Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetia Alam – Masa depan literasi kanak-kanak, peranan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) serta usaha antarabangsa memelihara kreativiti tulen dalam penerbitan dan ilustrasi menjadi tema utama dalam Forum Antarabangsa Selangor yang berlangsung di pentas utama semalam.
Forum yang berlangsung sebagai sebahagian daripada acara dalam Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 itu menghimpunkan tiga tokoh terkemuka dunia dalam bidang buku kanak-kanak, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Nami Island Arts and Education Incorporated merangkap Ahli Lembaga Amanah International Board on Books for Young People (IBBY), Fred Minn; Ahli Lembaga Eksekutif IBBY Global dari China, Zhang Ming Zhao dan Pengarah Eksekutif House of Wisdom Sharjah merangkap Presiden UAE-BBY, Marwa Al-Aqroubi. Sesi ini dipengerusikan oleh Pengerusi Malaysia Board on Books for Young People (MBBY), Dato’ Ahmad Reza Ahmad Khairuddin.
Forum yang bertajuk “Buku sebagai Kandungan untuk Kanak-kanak Masa Hadapan dan Jalinan Global” dimulakan dengan perbincangan mengenai kedudukan buku kanak-kanak di tengah perubahan landskap global yang semakin dipacu teknologi.
Marwa menegaskan bahawa tujuan utama buku kanak-kanak tidak pernah berubah walaupun medium dan bentuk penyampaian berkembang. Beliau menyatakan bahawa penceritaan merupakan asas penting dalam membentuk emosi, identiti dan imaginasi kanak-kanak.
Menurutnya, teknologi harus berperanan sebagai alat sokongan, bukan pengganti kepada hubungan manusia dan pengalaman membaca yang autentik. Beliau turut menekankan bahawa walaupun pelbagai inovasi digital wujud, nilai budaya serta suara kreatif manusia perlu kekal menjadi teras kepada bahan bacaan.
Zhang pula memberikan fokus kepada isu pemantauan kualiti kandungan dalam era AI. Beliau menyatakan bahawa perkembangan teknologi menjadikan penghasilan bahan bacaan jauh lebih mudah, namun membuka risiko dari segi ketepatan fakta dan kesesuaian kandungan untuk kanak-kanak.
Menurutnya, penilaian manusia tetap penting kerana AI tidak mempunyai kapasiti menilai konteks budaya, sensitiviti emosi dan keaslian karya. Beliau menambah bahawa industri penerbitan di China kini memperkenalkan protokol baharu untuk menapis kandungan yang dijana teknologi agar selaras dengan piawaian literasi kanak-kanak.
Sementara itu, Fred berkongsi pengalaman Nami Island dalam membangunkan ekosistem literasi melalui program antarabangsa seperti Nami Concours, sebuah pertandingan ilustrasi terkemuka dunia. Menurutnya, pertandingan itu menerima penyertaan daripada puluhan negara dan menjadi platform penting menonjolkan bakat ilustrator global dalam kesusasteraan kanak-kanak.
Fred menegaskan bahawa penyertaan ilustrasi yang dijana sepenuhnya oleh AI ditolak bagi memastikan integriti kreativiti manusia terpelihara. Keputusan tersebut, katanya, selaras dengan misi Nami Concours untuk meraikan gaya seni unik, proses manual dan ekspresi visual tulen yang menyampaikan emosi sebenar dalam buku kanak-kanak.
Beliau turut menerangkan bahawa walaupun teknologi AI semakin canggih dan mampu menghasilkan imej realistik, teknologi sebegini masih tidak dapat menandingi keperibadian individu dan imaginasi yang dizahirkan melalui karya tangan ilustrator sebenar. Fred menekankan bahawa industri perlu mengekalkan ruang yang melindungi artis daripada kehilangan identiti kreatif dalam dunia yang semakin dipenuhi kandungan automatik.
Dalam sesi kedua, Marwa berkongsi tentang kejayaan House of Wisdom, sebuah pusat ilmu moden di Sharjah yang berperanan sebagai hab pembelajaran, seni dan inovasi. Beliau menerangkan bahawa institusi itu menggabungkan persekitaran fizikal dan digital bagi menarik minat generasi muda kepada dunia bacaan.
Antara program tumpuan termasuklah kegiatan pendedahan budaya, siri buku bergambar tanpa perkataan (wordless books) serta terapi berasaskan buku (biblioterapi) untuk kanak-kanak yang menghadapi trauma, tekanan emosi atau pengalaman ngeri kesan daripada peperangan. Menurutnya, buku bergambar tanpa perkataan menjadi medium universal yang membolehkan kanak-kanak daripada pelbagai latar bahasa membina interpretasi dan penceritaan sendiri, sekali gus mengembangkan kreativiti.
Zhang pula membentangkan data mengenai trend penerbitan kanak-kanak di China, termasuk peningkatan permintaan terhadap kandungan berunsur multikulturalisme serta bahan bacaan yang memupuk empati dan tanggungjawab sosial.
Beliau menekankan bahawa meskipun AI digunakan secara terhad dalam sektor penerbitan, penggunaan AI masih memerlukan garis panduan ketat untuk mengelakkan pencabulan hak cipta dan penurunan standard kreativiti. Zhang turut mengulas bahawa IBBY Global kini sedang menilai pendekatan seragam untuk menangani isu kandungan yang dihasilkan oleh teknologi bagi mengelakkan ketidaksaksamaan dalam pertandingan dan penilaian antarabangsa.
Fred dalam sesi seterusnya turut menggariskan kepentingan festival dan program literasi yang menghubungkan pembaca cilik dengan pengarang serta ilustrator.
Beliau menyatakan bahawa pengalaman bertemu pencipta buku memberikan impak besar dalam memupuk minat membaca dan memahami proses kreatif. Nami Island, menurutnya, tidak hanya berfungsi sebagai destinasi pelancongan, tetapi juga pusat perkembangan literasi dan seni melalui pelbagai festival bertema, residensi seni serta pameran buku antarabangsa.
Forum ini kemudian bergerak kepada topik kontroversi industri, iaitu penggunaan AI dalam penulisan dan ilustrasi.
Zhang menjelaskan bahawa industri kini berdepan dilema antara memanfaatkan teknologi bagi tujuan meningkatkan kecekapan dan produktiviti, dalam masa yang sama, mengekalkan kreativiti karyawan. Beliau menambah bahawa walaupun AI mampu mempercepat proses, AI tidak mempunyai keupayaan memahami nilai moral, budaya dan emosi manusia yang menjadi asas buku kanak-kanak.
Fred turut menyuarakan kebimbangan mengenai AI yang semakin mengambil alih aspek kreatif. Menurutnya, garis panduan jelas perlu diwujudkan untuk memastikan pertandingan dan penerbitan antarabangsa kekal adil, mengelakkan plagiat serta melindungi hak artis. Beliau menyatakan bahawa pendekatan yang tidak berhati-hati boleh menyebabkan industri menjadi tidak stabil dan menjejaskan masa depan kreator muda.
Marwa pula mengingatkan bahawa masyarakat tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada teknologi dalam mendidik generasi kanak-kanak. Beliau menekankan bahawa buku bercetak tetap memainkan peranan besar dalam pembentukan hubungan antara pembaca dan pencerita, kerana pengalaman taktil dan visual dalam buku fizikal sukar ditiru oleh platform digital.
Katanya, walaupun penggunaan alat digital semakin berkembang, buku menyediakan “ruang perlahan” (slow space) yang membolehkan kanak-kanak meneroka dunia imaginasi tanpa gangguan.
Pada sesi penutup, ketiga-tiga panel bersetuju bahawa masa depan literasi kanak-kanak memerlukan keseimbangan antara inovasi dan tradisi. Mereka menegaskan bahawa teknologi tidak boleh menggantikan sentuhan manusia dalam penceritaan, ilustrasi dan pendidikan emosi.