Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid mengulas filem adaptasi baharu Guillermo del Toro, Frankenstein yang membawa nafas manusiawi baharu dalam salut seram gotiknya.
Penonton moden dibesarkan dengan imej raksasa yang pelbagai, sehingga sukar membezakan antara apa yang dicipta oleh Hollywood dengan apa yang sebenarnya ditulis oleh Shelley lebih dua abad dulu.
Sejak diterbitkan pada tahun 1818, Frankenstein karya Mary Shelley terus hidup sebagai salah satu mitos moden paling berpengaruh dalam fiksyen sains dan seram. Dalam imaginasi popular, makhluk Frankenstein sudah melalui ratusan interpretasi, daripada raksasa hijau Universal Studios kepada siri televisyen, animasi, muzikal, parodi komedi, dan adaptasi kontemporari yang memfokuskan psikologi watak. Penonton moden dibesarkan dengan imej raksasa yang pelbagai, sehingga sukar membezakan antara apa yang dicipta oleh Hollywood dengan apa yang sebenarnya ditulis oleh Shelley lebih dua abad dulu.
Namun begitu, kemunculan Frankenstein (2025) arahan Guillermo del Toro memperlihatkan satu kelahiran semula yang luar biasa, yakni bukan sahaja menghidupkan kembali kisah klasik ini, tetapi menghadirkan sebuah tragedi manusiawi yang sarat emosi, renungan moral dan kehalusan visual yang mampu lahir daripada tangan seorang auteur. Del Toro membawa karya Shelley kembali ke akar gotiknya, namun dalam bentuk yang segar, matang dan sangat relevan untuk zaman kini. Persoalan yang mengemudi seluruh pengalaman menonton filem adaptasi ini ialah: bagaimanakah del Toro menghidupkan semula kisah yang telah bernafas lebih daripada dua abad, namun masih terasa dekat dengan jiwa manusia moden?
Filem ini dimulakan dengan suasana dingin maut yang gerun di Kutub Utara, ketika sepasukan pengembara laut terserempak dengan seorang lelaki yang hampir kehilangan nyawa dalam ribut ais dan lelaki itu ialah VIctor Frankenstein. Pembukaan ini, yang kembali kepada struktur asal novel Shelley, segera meletakkan penonton dalam kerangka naratif bingkai (frame narrative), yang mana tragedi Victor diceritakan semula melalui ingatannya yang berserakan.
Melalui imbas kembali ini, penonton dibawa menelusuri perjalanan seorang saintis muda yang obses dengan persoalan kehidupan dan kematian. Obsesi itu membawanya ke makmal eksentrik, suatu keghairahan untuk mencipta kehidupan yang akhirnya menjerumuskannya kepada peristiwa yang meranapkan seluruh hidupnya. Makhluk ciptaannya yang membuka mata untuk pertama kali itu bukan menerima kemesraan seorang pencipta, tetapi tatapan ketakutan yang segara berubah menjadi penolakan. Dari sini, tragedi bermula, iaitu bukan kerana kewujudan raksasa, tetapi kerana kegagalan manusia untuk bertanggungjawab terhadap kehidupan yang diciptakannya.
Walaupun filem ini mempunyai unsur seram, Frankenstein (2025) jauh daripada formula seram konvensional. Tidak ada kejar-mengejar berlebihan atau adegan kejutan murahan. Sebaliknya, filem ini bergerak sebagai drama gotik yang memfokuskan ketegangan batin dua jiwa yang terpisah, iaitu pencipta dan ciptaan. Makhluk itu, terlahir dalam dunia yang tidak memahaminya, mencari makna hidup, mencari bahasa dan merindui kehadiran seseorang yang boleh melihatnya sebagai lebih daripada sekadar eksperimen yang gagal. Victor pula hidup dalam bayang dosa dan trauma, dihantui pilihan yang tidak boleh ditarik balik. Dari makmal gelap hingga dataran ais kutub, perjalanan mereka bukan sekadar fizikal, tetapi perjalanan batin yang memperlihatkan sejauh mana manusia mampu mencederakan apa yang diciptakannya.
Sebagai sebuah adaptasi, filem ini berdiri antara dua dunia, yakni kesetiaan terhadap teks Shelley dengan keberanian untuk memberikannya jiwa baharu. Del Toro mengekalkan elemen-elemen penting novel, termasuk struktur naratif bingkai dan tema seperti kesunyian, rasa ditinggalkan dan persoalan etika penciptaan. Lebih penting lagi, del Toro mengekalkan sifat falsafah makhluk ciptaan Shelley yang digambarkan bukan sebagai raksasa bodoh, tetapi sebagai entiti berfikir, beremosi dan berfalsafah. Namun, del Toro tidak berhenti pada kesetiaan semata-mata. Beliau meneroka trauma psikologi Victor dengan lebih mendalam, menjadikan saintis itu bukan sekadar antagonis, tetapi seorang genius yang dihancurkan oleh obsesinya sendiri. Reka bentuk makhluk oleh Jacob Elordi pula membawa satu lapisan baharu, iaitu rupa bentuk yang tidak menghilangkan keterasingannya, tetapi cukup manusiawi untuk menonjolkan luka batin yang menghantui setiap geraknya.
Dalam tradisi visual del Toro, filem ini dibentuk oleh estetik barok (baroque) gelap yang begitu tersendiri. Set praktikal, pencahayaan kelam, tekstur gotik dan makmal yang kelihatan seperti gabungan sains dan alkimia abad ke-18 menghasilkan suasana yang bukan sekadar cantik, tetapi penuh jiwa. Malah, Del Toro memilih penggunaan kesan praktikal berbanding CGI untuk menjadikan dunia ini lebih organik. Prostetik wajah makhluk, termasuk kesan air mata, parut dan kedutan kulit, memberikan kesan realistik yang memaksa penonton melihat watak itu bukan sekadar raksasa, tetapi sebagai makhluk hidup yang benar-benar wujud.
Warna pula digunakan sebagai simbolisme, yakni kebiruan ais Kutub Utara menggambarkan kematian dan penyesalan, keemasan remang makmal melambangkan keghairahan obsesif, manakala merak gelap muncul sebagai warna trauma yang mengikat kedua-dua watak.
Sebagai sebuah adaptasi, filem ini berdiri antara dua dunia, yakni kesetiaan terhadap teks Shelley dengan keberanian untuk memberikannya jiwa baharu.
Menerusi ruang lakonan, Jacob Elordi dan Oscar Isaac memberikan persembahan yang menjadi tulang belakang filem ini. Elordi mempersembahkan makhluk Frankenstein sebagai “manusia yang dilahirkan dewasa dengan jiwa kosong”, yakni interpretasi yang terpuji kerana penampilan ini antara citra yang paling emosional dalam sejarah adaptasi watak itu. Setiap pergerakan, tatapan dan intonasi suaranya menzahirkan kesakitan makhluk yang tidak pernah meminta untuk wujud, tetapi dipaksa bertahan dalam dunia yang menolaknya tanpa belas. Isaac pula membawa kedalaman baharu kepada Victor Frankenstein, menggambarkan seorang lelaki yang berada di ambang kehebatan dan kehancuran, genius yang dihantui oleh rasa bersalah, tetapi tidak mampu melepaskan ego yang memusnahkannya. Dinamik antara kedua-dua pelakon ini menjadi nadi emosional filem apabila setiap pertemuan mereka terasa seperti pertembungan dua jiwa yang terikat oleh takdir yang tragik.

Di sebalik visual indah lakonan cemerlang, Frankenstein (2025) juga kaya dengan tema-tema besar yang mencerminkan keperitan manusia. Kesepian menjadi benang yang mengikat naratif, iaitu kesepian makhluk yang dilahirkan tanpa kasih dan kesepian Victor yang terperangkap dalam penyesalan. Keinginan makhluk untuk menjadi manusia pula mengangkat persoalan identiti dan kemanusiaan dalam bentuk yang lebih mendalam daripada adaptasi terdahulu. Trauma penciptaan juga, baik trauma makhluk mahupun trauma pencipta, menjadi inti tragik yang membuatkan filem ini menjadi renungan moral yang berat. Akhir sekali, kegagalan empati manusia, baik Victor mahupun masyarakat, memperlihatkan bahawa tragedi tidak lahir daripada kehadiran raksasa, tetapi daripada ketidakupayaan manusia untuk melihat hal yang lain sebagai sebahagian daripada dirinya.
Namun, seperti karya besar lain, filem ini tidak bebas daripada beberapa kelemahan. Tempo perlahan boleh dikatakan kurang sesuai untuk penonton arus perdana dan beberapa tema klasik seperti penciptaan tanpa tanggungjawab sudah banyak kali ditampilkan. Malah, keputusan Netflix untuk memotong babak tertentu, mengurangkan skala epik asal del Toro, terutama babak-babak yang memerlukan ruang pernafasan naratif yang lebih panjang. Walau bagaimanapun, kekuatan adaptasi ini jauh mengatasi kelemahannya. Del Toro berjaya mengimbangi kesetiaan pada novel Shelley dengan inovasi, menghasilkan karya bukan sahaja indah ditonton, tetapi bermakna untuk direnungkan.
Menerusi konteks dunia filem hari ini, keberanian menghasilkan adaptasi sastera yang “berat” seperti ini sangat signifikan. Del Toro mengembalikan tradisi “monster elegiac”, iaitu raksasa sebagai cermin jiwa manusia, bukan sebagai objek ketakutan semata-mata. Frankenstein (2025) berdiri sebagai bukti bahawa sinema masih mampu menjadi medium yang merayakan estetik dan intelektual, bukan sekadar hiburan kosong. Filem ini mengajar penonton berfikir, merasai dan merenung kembali persoalan moral yang tidak pernah pudar kerelavannya, iaitu apakah makna menjadi manusia dan apakah tanggungjawab kita terhadap apa yang kita cipta?
Sebagai penutup, Frankenstein (2025) bukan adaptasi biasa. Filem ini merupakan sebuah interpretasi semula yang puitis, yang menuntut penonton bukan sekadar melihat, tetapi menyelami jiwa watak-wataknya. Guillermo del Toro mengembalikan maruah dan kedalaman karya Mary Shelley, menjadikan tragedi dua abad lalu ini terasa segar dan menyentuh. Apabila tirai filem ini berlabuh, satu renungan terus bergema dalam jiwa penonton; Pada akhirnya, raksasa itu bukanlah ciptaan Victor, tetapi refleksi paling jujur tentang kita, iaitu manusia yang takut akan kesunyian hidup.
Filem Frankenstein boleh ditonton di Netflix. Beli novel terjemahannya di sini.
_________________________
Mohamed Nazreen Shahul Hamid (Dr.) ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia. Beliau tertumpu pada bidang kesusasteraan, budaya dan media. Kebanyakan kajiannya meliputi pengajian media dan sastera, filem dan sastera, gender dalam sastera, dan kesusasteraan bandingan. Beliau boleh dihubungi melalui e-mel [email protected].