Oleh Adib MN
Diterbitkan pada 10 Oktober 2025, 18:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Adib MN memberikan pandangan kritikalnya tentang penilaian dan pemilihan Akademi Sweden untuk pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan kali ini.

Walau bagaimanapun, seperti jangkaan pengkritik bahawa Akademi Sweden akan mengutip satu nama daripada pengarang lelaki dari Eropah selepas lari sedikit daripada tipikal pemilihannya pada tahun lalu …

Sekali lagi, Akademi Sweden yang bertanggungjawab menyelia penganugerahan Hadiah Nobel Kesusasteraan membuktikan penilaian dan pemilihan yang dibuat bukan sahaja kabur, bahkan tidak “membaca” persekitaran dunia yang sedang terbakar.

Hal ini kerana Akademi Sweden menjadi seperti Akademi Sweden yang pernah digegarkan dengan skandal seks pada tahun 2018, memilih laluan “selamat” dan konservatif apabila menganugerahkan Hadiah Nobel Kesusasteraan 2025 kepada pengarang Hungary, László Krasznahorkai.

Ironinya, Krasznahorkai dijolok sebagai “master of apocalypse”, tetapi Akademi Sweden bagaikan terlupa akan “malapetaka” sebenar yang sedang berlaku di Gaza, yang angka korbannya sudah melepasi 47,000 nyawa dengan lebih separuh daripadanya ialah kanak-kanak dan wanita.

Apocalypse atau apokalips yang diterjemahkan kepada “malapetaka yang maha dahsyat” itu lebih tepat menggambarkan apa yang sedang berlaku di Gaza berbanding kenangan silam di bawah cengkaman pemerintahan komunis yang sudah pun menjadi puing-puing sejarah.

Hal sama juga sebenarnya berlaku ketika perang saudara Syria tercetus pada tahun 2011 yang meragut lebih setengah juta nyawa dan memaksa 13 juta orang menjadi pelarian. Nama penyair besar, Adonis, yang berasal dari Syria juga menjadi sebutan, tetapi Akademi Sweden menutup mata terhadap apa yang berlaku.

Bukanlah hal ini bermaksud, apabila sesuatu tragedi berlaku, maka Akademi Sweden perlu “menaruhkan” penawar dengan memetik mana-mana sasterawan dari wilayah terdera itu. Sebaliknya, jika ada pengarang, penyair mahupun dramatis yang karyanya diiktiraf memiliki kekuatan dari pelbagai segi yang berasal dari daerah berkenaan, wajar sekali individu berkenaan diiktiraf.

Adonis (Sumber: Mariusz Kubik)

Adonis walaupun merupakan susuk yang kontroversi, dengan pemikirannya yang mencabar nasionalisme dan Islamisme, memiliki segala ramuan yang menjadikan kedudukan karya serta pemikirannya lebih terkehadapan daripada penyair Arab yang lain.

Tidak hairanlah, nama Adonis tidak berhenti diangkat setiap kali spekulasi siapa bakal memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan bertiup kencang, kerana kedua-dua kakinya berada pada ranah sastera dan “politik” yang boleh diterima oleh Barat sendiri.

Kita boleh katakan yang pemilihannya sesuai dengan “semangat zaman” yang menjadi konsep penting dalam kebudayaan Barat, malah selepas 10 tahun Mesir mengadakan perjanjian Camp David dengan Israel, sasterawan Naguib Mahfouz memenanginya, yang walaupun diberikan dengan jarak sedekad, pengiktirafan itu tidak sunyi daripada persepsi kesan politik.

Walau bagaimanapun, seperti jangkaan pengkritik bahawa Akademi Sweden akan mengutip satu nama daripada pengarang lelaki dari Eropah selepas lari sedikit daripada tipikal pemilihannya pada tahun lalu, iaitu pengarang Korea Selatan, Han Kang diisytiharkan, sekali gus menjadi wanita Asia pertama yang menerimanya.

Dalam pengumuman rasmi, Akademi Sweden menyatakan penganugerahan kepada Krasznahorkai dibuat kerana prosa epiknya penuh intensiti, menggambarkan dunia rapuh yang dilanda kehancuran menyakitkan.

László Krasznahorkai (Sumber: Miklós Déri)

Krasznahorkai yang dilahirkan di Gyula, Hungary pada tahun 1954 terkenal dengan gaya penulisan yang gelap, panjang dan intensif. Satantango yang diterbitkan pada 1985 dianggap sebagai karya sulung yang terus mencetuskan sensasi, mengisahkan sebuah desa yang mereput dalam era komunis, disusun dalam 12 bab yang setiap satunya ialah satu perenggan panjang, sekali gus menjadi bentuk eksperimentasi naratif yang menjadi identitinya.

Gaya ini hampir sama dengan pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 1998, Jose Saramago, tetapi dengan nafas dan nawaitu yang berbeza. Satu perenggan yang panjang ketika membaca Krasznahorkai adalah ibarat melalui kehidupan yang terasa menghimpit dada, memberikan tekanan mental dan ketidakstabilan, sesuai dengan realiti komunis, manakala Saramago pula menjadi tukang cerita yang mengalirkan kisah-kisah yang terbentuk dalam satu kesedaran kolektif sehingga penyataan dan dialog tiada beza, seperti dalam novel Blindness dan Seeing.

Tidak dinafikan, Krasznahorkai tergolong sebagai sasterawan besar Eropah sehingga dihormati oleh ramai sarjana dan pengkritik. Namun begitu, pemilihannya pada saat dunia sedang menyaksikan tragedi kemanusiaan yang besar menonjolkan jurang antara menara gading sastera Eropah dengan realiti getir masyarakat global.

Apa-apa pun isyaratnya, neraca pengimbangnya mungkin lebih condong untuk dibaca pada sikap Akademi Sweden itu sendiri yang memilih berdiri di luar arus sejarah semasa yang menyaksikan kemanusiaan sedang dicabar dengan cara paling keji dan angkuh.

Dari satu sisi, Akademi Sweden kelihatan hidup dalam ruang masa tersendiri, jauh dari denyut dunia, sekali gus membenarkan kritikan dan cemuhan terhadap budaya yang melingkarinya.

Walau bagaimanapun, dari satu sisi lain, apakah ini cara Akademi Sweden memberikan satu pandangan terhadap apa yang berlaku di Gaza atau Ukraine, tanpa terlalu memperlihatkan sikap “berpihak” – walaupun hal ini sangat lancang untuk memilih posisi ketika kemanusiaan berada pada tahap yang genting sebegini.

Apakah hal ini menjadi isyarat yang cuba dihantar oleh Akademi Sweden bahawa perang dan ideologi ekstrem hanya akan menjerut kemanusiaan sehingga menyesakkan dada kita seperti membaca novel Krasznahorkai, sama ada Satantango, The Melancholy of Resistance – gelaran “master of the apocalypse” yang diberikan oleh pengkritik Amerika Syarikat, Susan Sontag selepas membaca novel ini – dan War and War?

Apa-apa pun isyaratnya, neraca pengimbangnya mungkin lebih condong untuk dibaca pada sikap Akademi Sweden itu sendiri yang memilih berdiri di luar arus sejarah semasa yang menyaksikan kemanusiaan sedang dicabar dengan cara paling keji dan angkuh.

Barangkali akan ada bacaan-bacaan yang cuba menjustifikasikan pemilihan Krasznahorkai yang dianggap lebih selamat, konservatif dan tipikal Akademi Sweden, yang kononnya hanya melihat mutu serta nilai kesusasteraan – yang sebenarnya sukar dipertahankan berdasarkan rekod prestasinya, termasuk ketika memilih Bob Dylan – tetapi sejauh mana hal ini dapat dipertahankan sama sukarnya untuk ditentukan.

Gaza kini, apokalips sebenar. (Sumber:  Mohammed Ibrahim)

Hal yang penting, pemilihan Hadiah Nobel Kesusasteraan memberikan satu pengajaran berguna kepada kita di negara ini yang sesekali memunculkan idea “bila lagi sasterawan Malaysia mahu menang hadiah itu” atau “sekelompok manusia merancang untuk mencari jalan mengangkat karya serta sasterawan tanah air sebagai calon berpotensi”, lantas tinggalkan saja hasrat itu!

Usaha mengangkat dan menobatkan seseorang bukan berlaku dalam ruang yang kosong, sebaliknya sesuatu institusi itu memiliki pandangan alam tersendiri serta dilingkungi sesuatu kebudayaan. Dalam hal Akademi Sweden, pengiktirafannya akan selama-lamanya berada dalam ruang elitis dan aristokrat Eropah yang sesekali menoleh jauh ke Afrika, Asia dan Amerika (bukan rahsia lagi, kritikan bahawa Amerika terlalu bersifat “kepulauan” sangat menyakitkan khalayak sastera negara Uncle Sam itu), hanya kemudiannya membaling dadu untuk memilih sasterawan Eropah.

Sebaliknya, hal yang perlu kita lakukan ialah berusaha membuat perancangan yang lebih realistik, berwawasan dan berstrategi dari sudut penterjemahan karya sastera penting kita, baik daripada tradisi Alam Melayu mahupun Malaysia ke dalam bahasa utama dunia.

Usaha penterjemahan ini pula disusuli dengan perancangan untuk menyebarluaskan karya terjemahan itu dalam pelbagai bentuk, sama ada wacana awam melalui kuasa pasaran atau kritikan dan kajian oleh sarjana serta ahli akademik luar.

Walau bagaimanapun, hal ini tidak boleh diserahkan semata-mata kepada birokrat kerana “perang terlalu penting untuk diserahkan kepada politikus” (meminjam kata-kata Perdana Menteri Perancis pada era Perang Dunia Pertama, Georges Clemenceau), maka usaha ini juga tidak boleh hanya difikirkan dan diusahakan oleh birokrat sastera, tidak juga hanya dengan kerjasama ahli akademik sastera.

Jika tidak, kita hanya memasang angan-angan Mat Jenin yang akhirnya akan jatuh tertungging dari pokok kelapa kerana Akademi Sweden tidak pernah mempedulikan siapa itu Mat Jenin dan manusia-manusianya di sini.

______________________________

Adib MN ialah eseis dan pengarang kreatif yang mengamati sastera dari jarak dekat.

Kredit Foto: Artem R.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi