Diterbitkan pada 5 November 2025, 08:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ubud – Pemenang International Booker Prize 2025, Banu Mushtaq, menyifatkan perjalanan karier penulisannya yang memperjuangkan hak wanita Islam sebagai usaha berisiko tinggi.

Banu, 77, mendedahkan mesej dan kritikan sosial yang dibawanya sering disalah tafsir, malah dijadikan senjata oleh pihak berkepentingan untuk menyerangnya semula.

“Saya sering berasa seolah-olah berjalan di atas pedang bermata dua.

“Apabila menulis tentang hak wanita dalam konteks masyarakat Islam, niat saya bukan hanya untuk membela wanita Muslim sahaja, tetapi untuk semua wanita di dunia.

“Cuma, saya menggunakan nama dan latar masyarakat Islam sebagai kerangka cerita,” katanya, ketika ditemui di sesi “Banu Mushtaq: Heart Lamp” sempena Festival Penulis dan Pembaca Ubud (UWRF) 2025, baru-baru ini.

Banu menjelaskan, cabaran paling besar yang dihadapi adalah apabila karyanya sering dimanipulasikan oleh kelompok tertentu, yang menjadikan penulisannya sebagai alasan untuk menyerang agama Islam.

“Mereka membaca karya saya dengan niat politik dan agama. Sedangkan yang saya kritik ialah sikap individu yang tidak mengamalkan ajaran Islam sebenar, bukan agamanya,” jelasnya.

Oleh itu, Banu amat berhati-hati dalam penulisan termasuk mempunyai individu yang menapis karyanya dari pelbagai sudut, termasuk sosial dan politik.

“Itulah sebabnya saya menganggap menulis prosa seperti cerpen, novel dan esei amat berisiko. Berbeza dengan puisi, puisi lebih selamat kerana saya dapat menyampaikan mesej melalui kiasan dan simbol.

“Puisi menjadi ruang perlindungan yang membolehkan saya bernafas dan menulis dengan bebas,” katanya.

Walaupun berdepan kecaman serta ugutan, penulis kelahiran Karnataka, India itu tetap teguh memperjuangkan hak wanita melalui pena.

“Saya tidak pernah berhenti menulis walaupun sedar setiap karya membawa risiko. Menulis ialah cara saya menuntut hak untuk bersuara sebagai wanita Muslim.

“Saya pernah diugut dan diserang kerana tulisan saya, tetapi jika saya berhenti, perjuangan itu akan terkubur. Saya akan terus menulis dengan berani kerana saya percaya pena di tangan saya mempunyai makna,” katanya.

Terdahulu, pada 20 Mei lalu, koleksi cerpen Banu, Manasu Deepa atau Heart Lamp diumumkan sebagai pemenang International Booker Prize 2025.

Kejayaan itu menjadikannya sebagai penulis berbahasa Kannada pertama menerima pengiktirafan berprestij itu.

Karya tersebut menghimpunkan 12 cerpen yang menyingkap isu patriarki, penindasan sosial serta sistem kasta dalam kalangan masyarakat Muslim di selatan India.

Kredit Foto: UWRF 2025
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi