Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penulis dan penyair antarabangsa, Lang Leav menemui para pembaca dalam sesi temu mesra yang berlangsung di Kinokuniya Bookstore di Suria KLCC, Kuala Lumpur semalam bersempena dengan pelancaran koleksi puisinya yang terbaharu, Soon It Will Be Sunday.
Sesi tersebut membicarakan tema utama buku tersebut yang mengupas tentang makna menjalani kehidupan dengan penuh tujuan sebagai seorang wanita.
Leav menyentuh tentang tekanan sosial dan stereotaip yang sering dihadapi oleh wanita terutamanya tentang pencapaian hidup yang diukur melalui usia.
Beliau menegaskan bahawa hidup tidak perlu ditetapkan mengikut garis masa sesiapa atau jangkaan tertentu daripada masyarakat.
“Hidup kita tidak ditentukan oleh orang lain tetapi kitalah yang menulis cerita sendiri,” ujar beliau.
Sesi santai selama hampir satu jam itu turut menyentuh tentang inspirasi, perjalanan emosi dan proses kreatif beliau ketika menghasilkan karya tersebut.
Leav berkata bahawa naskhah baharu itu terhasil daripada pengalaman peribadinya yang menghadapi kehilangan anjing peliharaannya yang telah bersama-samanya selama 12 tahun.
“Whiskey bukan sekadar haiwan peliharaan; teman kecil itu menjadi tempat saya berpaut sejak kecil, ibarat satu pemalar dalam hidup saya. Maka, kehilangannya meninggalkan satu kekosongan besar dalam jiwa saya.”
Beliau menjelaskan bahawa tempoh berduka itu membawanya ke satu ruang peralihan (in-between period) yang penuh renungan, sekali gus membentuk asas kepada tema utama buku tersebut.
“Pelbagai rasa memenuhi diri saya pada tempoh itu, seakan-akan saya sedang menantikan suatu pengakhiran atau ketetapan. Saya berasa seolah-olah satu era besar dalam hidup saya telah pun berakhir,” katanya merujuk fasa emosi yang dirakam dalam puisi terbaharu beliau.
Dalam sesi soal jawab tentang proses penulisan, Leav menekankan kepentingan mengamati kehidupan seharian dan menghimpun pengalaman kecil yang mungkin kelihatan remeh.
Menurutnya, pengalaman itu akan menjadi sumber ilham yang memperkayakan penulisan apabila diselami dengan teliti.
“Catat setiap detik kecil ini kerana detik sebegini sering berkembang menjadi gagasan besar dalam karya kreatif,” katanya ketika ditanya tentang pesanan kepada penulis muda.
Beliau mengakhiri perkongsian dengan harapan agar para pembaca, khususnya mereka yang membesar bersama-sama tulisannya dapat menyedari bahawa kebahagiaan diri bergantung pada diri sendiri.
“Semangat dan senyuman anda yang hadir di hadapan saya pada saat ini ibarat cahaya buat saya. Percayalah bahawa andalah cahaya kepada kebahagiaan anda sendiri.”
Sebagai rekod, Leav dilahirkan di sebuah kem pelarian ketika keluarganya melarikan diri daripada rejim Khmer Rouge yang kemudiannya berhijrah ke Sydney, Australia.
Antara pencapaian beliau termasuklah memenangi Qantas Spirit of Youth Award, Churchill Fellowship dan Goodreads Reader’s Choice Award.

Leav mula dikenali melalui puisinya di Tumblr sekitar tahun 2012 sebelum karya pertamanya, Love & Misadventure diterbitkan dan seterusnya menjadi fenomena global kepada golongan remaja.
Sejak itu, beliau banyak menghasilkan pelbagai koleksi puisi dan beberapa novel fiksyen, dan kini menjadi antara suara sastera moden yang paling berpengaruh dalam genre puisi popular.