Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangButterworth – Sastera bukan sekadar karangan bahasa indah, sastera ialah amanah untuk mendidik jiwa manusia. Demikian ujar Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YBhg. Dato’ Seri Haji Zulkifli Long dalam ucapannya pada majlis Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang (ASNPP) Kedua 2025, yang berlangsung di Crowne Plaza Penang Straits City, malam Ahad lalu.
Menurut beliau, penganjuran anugerah berprestij itu amat besar ertinya kepada masyarakat, khususnya para penulis, penggiat dan pencinta dunia kesusasteraan serta persuratan Melayu.
Beliau menyifatkan bahawa ASNPP 2025 bukan sekadar pengiktirafan, tetapi lambang keinsafan bahawa karya sastera ialah cerminan jiwa sebuah negeri yang menghargai tulisan, yang percaya bahawa pena lebih tajam daripada pedang, dan bangsa yang berbahasa ialah bangsa yang berdaulat.
“Daripada sajak kepada cerpen, daripada novel kepada drama, setiap naskhah ialah cerminan akal budi dan perjuangan bangsa. Kita bukan sekadar menilai karya, tetapi mengiktiraf suara hati yang menyuburkan jiwa manusia,” ujarnya lagi.
Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang menampilkan dua pengiktirafan utama, iaitu Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang yang diberikan kepada tokoh dan individu unggul dalam dunia sastera, serta Hadiah Sastera Negeri Pulau Pinang bagi karya yang menyinari dunia persuratan tanah air.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang, jelas Zulkifli, sentiasa komited memperkukuh martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bukan sahaja sebagai alat komunikasi, tetapi juga sebagai bahasa maruah dan kedaulatan negara.
“Bahasa Melayu ialah bahasa penyatu rakyat, bahasa ilmu dan pentadbiran, bahasa yang membina tamadun Nusantara sejak berkurun lamanya. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kerajaan dan seluruh masyarakat untuk menjaga kemuliaan bahasa ini agar terus hidup, segar dan bermakna sepanjang zaman,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan lafaz perasmian oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, TYT Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib, yang hadir bersama-sama YM Toh Puan Raja Dato’ Seri Utama Noora Ashikin Raja Abdullah.
Turut hadir, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Hazami Jahari dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang, YBrs. Puan Norlina Ahmad.