Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSebagai penerima SEA Write Award (Malaysia) 2022, Osman Ayob mencatatkan pengalamannya menerima anugerah sastera berprestij dari negara gajah putih pada bulan November tahun lalu.
Tarikh 25 November seolah-olah ‘tarikh keramat’ bagi pihak istana. Hal ini kerana, anugerah untuk tahun 2016, 2017 dan 2018 juga berlangsung pada 25 November 2019 di Mandarin Oriental, Bangkok.
Dalam kalangan penulis kreatif, kita sedia maklum, Anugerah Penulis Asia Tenggara atau The South East Asia Write Award merupakan sebuah anugerah berprestij yang dikendalikan oleh beberapa badan korporat di Thailand dengan kerjasama pihak istana Diraja Thailand. Malah boleh dianggap bahawa prestij yang terjelma adalah di bawah restu dan limpah kurnia pihak istana.
Sejak diwujudkan pada tahun 1979, SEA Write Award telah mencatat sejarahnya yang gilang-gemilang. Objektif utama anugerah ini ialah:
Hingga tahun 2023, sejumlah 45 orang penulis kreatif dari Malaysia, meliputi genre novel, cerpen, puisi, dan drama telah menerima anugerah ini. Iklan untuk pemilihan bagi tahun 2024 dijangka akan dikeluarkan sedikit masa lagi setelah Sekretariat dari Malaysia yang dikendalikan oleh Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendapat “lampu hijau” daripada Sekretariat Tetap SEA Write Award di Thailand.
Dalam hubungan ini, Sekretariat tetap SEA Write Award di Thailand sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang berat sejak dahulu lagi bagi mengurus dan mengendalikan anugerah yang melibatkan kerjasama pelbagai pihak, antaranya tenaga penggerak yang berada di universiti, badan-badan korporat dan beberapa agensi yang menyumbangkan tenaga dan komitmen yang tidak berbelah bahagi demi menjayakan anugerah yang berterusan saban tahun.
Mengambil kira pihak istana sebagai faktor penentu tarikh dan masa penganugerahan, Sekretariat Tetap di Thailand sentiasa berdepan dengan kekangan masa dan pematuhan arahan. Sebagai contoh, untuk anugerah tahun 2022 dan 2023, setelah mendapat kebenaran daripada Sekretariat di Thailand, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP secara tergesa-gesa mengadakan sidang media, yang berlangsung pada 19 November 2024. Melalui sidang media inilah, calon yang terpilih sebagai penerima anugerah diumumkan secara rasmi.
Sekretariat di Thailand terpaksa bekerja keras untuk menerima tetamu dan pengiring dari sembilan buah negara ASEAN, iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Myanmar, Vietnam, Negara Brunei Darussalam, Kemboja, Laos, dan Thailand sendiri. Singapura sudah dua tahun tidak menghantar calon penerima dan tiada makluman diperoleh. Adakah sebagai sebuah negara maju, Singapura tidak lagi perlu berkongsi penghargaan bagi penulisnya yang telah berbakti dalam bidang penulisan dan turut menyumbang pada pembangunan kerohanian dan intelektual negara tersebut?
Ketergesaan dalam memenuhi acara atau majlis amat terasa untuk anugerah kali ini. Oleh sebab tarikh yang berselang beberapa hari sahaja antara sidang media dengan majlis penganugerahan di Bangkok yang ditetapkan pada 24–27 November 2024, DBP sendiri tidak sempat untuk menyiapkan buku biodata penerima anugerah 2022 dan 2023, padahal buku ini menjadi bahan yang penting untuk diedarkan sepanjang acara di sana. Malah, Sekretariat di Bangkok sendiri hanya dapat menyiapkan buku yang mengandungi maklumat penerima untuk dibawa bersama ketika kami berada dalam van untuk berangkat ke Istana Sukhothai pada tengah hari 25 November 2024. Tarikh 25 November seolah-olah “tarikh keramat” bagi pihak istana. Hal ini kerana, anugerah untuk tahun 2016, 2017 dan 2018 juga berlangsung pada 25 November 2019 di Mandarin Oriental, Bangkok.
Bagi memastikan penerima anugerah tiba di Bangkok pada waktu yang ditetapkan, Sekretariat di Bangkok membenarkan penulis menempah penerbangan sendiri. Tidak lagi menggunakan penerbangan Thai International Airways sebagaimana lazimnya. Dengan kerjasama DBP, penulis terpaksa menempah penerbangan untuk ikut bersama-sama dua orang pegawai pengiring dari Bahagian Promosi dan Pengiktirafan pada 24 November 2024. Ikut bersama ialah isteri penulis yang tidak dibiayai tambangnya oleh pihak sekretariat. Bayaran penerbangan tambang murah pada ketika yang genting itu ialah RM 4,160 (pergi dan balik) untuk penulis dan isteri. Pihak sekretariat hanya membayar BTH 20,000 untuk tiket penerbangan kepada penulis.
Pesawat bertolak dari KLIA2 mengikut jadual pada pukul 11.40 pagi dan mendarat di Don Mueang International Airport pada jam 12.45 tengah hari waktu Thailand. Pelepasan di pintu imigresen dan kastam berjalan lancar walaupun dalam deretan yang singkat.
Dari sini, penulis dan delegasi – bersama-sama Puan Siti Zaleha M. Hashim, penerima untuk tahun 2023 dan anaknya disambut dengan mesra oleh dua orang siswa (berasal dari Selatan Thailand) dari Chulalongkorn University yang mewakili pihak sekretariat. Kedua-duanya tanpa berlengah membawa kami dengan van ke W Hotel, Silom Road di tengah kota raya Bangkok. Tiada sebarang kesesakan di jalan raya. Kami tiba di hotel dalam tempoh setengah jam sahaja.
Penulis dapati kerjasama dua orang pegawai dari Bahagian Promosi dan Pengktirafan, Puan Rohana Abdul Rahman dan Puan Ana Mohamad Bes dengan pegawai dan kakitangan Sekretariat di Bangkok dalam usaha mengendali dan menguruskan penulis dan Puan Zaleha berjalan dengan cekap dan profesional. Daftar masuk hotel berjalan pantas dan bagasi dibawa terus ke bilik penginapan. W Hotel walaupun tidak sehebat Mandarin Oriental yang terletak di tepi Menam Chao Phraya, tetapi mempunyai kelasnya yang tersendiri, dengan kadar sewa mencecah BTH 20,000 untuk tiga malam penginapan.

Komitmen yang ditunjukkan oleh pihak Sekretariat di Thailand boleh dipuji atas kecekapan mereka melaksanakan tugas dengan cemerlang. Antara yang tidak berpisah dengan para penerima anugerah ialah Cik Tipsula Chaichana dan Prof. Madya Dr. Trisilpa Boonkhachorn dari Department of Comparative Literature, Faculty of Arts, Chulalongkorn University. Tugas untuk melayan lapan penerima anugerah bagi tahun 2022 dan lapan bagi tahun 2023 bukan mudah. Walaupun semua penerima anugerah ditempatkan di hotel yang sama, tetapi ketibaan masing-masing di dua lapangan terbang (Don Mueang International Airport dan Suvarnarbhumi Airport) tentu berbeza. Hal ini memerlukan penyelarasan yang cekap kerana bukan semua penerbangan tiba mengikut jadual yang ditetapkan.
Selain itu, oleh sebab acara tahun 2024 berlangsung di istana, peraturan yang dikenakan begitu ketat. Selain pasport menjadi penentu kewarganegaraan penerima yang mewakili negara ASEAN, pemeriksaan COVID-19 dipastikan sah di hotel lagi. Penulis yang menghadapi pemeriksaan semula COVID-19 telah dilayan dengan cekap sekali bagi mengelakkan masalah apabila memasuki pintu pemeriksaan di istana.
Jelas bahawa atur cara kali ini di bawah kawalan penuh pihak istana, berbanding acara tahun-tahun sebelum yang diadakan di hotel apabila soal protokol dan acara tertentu melibatkan pihak hotel.
Ketika menginap di bilik 1611, penulis berkesempatan menyaksikan panorama malam Bangkok yang kaya dengan gemerlapan neonnya. Di sisi hotel, tren yang menyerupai LRT di Kuala Lumpur berulang-alik hingga lewat malam dan bergerak semula pada jam 5.30 pagi. Kesibukan pada siang hari tentulah “bingit”, lantaran kota raya metropolitan Bangkok dihuni 11.4 juta manusia.
25 November 2024 merupakan tarikh keramat. Selepas sarapan pagi di hotel, sidang media bermula jam 10.00 pagi. Semua penerima anugerah selain bertemu wartawan, beramah mesra dan juga bertukar-tukar buku karya masing-masing. Setelah mengambil posisi sesi bergambar yang dihoskan oleh para wartawan dan jurukamera pihak sekretariat, semua penerima anugerah perlu bergegas ke bilik masing-masing bagi menyalin pakaian lengkap untuk berangkat ke Istana Sukhothai.

Tiga buah van khas digunakan untuk ke istana. Selain penerima anugerah, turut serta termasuklah urus setia sekretariat. Pegawai pengiring DBP dan isteri penulis tidak dibenarkan bersama ke istana. Kami dibawa dalam suasana tenang dan selesa pada jam 12.30 tengah hari dan tiba di Istana Sukhothai jam 1.15 petang. Yang terkilannya, kami tidak dibawa masuk melalui pintu utama, sebaliknya melalui pintu sampingan yang dikawal ketat.
Bersama-sama urus setia, kami dibawa ke dalam bilik khas untuk semakan semula status setiap penerima anugerah. Selain pengesahan tiada jangkitan COVID-19, pasport antarabangsa juga disemak sebagai penanda kelayakan untuk menerima anugerah. Semua dokumen, termasuk kamera dan telefon pintar dikehendaki ditinggalkan di sini.
Penulis bersama-sama penerima anugerah dari negara lain dipindahkan ke sebuah bilik khas untuk tujuan raptai. Bermula jam 2.30 petang, raptai mengambil masa yang lama juga bagi menyesuaikan diri dengan kehendak pegawai istana yang mengaturnya dengan santun mengikut protokol. Kami yang tidak diberi makan tengah hari di hotel, hanya berpeluang menikmati makanan ringan di istana. Hidangan berupa pelbagai jenis kuih tradisional, kek dan buah-buahan. Makanan “berat” yang terhidang cuma sandwic dan minuman biasa, selain air buah-buahan.
Setelah berkemas dan merapikan pakaian tradisional masing-masing, penulis berbaju Melayu, lengkap bersamping dibawa ke sebuah bilik kecil sahaja untuk acara penganugerahan. Kami dikehendaki berdiri, menanti ketibaan Yang Amat Mulia (YAM) Puteri Maha Sirivannavari Naritana Rajakanya yang berangkat tiba jam 3.30 petang.
Tentu kerana kesuntukan masa, majlis kali ini tidak ada ucapan daripada penerima. Yang berucap hanyalah Pengerusi Sekretariat dan YAM Puteri sendiri sebelum beredar ke kamar bersebelahan.
Seusai majlis, sesi bergambar bersama-sama Puteri Sirivannavari diadakan di sebuah bilik lain. Terdapat dua sesi bergambar, satu untuk penerima tahun 2022, satu lagi untuk penerima tahun 2023.
Jelas bahawa atur cara kali ini di bawah kawalan penuh pihak istana, berbanding acara tahun-tahun sebelum yang diadakan di hotel apabila soal protokol dan acara tertentu melibatkan pihak hotel.
Acara yang tidak kurang pentingnya pada malam itu ialah Gala Dinner Night yang diadakan di Grand Room W Hotel. Penulis dan penerima anugerah dari Myanmar, Brunei, Laos, dan Indonesia ditempatkan di meja 13. Pihak hotel menghidangkan menu terkelas dan istimewa, tetapi sebagai seorang Muslim, penulis terpaksa memilih makanan yang sesuai. Selain penyerahan hadiah berupa BTH, ikut memeriahkan acara termasuk deklamasi puisi daripada semua penerima anugerah. Puan Siti Zaleha M. Hashim mewakili Malaysia mendeklamasikan puisi beliau berjudul “Dongeng Yunani di Bima Sakti” (“A Greek Legend on the Milky Way”).
Ketika berlangsungnya acara, selain kesempatan berkomunikasi dan beramah mesra, inilah ketika paling santai untuk penerima bertukar buku karya masing-masing. Penulis yang membawa beberapa buah novel dan kumpulan cerpen, berpeluang menghadiahkannya kepada rakan penerima dari Myanmar, Brunei, Indonesia, Laos, Filipina, dan Vietnam. Buku-buku yang dibawa oleh dua orang pegawai DBP juga diserahkan kepada penulis untuk dihadiahkan sendiri kepada yang berkenaan, termasuk kepada pihak sekretariat.
Pada tengah hari 26 November, semua penerima anugerah dan pengiring dibawa melawat Ibu Pejabat Bangkok Bank, penaja utama yang menyumbangkan dana untuk SEA Write Award sejak dimulakan pada tahun 1979. Pada majlis ini, di samping jamuan makan tengah hari, diiringi pertunjukan kebudayaan dan kesenian. CEO Bangkok Bank telah menyerahkan replika cek berjumlah BTH 500,000 untuk digunakan pada siri SEA Write Award tahun 2024 kepada pihak Sekretariat Tetap.

Oleh sebab kekangan jadual yang ketat, tiada sebarang kesempatan kepada penerima untuk bersiar-siar di kota raya Bangkok. Bagaimanapun pada malamnya, para penerima diiringi Sekretariat Tetap yang diketuai oleh Dr. Trisilpa dibawa untuk bersiar dan makan malam di atas cruise di Menam Chao Phraya. Bot persiaran dua tingkat yang bergerak di sungai yang kedua-dua belah tebingnya dipagari pelbagai bentuk bangunan yang kilau-kemilaunya sungguh mempesona. Nyata bahawa kawasan ini khususnya, hidup pada waktu malam. Acara makan berlangsung secara santai dan layan diri. Semua yang berada di dalam bot berpeluang memilih apa-apa sahaja makanan yang digemari, tentu makanan Thai dan Barat. Selain buah-buahan, penulis memilih beberapa ekor udang galah yang dibakar secara spontan dan kelihatan tidak ada sebarang keraguan tentang kandungan yang digunakan.
