Diterbitkan pada 9 Januari 2026, 10:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Klang – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin Abdul Rahman berkenan menyempurnakan perasmian Majlis Dirgahayu Puisi Tuanku di Ball Room, Hotel Wyndham Acmar Klang, malam tadi.

Majlis anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa, UiTM dengan kerjasama strategik Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) itu merupakan tanda penghormatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Tuanku Raja-raja Melayu yang merupakan payung kedaulatan negara.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin semasa menyampaikan sembah aluan.

Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin dalam sembah aluannya berkata, penganjuran majlis ini menzahirkan iltizam UiTM dalam memperkasakan kefahaman dan penghayatan terhadap Institusi Raja-raja Melayu melalui pendekatan berbudaya, berteraskan ilmu dan bersifat santun.

“Keberangkatan Tuanku ke majlis ini melambangkan kebersamaan baginda dengan dunia ilmu, warisan budaya dan kesenian bangsa yang menjadi teras peradaban Melayu,” ujarnya.

Dalam majlis yang sama, baginda turut berkenan merasmikan buku baharu terbitan UiTM dan PEMUISI berjudul Antologi Puisi Dirgahayu Tuanku yang memuatkan sebanyak 101 buah puisi nukilan 46 orang penulis.

Antara karya yang terkandung termasuklah “Tuanku Pencinta Ilmu” oleh YBhg. Sasterawan Negara (SN) Datuk Rahman Shaari; “Pertahankan Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu” oleh Presiden PEMUISI, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim dan “Salasilah Kita” oleh YBhg. SN Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Majlis yang berlangsung selama dua jam itu diserikan dengan persembahan nyanyian daripada penyanyi popular tanah air, Datuk Nash, deklamasi puisi dan dendangan syair oleh SN Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Tetamu kenamaan yang turut hadir termasuklah Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, YBhg. Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad;  Ahli Lembaga Pengarah UiTM, YBhg. Datuk Mustaffa Kamil Ayub; Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu UiTM, YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan; dan Presiden PEMUISI, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim.

 

 

Kredit Foto: Nur Shamiera Zahid
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi