Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-55 dengan penegasan bahawa dunia sastera dan budaya perlu terus relevan serta berdaya tahan dalam menghadapi perubahan pesat teknologi, tanpa mengorbankan nilai-nilai klasik yang menjadi jiwa bangsa.
Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dalam ucapan perasmian majlis tersebut berkata perubahan teknologi bukanlah ancaman kepada sastera, sebaliknya membuka ruang baharu kepada sasterawan, budayawan dan karyawan kreatif untuk menyesuaikan bentuk persembahan serta penyampaian karya.

“Dahulu, hasil sastera banyak terbit di akhbar, majalah dan bahan bercetak. Kini, teknologi telah mengubah landskap tersebut kepada platform digital, media dalam talian dan peranti pintar yang membolehkan karya diakses, ditonton dan dibaca semula pada bila-bila masa,” katanya sebelum merasmikan pelancaran dua buah buku terbitan GAPENA, iaitu GAPENA, Dunia Melayu dan Globalisme serta Syarahan Perdana Tan Sri Ismail Hussein Siri Ke-4: GAPENA-Penyatu Gerakan Persatuan Penulis di Malaysia.
Menurut beliau, peralihan daripada media konvensional kepada media digital berlaku seiring perubahan corak khalayak, yang bukan sahaja melibatkan faktor kos penerbitan, malah perubahan cita rasa dan tabiat pembacaan masyarakat. Oleh itu, media dalam talian kini tidak lagi bersifat pelengkap, sebaliknya menjadi arus perdana dalam penyebaran maklumat dan karya kreatif.
Namun demikian, beliau menegaskan bahawa perubahan bentuk dan medium tidak seharusnya menghakis nilai teras kesusasteraan.
“Nilai-nilai klasik, nilai kesusasteraan dan akal budi bangsa mesti terus dipertahankan dan diberikan kesinambungan kepada generasi akan datang, walaupun landskap pendidikan dan pekerjaan semakin cenderung kepada bidang teknikal dan kejuruteraan,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh unjuran bahawa sebahagian besar pelajar pada masa hadapan akan berada dalam ekosistem pendidikan teknikal, namun hal itu tidak bermakna sastera dan budaya akan terpinggir.
“Nilai budaya dan sastera tidak boleh dianggap remeh hanya kerana ia tergolong dalam bidang bukan teknikal. Sebaliknya, nilai-nilai ini perlu disepadukan secara kreatif agar tetap subur dalam jiwa generasi muda, termasuk mereka yang berada dalam bidang teknikal,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama erat antara umarak, budayawan dan sasterawan bagi memastikan kelangsungan peranan sastera sebagai wahana pembinaan jati diri, pemikiran kritis dan maruah bangsa.
Pada majlis yang sama, GAPENA turut mengumumkan penganjuran Sayembara Penulisan 55 Tahun GAPENA yang bertujuan menyemarakkan minat serta tumpuan karyawan untuk melahirkan karya kreatif berkualiti dalam membentuk masyarakat bertamadun.
Sayembara tersebut terbuka kepada semua rakyat Malaysia dengan tema “Maruah dan Kedaulatan Bangsa.”
Bagi kategori Puisi dan Cerpen, hadiah yang ditawarkan ialah:
Bagi kategori Novel, hadiah yang ditawarkan ialah:
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Ahli Dewan Negara, YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan serta Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai.