Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangButterworth – Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang (ASNPP) 2025 memperlihatkan perkembangan memberangsangkan dalam dunia penulisan tanah air, dengan peningkatan penyertaan karya eceran dan penerokaan tema yang lebih segar serta rencam.
Ketua panel penilai, YBrs. Dr. Mohd Hanafi Ibrahim berkata, penilaian bagi tahun 2023 – 2024 menunjukkan bahawa karya sastera Pulau Pinang terus subur dengan bakat baharu dan penulis mapan yang berani menampilkan gagasan besar melalui pelbagai genre seperti cerpen, sajak, esei, dan drama.
“Kami melihat semangat dan keberanian yang tinggi dalam kalangan penulis. Tema-tema yang dikemukakan semakin luas merentas persoalan gender, warisan, identiti, dan kemanusiaan.
“Hal ini menunjukkan kematangan dalam cara pengarang melihat dunia dan masyarakat sekeliling,” katanya ketika ditemui oleh Dewan Sastera selepas ASNPP 2025 berlangsung.
Menurut beliau, sebanyak 93 sajak, 36 cerpen, 5 karya drama, dan 21 esei kritikan sastera telah diterima bagi Kategori B. Jumlah ini disifatkan sebagai satu peningkatan yang sihat, membuktikan bahawa kegiatan penulisan pada peringkat negeri masih aktif dan mendapat sambutan meluas.
Dr. Hanafi turut memuji kreativiti dan keberanian pengarang muda dalam mengekspresikan idea melalui gaya bahasa yang segar dan pengolahan naratif yang berkesan.
Banyak karya, katanya, berjaya memadukan unsur tradisi dan kontemporari secara harmoni, menggambarkan keupayaan pengarang memahami nilai tempatan sambil berfikir secara global.
“Ada karya yang mengangkat semula nilai sejarah dan warisan bangsa dengan cara baharu, seperti penggunaan watak simbolik dan arketaip Melayu. Perkara ini menunjukkan penulis Pulau Pinang semakin berani bereksperimen dan mentafsir warisan dalam konteks moden,” jelasnya.
Pada masa yang sama, beliau turut menggalakkan lebih banyak penulis untuk menyertai kategori buku kanak-kanak dan remaja, yang tahun ini mencatat sedikit penurunan dari segi jumlah penyertaan.
“Kita perlu melihat hal ini sebagai peluang untuk melahirkan lebih ramai penulis yang mampu menulis bagi khalayak kanak-kanak. Pihak negeri boleh memperbanyak bengkel dan program bimbingan bagi mengasah bakat baharu,” tambahnya.
Dr. Hanafi percaya bahawa usaha berterusan seperti bengkel penulisan, sayembara dan kem penerbitan karya remaja dapat menjadi wadah penting bagi melahirkan penulis generasi seterusnya yang lebih dinamik dan peka terhadap nilai kemanusiaan serta persekitaran sosial.
Sementara itu, Che Abdullah Che Ya, salah seorang panel penilai, menegaskan bahawa kualiti keseluruhan karya tahun ini memperlihatkan kemajuan yang ketara.
“Kita melihat banyak karya yang matang dan segar dari segi pemikiran. Walaupun masih ada jurang antara karya terbaik dengan karya permulaan, semangat penulis untuk terus berkarya wajar dipuji. Hal ini merupakan tanda bahawa sastera pada peringkat negeri terus hidup,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar pihak berkaitan memperkukuh penerbitan karya tempatan melalui pelbagai inisiatif penerbitan dan promosi, agar lebih banyak kumpulan cerpen, kumpulan puisi dan novel penulis Pulau Pinang dapat diterbitkan secara konsisten.
Panel penilai ASNPP tahun ini terdiri daripada Dr. Mohamad Shahidan, Saifullizan Yahaya, S.M. Zakir, A. Wahab Hamzah, Profesor Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Datuk Profesor Kol. (K) Dr. Awang Azman Awang Pawi, dan Zaen Kasturi.