Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Wartawan dan pengarang Sdr. Zainal Rashid Ahmad menyifatkan Zaen Kasturi sebagai seorang penyair yang sangat hebat pada penggunaan imejan alam dalam karyanya.
Hal demikian katanya, lahir daripada didikan arwah ayahnya sejak dari kecil yang mengajar cara berfikir dengan merenung alam semula jadi.
“Jika hendak tegur sesuatu, arwah ayahnya akan kata, lihat batu itu, lihat arus sungai itu, pokok itu. Begitulah kehidupan.
“Maka, Zaen harus memikirkan makna daripada alam semula jadi yang dituturkan oleh arwah ayahnya itu untuk memahami maksud di sebaliknya,” katanya ketika berkongsi pengalaman sepanjang mengenali penyair tersebut sejak lebih 30 tahun lalu.
Perkongsian tersebut disampaikan oleh Zainal melalui program Bual Bicara: Bacaan dan Perbualan Khas bersama Pengarang – Ingatan kepada Zaen Kasturi sempena Festival Mini Sastera OPERA yang diadakan di Dewan Bankuet, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini.
Selain Zainal, program yang dikendalikan oleh Organisasi Alumni Program Penulisan MASTERA (OPERA) itu turut menampilkan tiga ahli panel lain, iaitu Sdr. Ridzuan Harun, Sdr. Salman Sulaiman dan Sdr. Haniff Zikri.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, Pengerusi Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai.
Menerusi perkongsian selanjutnya, Zainal percaya cara berfikir yang diasuhkan oleh arwah ayahnya itulah menjadi roh atau kekuatan sebenar Zaen sepanjang pelibatannya sebagai penyair.
“Kita akan membaca imej-imej alam dalam puisinya, dengan susun atur bahasa yang indah walaupun sesekali terasa agak rumit untuk dimengertikan.
“Tetapi, itulah realiti kehebatan simbol alam dalam bahasa yang mampu membuatkan manusia berfikir dan menelaah hidup bagi mencari hubungan maknanya,” katanya.