Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Majlis Baca Puisi Bulanan 19.0 anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sekali lagi menyerlahkan keindahan seni kata sebagai denyut nadi bangsa.
Diadakan di Dewan Datuk Abdul Rahim Bakar, Menara DBP, majlis ini mengumpulkan para penyair dan pencinta kesusasteraan untuk merayakan bahasa sebagai warisan roh bangsa.
“Majlis Baca Puisi ini bukan sekadar menghimpunkan penyair, malah menjadi ruang bagi denyut nurani bangsa untuk bergema.
“Estetika bahasa meniti kembali takhta, dan jati diri bangsa diukir melalui kehalusan seni yang luhur,” ujar Seniwati Negara, YBhg. Datuk Hajah Rosnani Jamil dalam ucapan perasmiannya, semalam.
Jelas beliau, puisi ialah nadi halus yang menyampaikan apa-apa yang tidak mampu diungkapkan dengan kata biasa; puisi juga jambatan yang menghubungkan manusia dengan budaya dan peradaban.
“Puisi merupakan roh bangsa dan warisan yang diperturunkan dari zaman ke zaman,” ujarnya lagi.
YBhg. Datuk Rosnani juga menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada para penyair, editor dan seluruh pejuang bahasa yang menjayakan Antologi Puisi Sahabat atas komitmen dan bakti yang telah dicurahkan.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara, YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan menyanjung YBhg. Datuk Rosnani atau nama samarannya, Mak Ani, sebagai tokoh kebudayaan yang wajar diangkat dan dihargai menerusi sumbangan beliau dalam industri perfileman tanah air.
“Majlis memberikan penghormatan kepada Datuk Rosnani atas sumbangan besarnya kepada seni dan budaya tanah air.
“Beliau diiktiraf sebagai tokoh yang tiada pengganti; jasa dan pengaruhnya terus menjadi teladan serta inspirasi kepada generasi seni baharu,” ujar beliau.

Pada masa yang sama, majlis menyaksikan pelancaran Antologi Puisi Sahabat yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Rosnani, sekali gus menandai satu lagi detik penting dalam dunia persajakan tempatan.
Selain pelancaran, pelbagai acara lain turut dilaksanakan, antaranya termasuklah sesi wawancara bersama-sama YBhg. Datuk Rosnani, ulasan buku, pembacaan puisi, nyanyian lagu puisi dan tarian tradisional.
