Diterbitkan pada 16 Disember 2025, 05:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kalau waktu pulang itu sampai,
detik akan melepaskanku pergi

tak sempat pada tunggu lambai,
mendengar bisikmu, atau puisi

yang terakhir kudengar
mungkin, berai hujan di luar

entah apa lewat kaca jendela
tercatat huruf, noktah basahnya

barangkali sebaris pamitan,
seribu ingatan dipadatkan

sebelum hilang mengalir
sebagai hidup, ada hujung akhir

aku telah menulis
serba tegun pegun, taakul puisi

romantik, melankolia, tragis
impian, luluh-lantak, dan mimpi

titik henti, kilas kias, sinar dan samar
kata dinamik, porselin dan kandeliar

manusia, alam, dunia seberang
gelap dan cerah, ceghaca

cahaya, api, dan bayang
tamadun, perang, dan cinta

dari serbagala, celah-relah itu
manusia hidup dengan debu, abu

yang selama-lama indah,
hanya mawar merah

………..Rosli K. Matari
…………..Kubang Kerian
…………..15 Dis 25

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi