Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRidzuan Albani memberikan reaksi terhadap kelesuan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di sekolah-sekolah.
Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu kini kurang mendapat sambutan daripada generasi muda dengan anggapan bahawa bidang sastera adalah tidak relevan dalam era modenisasi ini.
Kesusasteraan Melayu merupakan suatu aliran bidang penghasilan seni karya yang mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Menurut Jasmeen Nurul Iman Johan (2024), perkataan kesusasteraan memberi takrif yang khusus, iaitu daripada perkataan ‘su’ yang bermaksud keindahan, baik dan cantik. Hal ini bermaksud, Kesusasteraan Melayu merupakan bidang seni kreatif yang dapat melahirkan pemikiran kritis dan imaginatif kerana penghasilan karya sastera ini mempunyai unsur kreatif serta nilai estetika yang tinggi (Muhammad Aniq Azlan dan Muhammad Syuhaidi Abu Bakar, 2019). Sebagai tamsilnya, bidang sastera menggunakan adunan teknik dan elemen-elemen keindahan dalam setiap penggunaan diksi agar lebih tersusun dan mempunyai nilai estetika yang tinggi. Jelaslah bahawa kesusasteraan Melayu merupakan bidang bahasa yang dapat mencungkil pelbagai bakat generasi muda dalam penghasilan karya sastera pada arus moden hari ini.
Pada peringkat permulaan, penerapan Kesusasteraan Melayu sebagai satu mata pelajaran dalam sistem pendidikan di Malaysia sudah bermula seawal abad ke-20 lagi melalui sistem pendidikan moden yang diperkenalkan oleh penjajah Inggeris ketika itu.
Namun begitu, penyelidikan dalam bidang sastera ini sebenarnya sudah bermula seawal abad ke-19 dan perkembangannya kian rancak dengan penubuhan Sultan Idris Training College (SITC) pada 29 November 1922 yang terletak di Tanjong Malim, Perak serta menjadi universiti pertama orang-orang Melayu ketika itu.
Perkembangan bidang sastera di SITC telah melahirkan banyak tenaga pengajar untuk berkhidmat dalam bidang pendidikan kepada negara. Seiringan dengan itu, pelajaran Kesusasteraan Melayu selepas kemerdekaan telah diiktiraf sebagai satu mata pelajaran dalam sistem pendidikan di Tanah Melayu pada tahun 1956 melalui satu laporan berkaitan penambahbaikan sistem pendidikan, iaitu melalui Laporan Razak (Abdul Halim Ali, 2024). Dalam fasa perkembangan seterusnya, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu semakin meluas dari satu tempoh ke satu tempoh tertentu, sejajar dengan pengiktirafannya dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Meskipun begitu, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu kini kurang mendapat sambutan daripada generasi muda dengan anggapan bahawa bidang sastera adalah tidak relevan dalam era modenisasi ini. Hal ini berikutan dengan penetapan taraf mata pelajaran Kesusasteraan Melayu hanyalah sebagai mata pelajaran elektif. Misalnya, penawaran mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia semakin berkurangan berbanding Sabah dan Sarawak yang masih banyak menawarkan mata pelajaran tersebut. Penawaran mata pelajaran Kesusasteraan Melayu yang semakin berkurangan ini berpunca daripada sikap tidak suka membaca dan persepsi pelajar yang salah, yang menganggap sastera tidak mempunyai nilai komersial (Siti Aminah Mohd Yusof, 2023). Tegasnya, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu perlu diperluas bagi mendorong potensi generasi muda dalam bidang ini.
Beralih pada pemerkasaan Kesusasteraan Melayu, bidang ini memerlukan sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperluas penawaran Kesusasteraan Melayu dalam sistem pendidikan di peringkat sekolah dan universiti.
Menurut Siti Aminah Mohd Yusof dalam beritanya, “Kurang Guru, Tak Suka Membaca Punca Kelas Sastera Tutup”, statistik calon berdaftar bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ialah seramai 13,044 calon pada tahun 2022, 14,045 calon pada tahun 2021, 14,972 calon pada tahun 2020, 15,867 calon pada tahun 2019, dan 16,394 calon pada tahun 2018. Berdasarkan statistik tersebut, jumlah calon berdaftar untuk mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dalam SPM semakin berkurangan.
Hal ini memerlukan inisiatif KPM untuk memperkasakan Kesusasteraan Melayu agar lebih relevan serta diminati oleh generasi muda. Sebagai contoh, KPM hendaklah memperkenalkan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu seawal peringkat sekolah rendah bagi memberikan pendedahan kepada pelajar berkaitan karya-karya bersifat sastera (Azura Mohd. Halid, 2023).
Pada peringkat pendidikan tinggi pula, KPT boleh meningkatkan program pertukaran pelajar dalam bidang sastera di peringkat antarabangsa bagi memperkaya pemahaman budaya dan perspektif sastera.
