sebenarnya, Nik Nur Nasuha Nik Rosli berasal dari Pasir Puteh, Kelantan. Karyanya pernah tersiar dalam Tunas Cipta, Dewan Siswa dan Dewan Tamadun Islam.