Acara makan malam di Menam Chao Phraya merupakan acara terakhir. Semua penerima anugerah dan pengiring dibawa pulang ke hotel lewat pukul 10.30 malam. Keesokan pagi, 27 November, semua penerima anugerah bersiap untuk berangkat pulang ke negara masing-masing, mengikut jadual penerbangan yang telah ditetapkan.
Penulis bersama-sama Puan Siti Zaleha M. Hashim serta pengiring sempat bertemu dengan pihak Sekretariat Tetap sebelum bertolak dari hotel pada pukul 1.30 tengah hari. Sesungguhnya, perbualan terakhir kami bersama-sama Dr. Trisilpa dan anggota lain amat harmoni, sekali gus menyimpulkan kenangan yang sukar dilupakan. Pada saat perpisahan, selain lambaian dan bunga, senyuman terus menguntum di bibir masing-masing, menandakan kesinambungan hubungan yang tidak akan putus pada masa hadapan.

Mengikut jadual, penerbangan pulang berlepas pada pukul 5.40 petang. Walau bagaimanapun, atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, pesawat AirAsia, AK887 hanya meluncur ke udara Don Mueang pada pukul 6.30 petang dan selamat mendarat di KLIA2 pada pukul 10.30 malam waktu Malaysia.
Demikianlah satu catatan kenangan di pinggir deria yang sempat dilakar. Sesungguhnya, anugerah yang diterima amat besar maknanya kepada penulis. Kini pada babak di hujung usia, penulis terus berkobar semangat juang untuk menghasilkan karya yang lebih bermakna untuk tatapan pembaca dan pencinta kesusasteraan kebangsaan yang menjadi nadi dan lambang tamadun bangsa dan negara.
Sehubungan itu, dari anjung deria rasa seluruh negara, ada gesaan supaya “calon muda” wajar diberi giliran. Hal ini memerlukan penilaian dan perancangan dasar yang lebih rapi dan strategik. Pihak sekretariat di negara kita tentu maklum dan boleh mempertimbangkannya. Pada ketika Singapura sudah dua tahun berturut-turut (2022 dan 2023) tidak menghantar calon penerima, mungkin SEA Write Award yang berprestij ini turut “tersindir” dengan pergolakan sendiri di negara gajah putih itu.
Bangkok Bank kekal sebagai penaja utama dengan peruntukan dana, Mandarin Oriental Hotel tidak terlibat lagi. Penaja lain muncul mengambil alih seperti ThaiBev, Bangchak, Asean Business, Arts and Culture, PTT Group, SCG Foundation, B.GRIMM, PEN International Thailand Centre, dan badan lain. Persoalan silih berganti penaja ialah perkara biasa, namun komitmen badan-badan bukan kerajaan, universiti, institusi budaya, penulis, dan konglomerat dalam mencapai persefahaman bersama untuk meneruskan kesinambungan anugerah ini amatlah dikagumi.
Malaysia pula sebagai Pengerusi Negara-negara ASEAN untuk tahun 2025, boleh mengambil peluang dalam melengkapkan sinergi. Penekanan pada sektor ekonomi antara sesama negara ASEAN tentu sekali boleh diseimbangkan dengan peranan sastera dan budaya sebagai pelengkap kemajuan sejagat dalam menjiwai sahsiah, falsafah, pemikiran intelektual dan tamadun sesama negara yang erat ikatannya sejak zaman bahari lagi.
Dalam hubungan ini, kesempatan boleh diambil untuk mengetengahkan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi bersama-sama dengan bahasa Indonesia. Hal ini tidak dapat dipisahkan dengan usaha penterjemahan, penerbitan dan pengedaran karya-karya sastera sesama negara ASEAN. Acara pertukaran buku sesama penerima anugerah tidak seharusnya berlangsung secara santai dan tidak formal, sebaliknya wajar menjadi salah satu agenda utama agar terus unggul sebagai simbol ikatan kerjasama antara negara ASEAN.
_________________________
Osman Ayob ialah penerima SEA Write Award (Malaysia) 2022. Beliau juga penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 bagi kumpulan cerpen Bayangan Silam (DBP, 2009). Antara kumpulan cerpennya termasuklah Bayangan Rindu (1981), Musim itu Telah Berlalu (1984), Detik yang Tergugat (1988), Di Pinggir Kesedaran (1993), Melamar Rindu (2001), Perginya Seorang Srikandi (2011), Tembok Masih Tinggi (2014), dan Gila Tak Gila (2017). Selain menulis cerpen, beliau juga menghasilkan lebih 30 buah novel. Novel remajanya, Meniti Impian menjadi teks KOMSAS tingkatan dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan bagi tahun 2016–2020.