Berdasarkan pandangan Ros Anita Kartini Mohamed dan Abdul Halim Ali dalam jurnalnya yang bertajuk “Implikasi Elemen Sastera Melayu terhadap Perkembangan Kognitif Murid dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah di Sekolah Rendah” menyatakan bahawa generasi muda seawal peringkat rendah perlu diterapkan untuk menceburi bidang sastera bagi menerajui dan merealisasikan potensi pelajar untuk dikembangkan dengan lebih mendalam di peringkat yang lebih tinggi serta melahirkan sasterawan muda negara.
Selain itu, pemerkasaan Kesusasteraan Melayu ini dapat direalisasikan dengan inisiatif pendigitalan sastera dalam industri kreatif selaras dengan arus pemodenan negara. Pendigitalan sastera ini juga dikenali sebagai sastera siber yang menjadikan internet sebagai platform untuk mengembangkan sastera Melayu.
Lawren Gara dalam artikelnya yang bertajuk “Keperluan Sastera terhadap Teknologi Digital Kian Merapat” menyatakan bahawa karya-karya sastera kini boleh dipersembahkan dengan pelbagai kaedah penyiaran seperti audio (podcast), video, animasi, dan filem supaya lebih menarik perhatian khalayak pada sastera. Sehubungan dengan itu, kaedah pendigitalan sastera ini akan membuka minda generasi muda untuk merealisasikan potensi diri dalam industri kreatif.
Sebagai tamsilnya, inisiatif ini dapat disokong oleh pelaksanaan pertandingan penulisan seni kreatif berkaitan sastera seperti pantun dan sajak secara digital. Dalam masa yang sama, pendigitalan sastera bersifat global yang memberikan akses meluas kepada masyarakat dan generasi muda untuk mengetahui sastera tanpa batasan.
Pada hari ini, sumbangan terbesar yang dapat dilihat melalui pendigitalan sastera ialah pengadaptasian elemen sastera kepada filem yang diterbitkan melalui media penyiaran seperti televisyen. Secara ringkasnya, pemerkasaan sastera melalui pendigitalan ini memberi ruang kepada generasi muda dalam usaha menggalakkan pemikiran kreatif, menyerlahkan nilai estetika dalam karya sastera serta mempamerkan potensi diri melalui platform siber.
Di samping itu, pemerkasaan Kesusasteraan Melayu ini juga dapat dilakukan dengan penganjuran festival sastera yang terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat. Hal ini bertujuan bagi mendedahkan aspek sastera kepada masyarakat, terutamanya kepada generasi muda.
Menurut Amira Syazwani Baderol Sham dalam laporan beritanya yang bertajuk “PPAK Hadir dengan Festival Sastera dan Seni Kanak-kanak Kedah 2024”, penganjuran festival sastera untuk masyarakat dianggap sebagai pelantar penting bagi mencungkil bakat serta menarik minat generasi muda akan bidang seni dan sastera tanah air. Sehubungan dengan itu, penganjuran festival sastera ini juga merupakan langkah signifikan yang dapat menyemai minat membaca, melukis dan berkarya bagi membentuk generasi muda yang kreatif, berilmu dan berwawasan. Sebagai contoh, pelbagai program boleh dilaksanakan dalam festival sastera tersebut seperti pertandingan meliputi prosa dan puisi, persembahan, kursus penulisan kreatif, serta promosi jualan karya-karya sastera. Implikasinya, penganjuran festival sastera ini mampu meneraju potensi-potensi generasi muda untuk dikembangkan dengan harapan melahirkan Sasterawan Negara. Dengan itu, pemerkasaan melalui penganjuran festival sastera kepada masyarakat merupakan langkah yang bijak dalam usaha menyeru generasi muda untuk menceburi bidang seni dan sastera tanah air.
Sememangnya, Kesusasteraan Melayu merupakan bidang seni kreatif yang menggabungkan unsur bahasa, budaya dan estetika dalam penghasilan karya prosa dan puisi. Bidang ini dikatakan penting bagi melahirkan pemikiran kritis dan imaginatif dalam kalangan generasi muda yang perlu diperkasakan.
Perkembangan bidang sastera yang bermula dengan penubuhan SITC ini berjaya memperkenalkan dan mendedahkan sastera kepada masyarakat. Sejajar dengan itu, pengiktirafan Kesusasteraan Melayu dalam sistem pendidikan di Malaysia menjadi tunjang penyebaran ilmu sastera kepada generasi muda walaupun mata pelajaran ini semakin kurang mendapat sambutan pelajar.
Dengan itu, terdapat pelbagai inisiatif yang dapat memperkasakan lagi Kesusasteraan Melayu ini, seperti sokongan teguh daripada KPM dan KPT, pendigitalan sastera dalam ruang siber serta anjuran festival sastera yang terbuka kepada masyarakat. Pendek kata, Kesusasteraan Melayu perlu diberi perhatian dan inisiatif yang tinggi dalam memperkasakannya, khususnya untuk meneraju potensi generasi muda terus berkembang dalam bidang ini.
_________________________
Ridzuan Albani merupakan anak jati Sabah. Beliau siswa Universiti Pendidikan Sultan Idris.