Diterbitkan pada 11 November 2025, 16:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Butterworth Tiga karya eceran terbitan majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diumumkan sebagai pemenang dalam Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang (ASNPP) 2025.

Karya-karya tersebut ialah cerpen “Damaged Dream” oleh Azrin Fauzi dan esei “Puisi sebagai Cermin Pantulan Ingin” oleh Za’im Yusoff yang masing-masing diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera, serta esei “Pengaplikasian Teori Kontingensi Yang Tidak Wujud dalam Naratif Ogonshoto” karya Nurafrina Abdul Aziz yang disiarkan dalam majalah Dewan Masyarakat.

Ketiga-tiga karya tersebut dinobatkan sebagai pemenang Kategori B: Karya Eceran dalam ASNPP 2025, anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang yang diadakan di Crowne Plaza Penang Straits City malam Ahad lepas.

Majlis penganugerahan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, TYT Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib, dengan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YBhg. Dato’ Seri Haji Zulkifli Long dan Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Majlis yang meraikan keunggulan dan ketekunan para penulis itu menyaksikan tiga tokoh utama dunia sastera negeri menerima pengiktirafan tertinggi melalui Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang 2025, iaitu Anugerah Sasterawan Negeri Pulau Pinang, Anugerah Persuratan Negeri Pulau Pinang dan Anugerah Penulis Harapan Negeri Pulau Pinang.

Penerima Anugerah Sasterawan Negeri Pulau Pinang 2025, Zurhan Bakar, menerima hadiah wang tunai bernilai RM15,000 sebagai pengiktirafan atas sumbangan dan dedikasinya dalam memperkasa bidang kesusasteraan tanah air.

Dilahirkan di Georgetown, Zurhan merupakan seorang pesara guru yang kini aktif menulis sepenuh masa serta memegang jawatan sebagai Setiausaha Satu Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP). 

Zurhan mula berkecimpung dalam dunia penulisan sejak tahun 1983 dan terkenal dengan keupayaannya menulis pelbagai genre termasuk cerpen, puisi, novel, dan skrip drama.

Antara karya beliau termasuklah Senja Seorang Patriot, Misadventures of a Computer Geek, Kenapa Enggang Sembunyi?, Kami Regu Malaysia?, dan Perjalanan Pulang.

Sementara itu, Anugerah Persuratan Negeri Pulau Pinang bernilai RM5,000 diberikan kepada Profesor Emeritus Dato’ Seri Dr. Md Salleh Yaapar, seorang sarjana kesusasteraan Melayu yang disegani di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dilahirkan di Permatang Rawa, Md. Salleh Yaapar pernah berkhidmat di Universiti Sains Malaysia (USM) dan menyandang pelbagai jawatan penting, termasuk Timbalan Naib Canselor serta European Chair of Malay Studies di Leiden University, Belanda.

Profesor Md Salleh terkenal dengan kepakarannya dalam bidang Kesusasteraan Bandingan, Teori Sastera dan Kesusasteraan Dunia Melayu.

Antara karya beliau yang berpengaruh ialah Mysticism and Poetry: A Hermeneutical Reading of the Poems of Amir Hamzah dan Pilgrimage to the Orient

Muhammad Afif Zulhusni Azhar, penulis muda berusia 27 tahun kelahiran Perlis, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penulis Harapan Negeri Pulau Pinang 2025 dengan hadiah wang tunai RM5,000.

Graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam bidang Pengajian Warisan ini aktif menulis cerpen, esei dan puisi sejak di bangku sekolah.

Antara karyanya yang pernah memenangi anugerah termasuk cerpen “Ga Alif Ya Wau Nga” yang meraih Anugerah Sasterawan Muda Negeri Pulau Pinang 2023 dan “Penjual Waktu” yang dinobatkan sebagai pemenang Sayembara Penulisan Cerpen Penulis Muda 2024.

Selain tiga anugerah utama itu, majlis turut meraikan para pemenang Hadiah Sastera Negeri Pulau Pinang 2025 dalam pelbagai kategori. 

Bagi Kategori A: Buku Sastera, kumpulan puisi Silau Katarsis oleh Ibnu Din Assingkiri dan Tumbuh Menjadi Pohon Sakura oleh Nur Adilla diangkat sebagai pemenang. 

Anugerah Kategori B: Karya Eceran pula menampilkan karya “Tubuhku Serumah Kaca” oleh Za’im Yusoff, “Sebatang Pen Merah” oleh Nordin Hashim, “Usia” oleh Wan Mohamad Taufik Wan Kamal, “Ingin Ku Peluk Bulan” oleh Wan Nor Wan Chik, “Damaged Dream” oleh Azrin Fauzi, dan “Pedang dari Mandakini” oleh Erli Norafiza Abu Hafiz.

Dalam kategori yang sama, karya drama “Keris Seorang Pahlawan” oleh Mahizan Husain turut diiktiraf, manakala kategori esei dan kritikan sastera meraikan karya “Puisi sebagai Cermin Pantulan Ingin” oleh Za’im Yusoff, “Teori Monomyth di Sebalik Mitos Awang Sulung Si Jambul Lebat” oleh Muhammad Afif Zulhusni, serta “Pengaplikasian Teori Kontingensi Dalam Naratif Ogonshoto” oleh Nurafrina Abdul Aziz. 

Untuk Kategori C: Buku Sastera Kanak-kanak dan Remaja, karya Experimental Hero tulisan Mahizan Husain menerima pengiktirafan.

Kredit Foto: Muhamad Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi