Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPermatang Pauh – Majlis Bicara Karya anjuran Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP)) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dan Majlis Kebudayaan Negeri Pulau Pinang telah berlangsung di Dewan Perpustakaan Desa (PD) Mengkuang Titi, Permatang Pauh, Pulau Pinang, pada pagi tadi.
Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Dr. Husairi Hussin telah diundang untuk membicarakan karya Antologi Puisi Khas PMX dan Malaysia Madani: Kanvas Madani terbitan 2PNP.

Dalam majlis tersebut, beliau berkata bahawa langkah yang diambil oleh pihak 2PNP bagi mengeluarkan antologi setebal 55 muka surat berkaitan dengan semangat juang Perdana Menteri, amat baik sekali.
Banyak suka duka terpaksa dilalui oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum menjadi PMX dan antologi ini telah menterjemahkan segala perit, duka dan cabaran yang dihadapi oleh PMX.
Seterusnya, Pengarah DBPWU, Encik Armin Azhari Saleh ketika merasmikan majlis itu berkata bahawa usaha menerbitkan pelbagai buku berkualiti akan tercapai jika generasi sekarang berupaya menjadi penulis hebat. Jelas beliau;
2PNP boleh menganjurkan bengkel penulisan untuk mencungkil bakat baharu bagi menjayakan tujuan tersebut.

Sebelum itu, program ini telah dikendalikan oleh Puan Arbakyah Hassan, iaitu Pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Pulau Pinang. Majlis turut diserikan dengan persembahan puisi oleh Rafizah Mohd Shafeei dari PD Bukit Indera Muda dan Izara Mawida Ibrahim dari PD Kampung Lubuk Meriam.
Mereka berdua mendeklamasikan puisi daripada himpunan buku tersebut, iaitu “Bahtera Madani” dan “Tanah Bertuah”. Buku ini mengandungi 39 puisi dan diselenggarakan oleh Nordin Hashim dan Zurhan Bakar.
