Oleh Adib MN
Diterbitkan pada 30 Oktober 2025, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jakarta – Pengarang Indonesia, Denny JA diumumkan layak ke senarai pendek Anugerah Sastera BRICS bersama-sama sembilan lagi pengarang negara anggota BRICS.

Majlis pengumuman yang diadakan di Pusat Dokumentasi Sastera H. B. Jassin, turut menyenaraikan Ana Maria Goncalves dari (Brazil); Alexei Varlamov (Rusia); Sonu Saini (India); Ma Boyong (China); Nthabiseng JahRose Jafta (Afrika Selatan); Reem al-Kamali (Emiriah Arab Bersatu); Abere Adamu (Ethiopia); Mansour Alimoradi (Iran); dan Salwa Bakr (Mesir).

Presiden Kesatuan Buku Rusia, Sergei Stepashin berkata, Anugerah Sastera BRICS bertujuan untuk memupuk dialog antara budaya dan memartabatkan nilai tradisional melalui seni sastera.

“Senarai pendek pemenang mewakili pelbagai warna budaya dan pandangan dari negara-negara BRICS. Jumlah penduduk negara anggota kita melebihi tiga bilion orang dan anugerah ini memberikan peluang unik kepada penulis untuk berkongsi idea mereka dengan khalayak yang luas.

“Sastera ialah alat terpenting untuk saling faham-memahami. Melalui karya sastera, kita memecahkan prasangka, membina empati dan memperdalam hubungan antarabangsa kita.

“Saya yakin Anugerah Sastera BRICS merupakan langkah penting ke arah membina kepercayaan, saling menghormati dan kerjasama yang subur,” katanya seperti dipetik oleh laman web TV BRICS.

Turut hadir ialah Koordinator Nasional Rangkaian Sastera BRICS di Indonesia, Sastri Bakry.

Sastri berkata, anugerah itu bukan hanya mengiktiraf karya sastera unggul dari negara anggota BRICS, bahkan memupuk pertukaran budaya dan kerjasama antara negara.

“Bagi Indonesia terutamanya, hal merupakan peluang untuk mendekatkan diri dengan komuniti global dan mempersembahkan warisan budaya kita yang kaya kepada khalayak antarabangsa,” katanya.

Pemenang Anugerah Sastera BRICS akan diumumkan di Khabarovsk, Rusia, pada 27 November 2025. Anugerah ini diperkenalkan pada November 2024 semasa Forum BRICS: Nilai Tradisional yang diadakan di Moscow.

Pada pertemuan meja bulat sempena Anugerah Sastera BRICS, penubuhan Jaringan Sastera BRICS turut diumumkan yang menghubungkan persatuan dan kesatuan pengarang, sarjana sastera dan penerbit dari negara blok ekonomi berkenaan.

Turut diperkenalkan ketika itu ialah Pengerusi Bersama Jaringan Sastera BRICS, iaitu Presiden Academia de Letras do Brasil (Akademi Sastera Brazil), Marcos Freitas dan Anggota Kesatuan Penulis Russia, Vadim Terekhin.

BRICS ialah blok ekonomi yang awalnya diwujudkan oleh Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan, sebelum kini disertai oleh 10 negara, iaitu Mesir, Ethiopia, Indonesia, Iran, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang dikenali sebagai BRICS Plus.

Malaysia pula diterima sebagai negara rakan kongsi BRICS bersama-sama 12 negara lain pada bulan Oktober 2024.

Kredit Foto: Mizanudin/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi